SERVER 19

4 2 0
                                    

Permukiman Viento,HyperServ

Matahari di bumi Hyperserv semakin merunduk ke petang.Kekuatan panahan mentarinya semakin memudar.Perhutanan itu tiada bezanya dengan perhutanan di alam nyata.Nyanyian unggas hutan beriang-ria di sana sini.Sahut menyahut dalam bahasa mereka yang tidak difahami oleh manusia.Sesekali bumi itu digegarkan dengan getaran halus dari bawah tanah seiring dengan bunyian dengungan.Tiada siapa yang mengetahui apakah yang sedang berlaku sehingga menyebabkan fenomena itu.

Yazaid terduduk di atas sebatang kayu pokok mati yang terlentang di atas tanah.Dia berteduh di bawah rimbunan pokok-pokok melindungi dirinya dipanah cahaya mentari yang tidak begitu terik namun bahangnya masih terasa.Anak matanya memandang ke arah Leo terbaring di atas hamparan daun besar bersebelahan dengannya.Dahinya berkerut seribu mengingati peristiwa sebentar tadi.Leo terbaring lesu.Tidak sedarkan diri.

Jaluran ingatan menari-nari dilayar mindanya mengingati kejadian tadi.Yazaid terkocoh-kocoh mengekori pergerakan pantas Leo.Mengahnya terasa mencucuk ulu hati masih belum sembuh.Kini Leo mengajaknya untuk 'lumba lari' pula.Sekiranya difikirkan pada aras kudrat manusia, mustahil baginya untuk berlari pantas setelah mengharungi perjalanan yang cukup jauh namun ianya berbeza pada lelaki bernama Leo.

Semak-samun diredah dan dikuakkan secara kasar.Leo mendahului dengan langkah yang cukup pantas.Sedangkan Yazaid cuba menyaingi kelajuan Leo.Dia mahu bertanya apakah yang sedang berlaku.

Leo berhenti mendadak.Yazaid turut mengikuti perlakuan Leo.Kedua-duanya memandang ke dada langit.Awan hitam kemerahan berarak laju ke satu arah seiring dengan arah larian mereka.Kedengaran bunyi kilat menyambar sana sini.Memanah secara rawak.Mana-mana tempat yang terkena panahan kilat itu akan menghasilkan api berwarna hitam kemerahan.Situasi itu agak janggal untuk ditafsirkan.Leo menundukkan badannya sedikit.Bimbang jika terkena panahan petir yang mencari sasaran secara rawak.Yazaid turut mengikuti perlakuan Leo tanpa banyak kerenah.Dia yakin bahawa Leo mengetahui situasi genting ini kerana Leo sememangnya berasal dari dunia ini berbanding dirinya.

Mereka kekal berkeadaan sebegitu tanpa sebutir percakapan sekali pun.Awan hitam kemerahan itu membawa panahan petir yang cukup mengerikan apabila ianya menyambar pada sasaran.Mana-mana yang menjadi sasarannya pasti hancur lebur dimamah api hitam kemerahan itu.Api mula marak di kawasan itu.Gegaran tanah cukup terasa apabila sambaran itu mencecah bumi.Bunyi dentuman disana sini namun tidak disasarkan pada mereka.Leo menjadi kehairanan.Tidak semena-mena, satu bunyi dentuman yang cukup membingitkan gegendang telinga mengitari suasana.Yazaid dan Leo terkejut.Mereka merunduk ke bawah.Anak mata mengawasi persekitaran.Bunyi petir kini tidak lagi kedengaran namun awan hitam kemerahan masih berada di tempatnya tidak berganjak.Mereka berpandangan sesama sendiri.

Setelah agak lama berkeadaan begitu, satu lagi letupan membingitkan suasana namun kali ini berbeza.Ianya disertai dengan deruan angin yang cukup deras sekali gus mengusir awan hitam kemerahan.Leo tidak tertahan gejolak perasaan ingin tahunya.Lantas dia membuka langkah untuk memacu larian ke arah bunyi petir itu.

Tidak sampai sepuluh langkah, satu cahaya kemerahan berdesup laju umpama peluru meredah angin menerpa batang tubuh Leo.Tubuhnya seolah-olah dibanting ke belakang.Yazaid tidak sempat berbuat apa-apa.Kejadian yang berlaku dalam sekelip mata.Leo terhempas ke tanah berguling-guling sehingga beberapa meter jauhnya lantas tidak sedarkan diri.

"Leo!" Pantas Yazaid mendapatkan Leo.

Yazaid mengeluh kasar.Terasa hambatan memori seketika tadi seperti di ulang tayang. Dia tidak mengetahui dimana lokasi mereka ketika ini dan apa yang sedang berlaku.Segala-galanya kelam dan kabur.Tujuan yang kabur.Misi yang kabur.Tidak berupaya untuk melepaskan diri dari hambatan dunia Hyperserv kejam ini.Itu lebih merunsingkan akal Yazaid ketika ini.Terasa membejatkan kewarasan akal.Dahinya berkeringat.Akalnya ligat.

HYPERSERV : BEGINNINGWhere stories live. Discover now