Gua Grotte Bardtan, Fuego, HyperServ
Istana gah Raja Raa memukau pandangan bagi sesiapa sahaja yang memandangnya.Walaupun reka bentuknya agak menakutkan namun seni ukiran batu yang terdapat di dinding istana ternyata amat memukau.Tajima dan Zaidi tidak terlepas daripada hambatan kejutan itu.Mereka dibawa naik ke dalam istana tersebut selepas mendapat perkenan Raja Raa dan Runaan sendiri yang membawa mereka namun kedua-duanya masih tidak boleh bertemu dengan Raja Raa buat seketika berikutan Raja Raa ada urusan peribadi yang perlu diuruskan.Tajima dan Zaidi ditempatkan di dalam sebuah bilik yang agak mewah.Di dalam istana itu, terdapat beratus-ratus bilik dengan pelbagai fungsi.Bilik yang didiami oleh Tajima dan Zaidi kini merupakan salah satu daripada bilik tetamu bersaiz sedikit kecil berbanding bilik-bilik yang lain.
Tajima menghempaskan tubuhnya ke atas katil yang empuk dan lembut.Sudah agak lama dia tidak berasa selesa seperti itu.Sejak mereka terperangkap di dalam dunia Hyperserv ini, mereka masih belum sempat merasai nikmat beradu di atas katil dengan tilam yang empuk seperti ini.Malahan, saiz katil ini agak besar.Terasa matanya layu dan memberat.
Seluruh tubuh dan sendi terasa lenguh selepas mengharungi perjalanan yang teramat jauh dan pelbagai kejadian yang ditempuhi.Kesemuanya kemas diingatan.
"Tajima, kau tak rasa pelik ke?" Zaidi duduk bersila di atas lantai sambil menggosok belakang kepalanya.Tajima sekadar menoleh.
"Kau fikir, dalam perjalanan kita ke sini, kita di letakkan di dalam kurungan.Tapi sekarang...macam ada yang tak kena pula." Zaidi meragui.Ada benarnya kata-kata Zaidi.Sepanjang menempuh perjalanan semenjak masuk ke dunia Valkazar ini, mereka hanya ditempatkan di dalam kurungan batu.Alasannya adalah sebagai langkah berjaga-jaga dan untuk mempercepatkan perjalanan.Setibanya di istana Raja Raa ini, mereka dibebaskan dari kurungan dan dibenarkan untuk mendiami bilik mewah seperti ini.Jika difikirkan, situasi mereka tidak ubah seperti tawanan secara tersirat.
"Alaaa..tak payah fikirlah.Sekarang ni, baik kita fikir macam mana untuk mendapatkan kekayaan sekali gus dengan kekuasaan dari Raja Raa.Itu yang kita kena fikir." Tajima bingkas bangkit.Tampak bersemangat.Cuba merencanakan muslihat.
"Aku cuma hairan.Kau tak rasa ke ini macam....satu perangkap?" Zaidi lebih berpijak pada bumi yang nyata.Berpaksikan kepada realiti sedangkan hakikatnya dunia ini juga bukanlah sebahagian daripada realiti.
Tajima mengerahkan akal.Dahinya tampak berkerut.Kata-kata Zaidi umpama suluhan cahaya menerangi jalan yang gelap.Mata hatinya dibutakan dengan kekayaan dan kekuasaan yang dijanjikan oleh makhluk Valkazar.Lantas Tajima terfikir satu idea untuk memastikannya.Mungkin juga ianya satu idea yang agak kurang bernas namun memberi keyakinan kepada mereka.
"Zaidi, jom kita sembunyi-sembunyi keluar dari sini sekejap." Tajima bingkas bangkit dari pembaringan.
"Kau nak lari?Nak lari ke mana?" Zaidi turut bangkit namun teragak-agak mahu mengikut kehendak Tajima.
"Bukan larilah. Kita keluar dari bilik ni.Lepas tu, kita buat intipan sikit.Mana tahu, boleh curi dengar perbualan makhluk-makhluk tu.Mesti mereka ada sembunyikan sesuatu daripada kita." Seperti yang diduga.Idea Tajima agak kurang bernas namun memberikan hasil yang baik jika ianya berhasil dan seandainya mereka selamat.Jika nasib tidak menyebelahi, tiada siapa yang tahu nasib yang bakal menimpa mereka.Runaan telah memberi amaran untuk tidak keluar dari bilik itu sehingga diberitahu.
Mereka cuba menguak daun pintu bilik itu.Terasa agak berat untuk ditarik walaupun dikerahkan oleh dua orang lelaki.Mujurlah daun pintu bilik mereka tidak terkatup rapat.
Tajima dan Zaidi mengitari pandangan di sebelah luar bilik mereka.Koridor itu sepi tanpa satu pun pengawal yang mengawasi.Tajima tersenyum lega.Mereka meneruskan agenda mereka.Menapak perlahan di koridor atas.Sesekali Zaidi melangoi ke atas pandangan mencecah bumbung istana.Tingginya agak melampai.Tiang-tiang batu yang dijadikan pasak istana itu diukir dengan ukiran yang unik namun menyeramkan.Ada juga ukiran berbentuk seperti susuk tubuh bangsa Valkazar itu sendiri.Dan ada juga ukiran berbentuk kepala naga yang terpenggal.Suasana di dalam istana Raja Raa itu agak malap namun diterangi dengan cahaya api jamung yang tergantung di setiap tiang-tiang istana itu.
YOU ARE READING
HYPERSERV : BEGINNING
Misteri / ThrillerBayangkan, sebuah dunia yang tidak mampu kita bayangkan. Bayangkan, sebuah dunia yang tidak tergapai dek tangan. Bayangkan, dunia yang sepatutnya tidak wujud diwujudkan. Bayangkan, dunia itu terlahir di alam digital. Bayangkan, manusia yang kekurang...