SERVER 60

6 2 3
                                    

Perkampungan Letrazie ternyata sebuah perkampungan yang bukan seperti yang dibayangkan. Hanya namanya sahaja bermula dengan 'Perkampungan' namun keluasannya meliputi permukiman. Jika ditafsirkan di dalam dunia realiti, ianya bukan lagi perkampungan tetapi lebih kepada sebuah kawasan jajahan dan setaraf bandar.

Lokasi dimana Yazaid dan sahabat-sahabatnya bermalam untuk tempoh yang lama itu dijadikan pusat utama perkampungan Letrazie. Disitu jugalah terletaknya ibu pejabat utama pasukan AST, Kapten Zayyan, Elsa dan lain-lainnya.

Sejak awak pagi lagi, Yazaid dan Elsa sudah berada di gelanggang tempur perkampungan itu. Mereka berlatih tanpa henti demi mengukuhkan kekuatan masing-masing. Mereka sudah pun dimaklumkan tentang terlepasnya satu bangsa pembunuh yang paling digeruni sepanjang sejarah penciptaan Hyperserv.

Dentuman bersilih ganti. Penggunaan kuasa System Call ternyata banyak memakan tenaga dalaman yang agak banyak jika tidak dilatih sebaik mungkin. Kuasa dalaman dapat dijimatkan penggunaannya kepada lebih efisien sekiranya banyak latihan yang dilakukan untuk mengawal aliran kuasa dalaman yang digunakan di dalam serangan System Call.

Yazaid dan Elsa mula mengah setelah berlatih berjam-jam lamanya. Meskipun dirasakan latihan mereka masih kurang namun rehat secukupnya amat diperlukan. Sia-sialah latihan mereka selama ini jika kudrat memudar di pertengahan medan tempur.

Yazaid dan Elsa mengambil keputusan untuk berehat seketika di bawah sepohon pokok yang agak aneh rupa bentuknya. Ianya seolah-olah dua pohon pokok bersatu menjadi satu pokok yang sama. Dua dahan utama berkongsi akar yang sama dan bercantum semula pada pucuk di sebelah atas. Yazaid melangoi pandangan. Saiz pokok ini boleh dikatakan sangat besar. Tanpa banyak memikirkan tentang pokok aneh itu, Yazaid menghempaskan tubuhnya bersebelahan Elsa yang nafasnya masih tersekat-sekat.

"Awak dah banyak kemajuan, Yazaid. Lebih pantas dari apa yang saya jangkakan. Sedangkan awak cuma manusia biasa. Bagaimana awak boleh memantapkan kemahiran System Call dalam tempoh masa yang singkat?" Nafas Elsa masih mengah. Yazaid sekadar tersengih-sengih.

"Saya banyak berlatih pada waktu malam ketika semua orang telah tidur. Selama saya disini, tidak ada satu malam pun saya terlepas dari latihan rutin saya." Elsa kelihatan terkejut mendengar penjelasan Yazaid. Dia tidak menyangka bahawa lelaki itu begitu tekad dalam melaksanakan latihan rutinnya.

"Elizia tahu awak buat latihan setiap malam?" Elsa bertanya lagi.

"Tidak. Tapi mungkin dia dapat melihat perubahan saya sejak kebelakangan ini. Mungkin perubahan kekuatan saya nampak ketara juga. Dengan kekuatan ini, bolehlah saya melindungi Elizia dari sebarang ancaman bahaya." Yazaid tampak bersemangat. Dia mengepalkan penumbuknya. Elsa sekadar memandang sepi ke arah Yazaid tanpa sebarang reaksi sehingga Yazaid sendiri tersedar bahawa dirinya direnung oleh Elsa.

"Elsa, kenapa?" Yazaid kehairanan. Apabila pandangan mata mereka bertaut, lekas-lekas Elsa mengalihkan pandangannya dan terlontar ke arah lain. Rona wajahnya kemerahan.

"T...Tak. Tak ada apa-apa." Nafas Elsa tertahan-tahan. Wajahnya terasa hangat. Dia sendiri tidak tahu apa yang difikirkannya ketika ini. Lantas Yazaid bangkit dari pembaringan.

"Elsa... Ada apa-apa tak kena?" Yazaid tidak berpuas hati. Elsa tidak berkalih memandang ke arah Yazaid sama sekali. Pandangan terlontar jauh ke hadapan.

"Awak... dah lama berkawan dengan Elizia?" Elsa mengajukan persoalan yang kedengarannya agak janggal dan jarang didengari oleh Yazaid. Pandangan mata Elsa masih tidak bergerak dari tempat yang sama. Yazaid mengerutkan wajahnya kehairanan.

"Eemm... lama juga. Sejak dari zaman kami belajar bersama-sama di universiti. Kenapa awak tanya?" Rasa ingin tahu Yazaid membuak-buak. Dia kehairanan melihat tingkah laku Elsa yang berubah. Ini bukan seperti Elsa yang dikenalinya sebelum ini. Elsa yang dikenalinya lebih tegas dan apabila dia membuka mulut, hanya perkara yang penting sahaja terluah dari bibirnya.

HYPERSERV : BEGINNINGWhere stories live. Discover now