Newich (Pintu barat), HyperServ
Keadaan perhutanan disini sedikit berbeza dengan perhutanan di permukiman yang lainnya. Perhutanan di permukiman lain bergeografi biasa dan tiada gunung-ganang yang tinggi melampai. Berbanding di kawasan pintu barat ini dimana lokasinya dikelilingi oleh gunung-ganang yang tinggi melampai yang berada di mana-mana. Bahkan, pintu barat ini juga berada di puncak sebuah gunung yang sangat tinggi. Alangkan siang pun, kedinginan tiupan bayu mampu mencucuk sehingga ke tulang-belulang, inikan pula malam hari menjengah.
Kelihatan sekumpulan bangsa Yaneko cekap dan lincah melompat dari pokok ke pokok menuju ke arah puncak gunung itu. Matlamat mereka hanyalah untuk menjagai pintu barat yang dipercayai akan diekploitasi oleh bangsa Valkazar untuk berpindah ke dunia manusia jika tidak diawasi. Kumpulan bangsa Yaneko yang dikepalai oleh Athelia ini berjumlah sangat ramai. Ianya merupakan barisan ketenteraan di bawah kepimpinan Athelia yang terkuat di Hyperserv. Bangsa Yaneko juga merupakan salah satu daripada gugusan ketenteraan yang diasaskan sendiri oleh Rayfall. Tidak peliklah jika barisan ketenteraan bangsa ini sangat cekap dan handal di dalam medan pertempuran terutamanya sekali di dalam hutan belantara. Pergerakan mereka umpama bayang-bayang. Hanya bunyi desiran angin sahaja yang ditinggalkan namun kelibat jasad mereka tidak kelihatan sama sekali. Pergerakan setiap seorang dari mereka terlalu pantas untuk diekori dengan mata kasar. Pengamatan yang sangat tinggi diperlukan untuk menjejaki pergerakan mereka terutamanya Athelia.
Gerombolan mereka tiba di lokasi yang ditujui. Suasana gelap malam yang pekat dan kedinginan hawa sejuk menjadi asam garam di pergunungan ini. Lokasi pintu barat itu terletak betul-betul di atas puncak gunung yang tinggi. Athelia menempatkan dirinya di atas dahan sebatang pokok yang melampai tinggi. Dia hanya bertinggir di atas dahan itu. Busur panah miliknya langsung tidak dilepaskan dari membidik. Mata panah yang disepuh racun itu sesekali membiaskan cahaya rembulan. Biasan cahaya dari mata panah itu sekali pandang sangat indah dan cantik. Ianya umpama kunang-kunang yang mengitari persekitaran pada waktu malam. Sangat indah untuk dipandang namun tanpa diketahui oleh musuh bahawasanya kelipan cahaya 'kunang-kunang' itu adalah sebenarnya biasan cahaya rembulan yang terbias oleh mata panah setiap seorang bangsa Yaneko yang bertinggir di atas dahan pokok. Jumlah mereka yang ramai bertinggir di atas dahan pokok-pokok di situ menjadikan biasan cahaya kecil itu umpama 'kunang-kunang' yang berterbangan.
Athelia mendiamkan diri sambil mencampakkan pandangannya jauh ke satu arah. Tidak jauh dari lokasi mereka, ianya sebuah hamparan platform batu yang retak merekah bersaiz seluas padang bola sepak. Tapak platform batu itu diperbuat daripada batu-batuan yang mampu menyala dalam gelap. Ia menjadi platform itu seolah-olah bercahaya. Tanpa bunyi dan suara, salah sorang wirawati bangsa Yaneko mendarat bersebelahan Athelia.
"Athelia, dimana Estrella? Dia tidak menyertai kita?" Soal salah seorang wirawati Yaneko itu. Athelia menarik nafas halus.
"Biarkan mereka. Estrella bukan anak-anak kecil lagi. Dia tahu menjaga dirinya." Athelia lebih bersifat terbuka dan tidak membawa masalah peribadi ke medan tempur.
"Tapi Athelia, dia dibawa oleh lelaki tu ke satu tempat yang kita sendiri tak ketahui. Mungkin...lelaki tu berniat tidak baik...Aku risaukan Estrella." Pernafasannya tertahan-tahan seakan menahan beban. Athelia menoleh sekilas.
"Shae, kau percayakan aku?" Soal ringkas dari Athelia. Gadis bernama Shae itu menganggukkan kepalanya.
"Jika kau percayakan aku, kau harus percayakan Estrella." Athelia melontar pandangannya ke pintu barat itu semula. Jauh disudut hatinya, dia sebenarnya sungguh tidak mempercayai akan keupayaan Estrella. Dia melatih Estrella bertahun-tahun malahan sejak dari mula lagi. Estrella langsung tidak mampu memanah. Tidak mampu sama sekali.
'Kau takkan mampu melatih Estrella, Fared. Dia adalah bangsa Yaneko yang berbeza keupayaannya dari kami. Dia tidak mampu memanah sejak azali. Kau takkan mampu mengubah siapa diri Estrella, Fared.' Gumam Athelia sendirian di dalam hatinya. Dahinya berkerut seribu. Meskipun dia tidak menyenangi akan Estrella sebagai pengikut kanannya namun latihan yang bertahun-tahun lamanya membuatkan hatinya ada sekelumit rasa mengambil berat tentang Estrella. Bahkan dia juga risaukan tentang keselamatan Estrella cuma egonya terlalu tinggi untuk memperakuinya.
YOU ARE READING
HYPERSERV : BEGINNING
Mistero / ThrillerBayangkan, sebuah dunia yang tidak mampu kita bayangkan. Bayangkan, sebuah dunia yang tidak tergapai dek tangan. Bayangkan, dunia yang sepatutnya tidak wujud diwujudkan. Bayangkan, dunia itu terlahir di alam digital. Bayangkan, manusia yang kekurang...