SERVER 52

9 2 4
                                        

Letrai Bay, La Brecha, HyperServ

Suasana pagi itu indah seperti kebiasaannya.Perkampungan ini tidak ubah seperti perkampungan yang ada di dunia realiti. Corak kehidupan masyarakat disini juga mengikut adat dan istiadat mereka tersendiri namun tidak keterlaluan. Lebih kepada corak kehidupan di timur dunia realiti.

Seawal pagi lagi Yazaid sudah keluar menuju ke bibir pantai. Kakinya menginjak-injak pepasir pantai yang halus. Dia termenung jauh. Beberapa hari yang lalu, dia bersama Elsa berlatih bersama-sama untuk menajamkan teknik-teknik penggunaan kuasa system call yang diasaskan sendiri oleh Kapten Zayyan lalu diturunkan kepada Elsa, satu-satunya anak gadisnya. Kini, Yazaid sudah mempelajari beberapa teknik baru dari Elsa. Hari ini mereka tidak berlatih memandangkan latihan yang berterusan tanpa henti sejak mereka berdua memulakan latihan tempoh hari.

"Teknik System Call diasaskan sendiri oleh ayah saya." Satu suara menyapa dari belakang Yazaid. Oleh kerana terkejut dari lamunannya, Yazaid terjelepuk jatuh ke dalam air laut kerana tersadung. Elsa menghampiri dan membantu Yazaid bangkit sambil tertawa melihat ulah Yazaid. Hanya mereka berdua sahaja yang berada di bibir pantai ketika ini.

"Awak ni pun satu. Bagi lah salam dulu kalau iya pun nak datang mengejut. Habis basah baju saya." Yazaid mengibas-ngibas bajunya yang basah.

"Maaf. Saya tak sengaja." Elsa tersipu sendiri. Perwatakannya jauh berbeza ketika pada mula-mula gadis itu mengenali Yazaid. Kini dia lebih mesra dan lebih mudah untuk berinteraksi dengan Yazaid memandangkan lelaki itu adalah anak muridnya ketika ini.

"Saya nak tanya, macam mana system call ni berfungsi? Maksud saya, saya tak ada apa-apa elemen tapi saya dapat mengaktifkan system call. Mungkin awak boleh sebab awak semua berasal dari dunia ini tapi saya...saya manusia biasa yang datang dari dunia realiti." Yazaid tertanya-tanya akan persoalan itu namun Elsa hanya memandang Yazaid tanpa menjawab pertanyaan sehingga menimbulkan rasa kurang senang di hati Yazaid.

"Eerr.. kenapa awak tengok saya macam nak makan orang?" Yazaid menjauhkan dirinya sedikit dari Elsa.

"Awak ni langsung tak sama macam dia." Elsa masih memandang ke arah Yazaid. Lelaki itu mengerutkan dahinya kehairanan dengan ayat penyata yang terbit dari bibir Elsa.

"Dia? Siapa?" Yazaid kebingungan. Itu bukanlah jawapan yang dia mahukan.

"Rayfall. Guru awak." Ringkas Elsa membalas.

"Oohh..dia genius." Yazaid melemparkan pandangan jauh ke arah lautan yang terhampar luas.

"Rayfall dan ayah saya suatu ketika dahulu berkawan baik. Mereka yang membuka perkampungan ini. Rayfall mencipta satu teknik tempur baru. Pada asalnya ianya tiada nama.Teknik yang memanipulasi aura dan data elemen-elemen yang ada disekeliling kita sekarang ni untuk dijadikan senjata.Memanipulasi aura elemen tersebut mengikut kehendak kita." Panjang lebar Elsa menyambung kisahnya. Yazaid tekun mendengar.

"Dan kemudian teknik itu ditambah baik oleh ayah saya dengan menggunakan pelbagai istilah sebagai kod. Hasil gabungan kod dan teknik memanipulasi aura elemen, hasil yang kita mahukan menjadi lebih padu dan hebat." Elsa menyambung tanpa jemu.

"Kod? Manipulasi elemen?" Yazaid semakin bingung sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Elsa sekadar tertawa kecil. Benar, bukan mudah untuk memahami istilah tersebut lebih-lebih lagi oleh manusia biasa seperti Yazaid dan lainnya.

"Kod itu bertujuan untuk memberi fokus kepada otak terhadap apakah hasil yang kita mahukan. Mudah kata, kod itu adalah nama. Manipulasi elemen pula datangnya selepas kita menyebut kod tadi. Dengan berpandukan kod tersebut, tubuh kita akan mula memanipulasi elemen jenis apakah yang akan digunakan untuk dimanipulasi." Elsa meneruskan hujahnya.

HYPERSERV : BEGINNINGTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang