SATU demi satu bouquet bunga yang mengiringi langkahnya menuju ke ruang makan yang ditempah khas oleh CA itu Ellia sambut dengan senyuman. Untung sahaja ada bakul yang diberikan kepadanya sebagai tempat dia menyimpan semua bouquet tersebut. Kalau tidak, sah dia tidak akan dapat nampak jalan di hadapannya gara-gara terhalang oleh bouquet bunga yang berjumlah 14 kesemuanya itu!
Saat tirai yang menutupi ruang makan itu dibuka oleh dua orang gadis pelayan restoran, Ellia takjub menyaksikan sebuah pemandangan yang agak luar biasa pada pandangannya. Luar biasa kerana inilah julung kalinya dia melihat pemandangan sedemikian.
CA, Crowner dan Empire masing-masing lengkap dengan alat muzik mereka sendiri. Ellia jadi penasaran dibuatnya. Apa semua ini? Mereka menyediakan orkestra pula untuk dirinya kali ini ke?
Tappp!
Bagaikan isyarat mula, sedetik setelah bunyi kastanet itu kedengaran, alunan bunyi alat-alat muzik yang bergabung dalam satu irama indah mulai kedengaran. Mata Ellia menangkap kehadiran seorang lelaki separuh baya yang berdiri di atas podium yang sedikit dinaikkan dengan tangan yang terawang-awang ke kiri dan kanan. Tidak perlu dipersoalkan, dia langsung tahu bahawa lelaki itu merupakan konduktor dalam persembahan orkestra ini.
Meletakkan bakul berisi bouquet bunga di tangannya itu ke atas satu meja kaca, Ellia lalu mengambil tempat di sekaki kerusi yang seolah disediakan khas untuknya. Kedudukan kerusi tersebut tidak terlalu hampir, dan tidak juga terlalu jauh daripada rakan-rakannya, malah memberikan dia peluang untuk menghayati persembahan orkestra tersebut dengan lebih baik.
Alex melarikan jari-jemarinya dengan lembut di atas tali hap kepunyaannya. Dan bersama Hope menampilkan kemesraan mereka dengan bahasa indah melalui paduan mata serta gabungan persembahan biola dan selo mereka. CA terlihat asyik membiarkan jari-jemarinya menari dengan penuh gemalai di atas papan kekunci piano manakala Eli yang berdiri hampir dengan gadis itu ralit memainkan violinnya bersama mata yang terkatup rapat.
Kedua-dua adiknya, L dan Sun, tidak kalah menikmati persembahan yang mereka lakukan itu. L memainkan akordion, Sun pula membunyikan klarinetnya. Sesekali mata L tertuju ke arah Sun, terpancar jelas rasa bangga dalam sorotannya itu, membuatkan Ellia berasa hangat hati melihat mereka. Dahulu L adalah orang yang paling kerap mengutuk kebolehan Sun dalam bermain klarinet, tetapi lihatlah kini... L tampak sangat mengagumi Sun. Masa sememangnya berjalan begitu cepat...
Di satu sisi lain, kelihatan Ingrid, Hoshi, Yuki dan Zaire sekelompok memainkan saksofon dengan pergerakan tubuh yang segerak. Bersebelahan mereka, pasangan Airika dan Claude pula mewujudkan suasana harmoni dengan gabungan serasi alat muzik celesta dan seruling.
Jika Ellia harus berkata jujur, maka persembahan orkestra yang dia saksikan ini sememangnya bukan persembahan orkestra pertama yang dia saksikan. Akan tetapi, persembahan orkestra oleh semua rakannya ini secara jelas adalah persembahan orkestra yang dia tidak akan dapat lupakan seumur hidupnya.
YOU ARE READING
𝐕𝐄𝐑𝐒𝐔𝐒 | 𝑹𝒆𝒗𝒂𝒎𝒑
Teen Fiction❝Every hurdle that comes my way, I will face it and get stronger.❞ ―𝐄𝐋𝐋𝐈𝐀 ★。+゚☆ ══════════════════ ☆゚+。★ Terlahir sebagai anak pasangan jutawan dan menjadi sebahagian daripada keluarga besar Lawrence dan Jennings yang cemerlang dari segi akadem...