Saat tiba saja di farmasi, Ezzaq terus cari barang yang Alayya perlukan. Ubat Panadol, penampal untuk kurangkan suhu badan, beberapa botol air badak. Dalam kepala Ezzaq, cuma ada tiga benda itu sahaja. Ketika tiba di kaunter pembayaran, Ezzaq teringat akan sesuatu.
"Alat untuk periksa suhu badan, ada tak?" tanya Ezzaq pada pekerja di kaunter.
"Ada. Kita ada RM20, RM40, RM100 ke atas pun ada. Encik nak yang mana satu?" soal si pekerja.
"Beri yang senang digunakan." Ezzaq bukannya mahir bab-bab ini, jadi dia jawab ikut sedap hati sajalah.
Pekerja itu mengangguk sebelum ambil termometer dahi.
"Oh ya, asid folik, ada?" mujurlah Ezzaq tidak lupa akan perkara yang satu ini. Sudah lama juga Ezzaq mahu membelinya tetapi tidak tercapai.
"Encik nak jenama apa?"
"Appeton should be okay"
"Sekejap ya, saya ambil di rak." Pekerja itu keluar daripada kaunter pembayaran, ambil stok baharu di rak penjualan.
"Terima kasih." Ezzaq simpan dompet di poket seluar sebelum berjalan keluar daripada kedai ini.
Plastik berisi barangan tersebut di ikat sebelum diletakkan pada bakul motosikal. Tidak tunggu lama, Ezzaq beredar daripada kawasan rumah kedai, ingin pulang ke rumah secepatnya.
Tiba sahaja di rumah, Ezzaq masakkan bubur dahulu buat si gadis. Pasti Alayya kelaparan. Lagipun sebelum telan ubat, Alayya perlu makan dahulu.
Bubur yang masih panas itu diletakkan dalam mangkuk kecil. Ezzaq capai sudu yang masih bersih sebelum bergerak ke bilik tidur.
Belum sempat kaki menapak ke bilik, telefon pintar Ezzaq di dapur berdering dengan nyaring. Ezzaq sendiri terenjut tubuh dek terkejut. Ezzaq letakkan bubur itu di atas meja makan, lantas mengambil telefon pintarnya.
Rayyan.
Ezzaq mula tidak sedap hati. Takkanlah mereka ada apa-apa operasi baharu mahupun kursus. Mereka baru sahaja balik. Tetapi jika bukan kerana perihal kerja, untuk apa lagi Rayyan hubungi Ezzaq seawal 9 pagi?
Bersama hati yang berat, Ezzaq terima panggilan tersebut. Reda sajalah jika perlu lapor diri sekali lagi.
"Assalamualaikum." Suara Rayyan agak baik menegur Ezzaq, tiada nada kelam kabut mahupun kecewa.
"Waalaikumussalam. Kenapa?" soal Ezzaq terus. Dia mahu terus tahu ke inti talian.
"Aku rasa kau perlu tahu tentang benda ni. Alayya ada cerita apa-apa ke pada kau? Tentang kejadian semalam." Rayyan serius bertanya. Lelaki ini sudah buka pembesar suara daripada awal, ingin Putri yang berada di sebelahnya mendengar sama.
Kening Ezzaq berkerut.
"Apa jadi semalam? Bukan isteri aku keluar dengan isteri kau? Layya takda cerita apa-apa pada aku, dia tengah demam ni. Aku balik malam tadi, badan dia dah panas. Pagi ni, makin panas." Ezzaq cerita benda yang dia tahu sahaja.
YOU ARE READING
[C] CINTA YANG TIDAK TERGAPAI
ActionEzzaq Qayyum, Fayyad Hazim serta Alayya Dafeena merupakan sahabat baik di pusat jagaan anak yatim. Hubungan persahabatan yang terjalin sejak kecil membawa ketiga mereka layari kehidupan dewasa bersama, berjaya raih pekerjaan yang hebat pada mata mas...