SERVER 83

2 1 0
                                    

Estrella terlambung ke belakang dan terseret beberapa meter. Meskipun hentakan demi hentakan menghempas tubuhnya namun tiada setitis darah pun mengalir keluar. Walaubagaimanapun kesakitan di setiap urat sendi masih dapat dirasai. Mungkin kerana alam tidak berdinding dan tidak bermata ini bukanlah alam realiti tetapi dia terperangkap di dalam jiwanya sendiri. Susuk tubuh yang menyerupai dirinya berdiri tidak jauh di hadapannya dengan wajah yang menyerigai.

'Apa aku nak buat? Kekuatan dia melebihi aku. Dia lebih ampuh tetapi aku tidak mempunyai kudrat seampuh dia.' Estrella bermonolog sendirian.

Tanpa menunggu walau sedetik, susuk tubuh menyerupai dirinya kembali menyerang dengan pelbagai bentuk seni mempertahankan diri termasuk bertindak menyerang dalam bentuk serangan seakan pergerakan haiwan. Estrella tangkas mengelak namun bukan kemahirannya untuk bertempur dalam jarak dekat.

Tendangan kaki kanan susuk tubuh gadis itu mengena pada perut Estrella. Buat sekian kalinya Estrella terlambung lagi ke belakang. Senaknya sehingga ke ulu hati. Wajahnya berkerut menahan kesakitan yang teramat. Susuk tubuh gadis itu meluru pantas ke arah Estrella dengan kembangan tangan dalam bentuk cakaran.

Dia melibas cakaran itu untuk merobek kulit Estrella. Empunya jiwa mengelak dan membalas serangan. Tumbukan dan tendangan Estrella langsung tidak memberi apa-apa kesan pada batang tubuh gadis yang menyerupai dirinya itu bahkan semakin dia menyerigai.

Gadis itu mencengkam lengan Estrella dan melontar tubuh Estrella ke udara sekali gus gadis itu melonjak tinggi dan melepaskan ledakan tendangan yang cukup padu pada dada Estrella.

Batang tubuh Estrella terdorong ke belakang dan terseret sehingga menghampiri makhluk bernama Shiroi itu. Estrella tidak mampu untuk berdiri akibat kesakitan yang teramat. Makhluk itu hanya memandang Estrella dengan pandangan yang sinis.

"Shiroi! Bagaimana aku mampu mengalahkan perempuan tu?" Estrella meminta bantuan.

"Tundukkan Estrella Lockheart! Tundukkan egomu! Buang ketakutanmu! Nescaya kau akan keluar dari sini dan menguasai jiwa kau semula." Jawapan kabur dari makhluk bernama Shiroi. Estrella mengerutkan wajahnya.

Gadis yang menyerupai dirinya kembali menyerang bertalu-talu tanpa henti seolah-olah kudratnya tiada batasan sedangkan Estrella mula kehilangan tenaga. Tubuhnya terbanting ke sana dan ke mari. Ternyata Estrella bukanlah lawan yang setanding dengan gadis yang menyerupai dirinya.

Puas dia mengerah akal namun tiada kedapatan idea untuk menumbangkan gadis itu. Estrella berlutut sambil memandang ke arah gadis itu dan makhluk bernama Shiroi bersilih ganti.

'Apa harus aku buat? Apa perlu aku buat?' Estrella bermonolog. Gadis itu tidak memberi peluang langsung untuk Estrella berhenti walau sejenak. Serangan demi serangan dilancarkan tanpa berhenti. Batang tubuh Estrella semakin longlai dan lemah akan ditujah berkali-kali.

"Tundukkan Estrella Lockheart! Tundukkan egomu! Buang ketakutanmu! Nescaya kau akan keluar dari sini dan menguasai jiwa kau semula." Makhluk Shiroi bersuara lagi.

'Tapi... bagaimana? Kekuatan aku tidak setanding dengan kekuatannya?' Estrella mengeluh sendirian.

"Jika kau mati disini, jasad kau disana juga turut akan mati. Ingat! Tundukkan Estrella Lockheart! Tundukkan egomu! Buang ketakutanmu! Nescaya kau akan keluar dari sini dan menguasai jiwa kau semula." Peringatan berkali-kali dari makhluk bernama Shiroi.

Entah kali ke berapa batang tubuh Estrella terlambung ke sana dan ke mari. Meskipun tiada darah yang mengalir namun kesakitan yang teramat membejatkan pergerakannya. Ditambah pula gadis itu menyerangnya tanpa henti walau sesaat. Seakan mengasak untuknya berfikir jalan keluar dari kebuntuan ini.

HYPERSERV : BEGINNINGWhere stories live. Discover now