SERVER 65

2 2 0
                                    

Bandar Inderapuri, Tahun Infiniti 30XX

Letupan meletus lagi. Situasi semakin meruncing di pertengahan bandar yang dahulunya mewah dan berteknologi tinggi ini. Serangan dari 'alam' yang tidak kelihatan ternyata merumitkan lagi keadaan dan menyukarkan pihak keselamatan dan pertahanan untuk melaksanakan tugasan mereka.

Pihak tentera telah mengarahkan orang awam untuk bersembunyi sekali gus membawa mereka ke tempat yang lebih selamat.

Makmal Hyperserv juga telah dikosongkan. Keadaan semakin genting membuatkan mereka yang masih pertahankan jasad sahabat mereka disini membuat keputusan untuk berpindah ke satu lokasi yang dirasakan lebih selamat. Bangunan I.R Federation menjadi pilihan memandangkan bangunan ini mempunyai tingkat bawah tanah yang lebih kukuh dan kebal. Syarikat I.R Federation adalah sebuah syarikat seliaan Ilyas yang membina sebuah program antivirus bersifat Artificial Intelligence atau A.I. Ianya sebuah program yang mampu bertindak dan membuat keputusannya sendiri bergantung kepada data yang diperolehi. Namun sejak keadaan menjadi genting, syarikat gergasi ini menghentikan operasi mereka buat sementara waktu dan bangunan ini dibiarkan kosong tidak berpenghuni. Ini peluang yang diambil oleh Hairuddin untuk menempatkan sahabat mereka disini memandangkan ini sahaja pilihan yang selamat dan satu-satunya pilihan yang mereka ada.

Lima buah katil dengan kelengkapan teknologi disusun secara bersebelahan. Lima jasad bernyawa namun tidak berminda di baringkan di atas katil itu setiap seorang. Jasad Yazaid, Fared, Elizia, Ilyas dan Marshall dipantau rapi oleh beberapa orang kepercayaan Hadif. Manakala Hairuddin dan Irfan sedang meneruskan pencarian mereka untuk menjejaki dua orang hacker paling merbahaya di dunia. Mereka berdua mempunyai teknologi yang melangkaui keterbatasan kemanusiaan. Mereka mampu mengawal minda manusia lain dalam jarak yang jauh tanpa memerlukan peralatan teknologi canggih manusia namun tidak diketahui teknik apa yang mereka gunakan. Mahu dikatakan ianya adalah sihir namun tidak relevan jika diteliti pada situasi seperti ini. Ratusan malahan mungkin ribuan penduduk bertukar personaliti secara mendadak menjadi ganas dan buas. Kemanusiaan itu terbunuh sekali gus membangkitkan naluri kebinatangan di dalam jiwa mereka.

"Tak jumpa apa-apa petanda ni, Hairuddin." Irfan menyandarkan tubuhnya. Terasa lenguh seluruh urat sendi. Matanya memandang ke arah paparan monitor kaca pandang tembus. Pelbagai turutan kod dan beberapa maklumat terpapar di kaca itu namun tiada satu pun informasi yang dikehendakinya.

"Jangan berputus asa, Irfan. Kalau kita berputus asa sekarang..." Hairuddin menoleh sekilas ke arah Irfan.

"...umpama kita sendiri menyarungkan tali gantung ke leher mereka." Dia mengalihkan pandangannya ke arah lima orang sahabat mereka yang sedang terbaring di katil itu. Irfan menelan liurnya yang pahit.

Mereka kini telah mengetahui apa yang berlaku di dunia Hyperserv. Serangan dari bangsa Valkazar kini telah merebak luas sehingga menjangkiti dunia manusia. Manusia yang bertindak buas dan ganas itu bukanlah dari mereka sendiri tetapi jiwa bangsa Valkazar telah merasuki tubuh mereka melalui Brainlink yang mereka kalungkan di leher mereka. Apabila jiwa Valkazar telah merasuki tubuh manusia itu, tiada gunanya lagi jika ditanggalkan Brainlink dari leher mereka kerana keseluruhan jiwa Valkazar sudah menjadi tubuh manusia itu sebagai perumah mereka. Perkara terakhir yang mereka boleh lakukan kini adalah mencari dua orang hacker yang sangat dikehendaki itu dan ketika itulah penentuannya sama ada keadaan ini akan berterusan genting sebegini atau perang ini ditamatkan buat selama-lamanya. Hairuddin tidak menunjukkan rasa penat atau lelah. Irfan mengeluh halus lantas bangkit berdiri semula bersebelahan Hairuddin.

"Hairuddin, boleh aku tanya sikit?" Irfan menyatakan hasratnya tanpa memandang ke arah Hairuddin. Lelaki itu sekadar mengganggukkan kepalanya.

"Kau masih ingat...pada ketika Rayfall mencipta bioserver ni, apa yang jadi kan?" Akal Irfan menerawang. Hairuddin pula kedengaran mengeluh halus.

HYPERSERV : BEGINNINGWhere stories live. Discover now