PADA waktu Ellia terbangun dari lenanya, mentari sudah pun memancarkan sinarnya ke muka bumi. Siling silver hadir sebagai objek pertama yang singgah di ruangan mata.
Gadis itu merasakan kepalanya sedikit berat sekarang ini. Namun dia jelas akan satu hal, itulah impak yang harus dia tanggung kerana terlalu banyak menangis semalam.
"Bangun, Ellia... Jangan diikutkan sangat perasaan sakit ni," gumamnya kepada diri sendiri.
Tangannya menekan tilam dengan agak kuat, mengumpul tenaga untuk bangkit dari posisi berbaring. Setelah sukses berada dalam posisi duduk, dia bersandar pada kepala katil.
Hatinya masih pedih bila teringatkan apa yang sebenarnya berlaku ketika majlis malam tadi. Pada hakikatnya, Ellia benar-benar sudah menuntun langkahnya dengan kemas. Laluannya bahkan kosong dan pandangannya pula dia fokuskan ke hadapan. Namun entah di mana silapnya, dia tidak dapat mengelak apabila Evangeline tiba-tiba merempuhnya dari sisi. Sama ada Evangeline sengaja ataupun tidak dalam pelanggaran tersebut, Ellia tidak pasti soal itu. Apa yang dia tahu, dia tidak langgar Evangeline, sebaliknya Evangeline yang langgar dia.
Evangeline, gadis itu bukanlah sesungguhnya berdarah Lawrence ataupun Jennings. Dia merupakan anak kepada isteri kedua Brendan Lawrence, iaitu daddy Airika. Enam tahun selepas kematian Selena Jennings, mommy Airika, Brendan telah berkahwin dengan mama Evangeline, Annie Hemmings. Sewaktu itulah, Evangeline pertama kali menginjakkan kaki ke dalam keluarga Lawrence dan Jennings. Kehadiran gadis itu sedari awal diterima baik oleh semua ahli keluarga Ellia kerana prestasinya yang menepati standard mereka.
Jika hendak dibandingkan dengan Airika, Evangeline lebih sering melibatkan diri dalam majlis keluarga mereka. Kemahirannya dalam bersosial membolehkan dia mudah merapatkan diri dengan sepupu-sepupu mereka. Bukan setakat sepupu sahaja, malah grandma, grandpa serta uncles dan aunties mereka pun berkenan terhadap Evangeline. Mama dan papa Ellia juga tidak terkecuali.
Ellia yakin, andainya Evangeline berketurunan Lawrence, gadis itu pasti menjadi orang yang akan merangkul gelaran Honored Granddaughter. Mengapa? Kerana walaupun Airika mempunyai prestasi yang cemerlang dalam pelbagai aspek, Evangeline jauh lebih banyak menghadiri acara sosial keluarga Lawrence daripada gadis itu.
Tok! Tok! Tok!
Terbang pergi segala lamunan Ellia tika mendengar ketukan yang bertalu-talu pada pintu bilik. Jam dinding dikerling pantas. Pukul 9.00 pagi! Dahinya ditepuk kuat. Aduh, memalukan sungguh perangainya ini! Sudahlah menginap di rumah orang, boleh pula dia bangun lewat.
Ellia tahu dirinya saat ini sedang berada di rumah Vierra. Maklumlah, dulu dia pernah juga menginap di rumah wanita itu. Dan berdasarkan memorinya, bilik tempat dia berehat sekarang ini adalah bilik yang sama dia tempati sewaktu menginap di situ dahulu.
"Ya?" Dia lekas-lekas bersuara sebagai sahutan kepada gerangan yang mengetuk pintu itu.
Saat pintu itu dibuka dari luar, wajah Vierra langsung terlayar di depan mata Ellia. Vierra masuk ke dalam ruangan bilik tersebut lalu melabuhkan duduknya di atas katil, tepat di sisi gadis itu. Senyuman manis terlukis indah pada wajah wanita itu, membuatkan Ellia tidak mampu tidak tersenyum kembali kepadanya.
YOU ARE READING
𝐕𝐄𝐑𝐒𝐔𝐒 | 𝑹𝒆𝒗𝒂𝒎𝒑
Teen Fiction❝Every hurdle that comes my way, I will face it and get stronger.❞ ―𝐄𝐋𝐋𝐈𝐀 ★。+゚☆ ══════════════════ ☆゚+。★ Terlahir sebagai anak pasangan jutawan dan menjadi sebahagian daripada keluarga besar Lawrence dan Jennings yang cemerlang dari segi akadem...