Dingin embun pagi seperti kebiasaan.Menusuk sehingga tulang-belulang dan setiap urat sendi. Namun pagi ini tidak seperti kebiasaan.Perkampungan bangsa Yaneko ini kecoh dan riuh-rendah. Pahlawan-pahlawan bangsa ini sedang mempersiapkan peralatan tempur masing-masing. Jasad-jasad kaku para pengawal yang terkorban malam tadi sudah pun diuruskan mengikut cara mereka tersendiri. Athelia sudah pun berbincang dengan Ma'am Rosalind tentang strategi tempur mereka dan tindakan selanjutnya.Kini ianya telah pun diputuskan. Mereka akan dibahagi kepada beberapa kumpulan yang mempunyai misi yang berbeza-beza dan hala tuju yang berbeza-beza. Yang kurang berkemampuan akan tinggal diperkampungan ini bagi mengawasi persekitaran perkampungan sementara sebahagian besar pahlawan yang lainnya keluar melaksanakan misi mereka yang telah ditetapkan.
Athelia menapak masuk ke sebuah rumah yang didiami oleh Kirin. Sebaik sahaja melangkah masuk, Athelia agak terkejut dengan penampilan Kirin yang ternyata berbeza dengan hari-hari sebelumnya. Pakaian yang dipakai oleh Kirin menampakkan lagi sifat kepahlawanannya disamping masih mengekalkan sifat femininnya. Kirin mengenakan pakaian tempur bangsa Yaneko. Masih kelihatan anggun namun tampak lebih bersemangat.
"Mari! Kita berjumpa dengan Ma'am Rosalind!" Kirin tampak lebih bersemangat.Athelia hilang kata-kata.Dia tidak tahu intipati perbualan diantara Ma'am Rosalind dengan Kirin pada malam tadi selepas kejadian Vanblood datang ke perkampungan mereka namun yang pasti pagi ini Kirin seolah-olah memiliki semangat juang yang tinggi.
Athelia sekadar mengekori Kirin menuju ke sebuah binaan yang jauh lebih besar di sebelah atas puncak pohon Tamashi ini. Disitu merupakan sebuah ruangan yang dijadikan dewan bersidang bagi bangsa Yaneko menghuraikan setiap permasalahan.
"Selamat pagi, Ma'am Rosalind! Boleh saya masuk?" Kirin menguak daun pintu dewan tersebut.Kelihatan beberapa pahlawan bangsa Yaneko sedang membincangkan sesuatu dengan Ma'am Rosalind.Melihat sahaja kehadiran Kirin dan Athelia, Ma'am Rosalind mengarahkan kesemua pahlawan yang berada di dalam dewan itu menangguhkan perbincangan buat seketika untuk memberi ruang kepada Kirin dan Athelia bersidang.
"Kirin! Athelia! Silakan duduk." Ma'am Rosalind mempelawa mereka dengan berhemah.Mereka berdua tidak banyak kerenah melainkan sekadar menurut sahaja.
"Jadi, apa perancangan kita?" Athelia memulakan perbincangan.
"Mudah.Kita pecahkan pasukan kita kepada beberapa bahagian.Ada kumpulan yang akan berkawal di perkampungan ini.Ada juga kumpulan yang akan mengawasi parameter.Ada kumpulan yang terpecah kepada dua iaitu satu pasukan akan menuju dan berkawal di pintu masuk Hyperserv Newich bahagian barat Grand Southgate ini.Pasukan kedua akan berkawal di pintu masuk Hyperserv bahagian timur Grand Southgate.Ada juga kumpulan yang akan ke Letrai Bay dan kumpulan terakhir akan menuju ke arah paling selatan Grand Southgate untuk mengawal Master Orb." Hujah Ma'am Rosalind secara ringkas namun padat.
"Secara teknikal, kita akan pecah kepada enam kumpulan keseluruhannya.Satu daripadanya akan terpecah kepada dua pasukan yang akan mengawasi pintu masuk Hyperserv daripada menjadi sasaran bangsa Valkazar." Tambah Ma'am Rosalind lagi bagi memperincikan kedudukan pasukan-pasukan mereka.
"Pintu masuk Hyperserv? Kenapa perlu berkawal di sana?" Soal Athelia.Dia tahu tentang kewujudan pintu itu namun setahunya ianya tidak pernah digunakan selepas Rayfall menghilangkan diri dan selepas peristiwa peperangan besar menentang Valkazar suatu ketika dahulu.Pintu itu sering kali digunakan oleh Rayfall dan sahabat-sahabatnya untuk masuk ke dunia Hyperserv ini semasa mereka masih aktif bergerak.
Ma'am Rosalind bingkas berdiri mendapatkan sebuah hamparan peta yang agak besar saiznya dan menghamparkannya di atas meja itu.Athelia dan Kirin menjengah.
"Kita perlu tahu tentang tujuan dan kemaraan tentera Valkazar.Mereka mahu melebarkan empayar jajahan mereka.Bukan hanya tertakluk dunia ini sahaja.Dunia manusia juga tidak terlepas dari rencana mereka.Satu-satunya jalan untuk ke dunia manusia adalah dengan melalui kedua-dua pintu ini. Kita tidak boleh membenarkannya berlaku sama sekali." Ma'am Rosalind menerangkan kepada mereka berdua tentang perancangan pasukan-pasukan mereka yang akan diketuai oleh Athelia dan Kirin.Memandangkan Fared dan Estrella masih belum tiba diperkampungan ini dari latihan intensif Estrella maka perancangan ini akan diguna pakai sehingga Fared dan Estrella kembali ke perkampungan.
YOU ARE READING
HYPERSERV : BEGINNING
Mystère / ThrillerBayangkan, sebuah dunia yang tidak mampu kita bayangkan. Bayangkan, sebuah dunia yang tidak tergapai dek tangan. Bayangkan, dunia yang sepatutnya tidak wujud diwujudkan. Bayangkan, dunia itu terlahir di alam digital. Bayangkan, manusia yang kekurang...