SERVER 67

6 2 0
                                    

Dentuman demi dentuman kedengaran. Meletus di sana sini. Bunyi tembakan berdas-das dilepaskan dan bertalu-talu. Situasinya tidak ubah seperti medan peperangan. Pihak ketenteraan berjumlah tidak seramai pihak musuh.

Manusia buas dijadikan benteng pertahanan bagi satu susuk tubuh yang berada di bahagian paling belakang. Sekadar berpeluk tubuh sambil memerhati. Manusia-manusia buas itu dipanggil menggunakan satu kuasa unik. Mungkin ianya satu kuasa telepati yang menghubungkan mindanya dan minda manusia-manusia buas ini. Dia jugalah yang mengawal setiap pergerakan jasad manusia itu serta memberi arahan.

Hairuddin kemengahan. Laras senjata yang digenggam kejap terasa bergetar. Seluruh tangannya terasa menggigil. Usianya kini tidak lagi sesuai untuk mengendalikan medan perang seperti ini. Dia menjeling ke arah hadapan. Kelihatan pihak tentera bertungkus lumus melepaska berdas-das tembakan ke arah musuh berupa jasad manusia yang tidak putus menyerang. Mereka tidak bersenjata langsung sama sekali. Mereka menerpa ke arah pihak tentera dengan terjahan sahaja namun oleh kerana jumlahnya agak ramai, pihak tentera tidak mampu untuk membendung kemaraan mereka.

Hairuddin mengerutkan dahinya. Mana mungkin untuk dia mampu mencederakan ketua mereka yang berada di bahagian paling belakang. Lantas Hairuddin mengeluarkan sejenis alat berbentuk sekeping kaca yang bersaiz sebesar komputer riba. Satu butang ditekan pada bahagian kanan dan paparan kaca itu mengeluarkan paparan hologram.

Hairuddin menyelidik situasi semasa. Dia cuba untuk mengesan sebarang gelombang aneh. Mengikut kajiannya beberapa ketika lalu, dia mengesan gelombang-gelombang aneh yang terpancar dari seorang individu sahaja. Gelombang itu yang mengawal minda-minda manusia buas ini semua.

Hairuddin merencanakan sesuatu. Dalam situasinya begini, ia tidak membataskan pergerakannya. Ditambah pula dengan kerumunan manusia buas ini. Ramai juga di kalangan pihak tentera yang gugur. Kemaraan mereka bagaikan zombie. Tidak mempunyai perasaan sama sekali. Membunuh dengan buas dan rakus. Merobek daging-daging pihak tentera yang gugur dengan lahap. Tidak cukup dengan itu, mereka menyerbu lagi buat sekian kalinya. Begitulah keadaannya yang berulang-ulang. Kudrat mereka seolah-olah tidak berpenghujung sedangkan pihak tentera adalah manusia biasa yang mempunyai kudrat yang terbatas. Lambat laun, mereka akan tumbang jua. Hairuddin perlu merencanakan sesuatu. Nun di bahagian barisan paling belakang di antara manusia buas itu, seorang lelaki berdiri dengan berpeluk tubuh. Seorang perempuan pula muncul dari dalam rumah agam tersebut dan mendapat susuk tubuh itu.

"Apa kita kena buat sekarang, Kreious?" Perempuan itu menyapa lelaki yang berada di sebelahnya. Lelaki bertubuh kekar itu hanya mengeluh halus sambil menderam-deram.

"Tiada apa. Kau berehat dahulu, Zie. Kelak aku perlukan kau. Kau perlukan tenaga yang secukupnya untuk laksanakan tugasan seterusnya." Kreious memberi arahan mudah kepada Zie, perempuan hacker pengkhianat kepada bangsa manusia itu. Zie melabuhkan punggungnya di atas sebuah pelantar kayu yang berbentuk memanjang yang dijadikan kerusi. Dia hanya memerhatikan sahaja pergerakan manusia-manusia buas itu menyerbu ke satu arah dan berpusat. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Manusia-manusia buas itu datang dari segenap arah. Baik dari belakang, kiri, kanan mahupun dari bahagian hadapan sana. Seolah-olah ada satu gelombang yang memanggil mereka untuk hadir ke sini dan melibatkan diri dengan kancah peperangan. Bahkan, jumlah mereka semakin bertambah ramai bilangannya. Jumlah kematian di kalangan mereka juga boleh dikatakan ramai.

Kreious hanya memerhatikan pergerakan mereka. Zie memandang ke arah lelaki itu yang kelihatan lebih tampan dari penampilan sebelumnya. Jasad yang diguna pakai sebelum ini kelihatan tua dan tidak bermaya. Jasad baru ini lebih kekar dan tampan. Zie tersenyum melihat penampilan baru kesayangannya itu.

"Macam mana kau mengawal mereka semua secara serentak, Kreious?" Zie tertanya-tanya bagaimana lelaki itu mampu mengawal minda keratus-ratus kemaraan tentera manusia buas itu.

HYPERSERV : BEGINNINGWhere stories live. Discover now