SERVER 71

3 2 0
                                    

Mentari menyinari bumi Hyperserv seperti kebiasaannya. Dunia digital itu satu-satunya ciptaan manusia yang besar boleh dikatakan 'gagal' secara halusnya kerana tiada satu pun ciptaan manusia yang sempurna jika dibandingkan dengan ciptaanNya yang sempurna serba-serbi. Bagi hambaNya yang berfikir akan diperlihatkan kekuasaanNya yang menaungi sekalian alam dan kita sebagai hambaNya wajib taat setiap perintahNya dan menjauhi segala laranganNya. Rugilah hamba-hambaNya yang mengingkari perintahNya.

Peperangan yang tercetus di dunia Hyperserv kini menjadi semakin huru-hara dan kacau-bilau. Bangsa Valkazar yang terlepas dari kurungan penjaranya beberapa tempoh yang lalu menambahkan lagi kesulitan keadaan yang dihadapi ketika ini. Tidak cukup dengan gangguan jangkitan virus yang tidak diketahui sehingga kini. Ditambah pula dengan terlepasnya satu bangsa pemusnah suatu ketika dahulu yang kini menguasai permukaan bumi Hyperserv. Bangsa-bangsa ini kini berselerak di seluruh benua Grand Southgate. Bangsa ini berada di mana-mana ketika ini. Realm Bridge yang wujud kesemuanya dimusnahkan sama sekali oleh pasukan tentera elit bangsa Letrazie yang bertindak sebagai benteng keselamatan benua ini. Itu pun sebahagian besar dari bangsa Valkazar sudah terlepas ke dunia manusia dan masih ada lagi sejumlah bilangan besar yang masih berada di dunia digital ini menunggu peluang Realm Bridge terbuka. Jika pasukan tentera elit bangsa Letrazie terleka sedikit sahaja, sejumlah besar bangsa Valkazar boleh terlepas lagi ke dunia manusia. Kerana itu bangsa Letrazie sangat peka dan cekap melaksanakan tugas mereka untuk memusnahkan setiap satu Realm Bridge yang terbuka bahkan tidak membenarkannya walau satu pun.

Kapten Zayyan kini berdiri di atas pucuk pokok yang tinggi melampai. Tubuhnya seolah-olah terlalu ringan umpama bulu haiwan yang terletak di atas sehelai daun. Injakan hujung kakinya di pucuk pokok itu seolah-olah tubuhnya tiada beban. Pandangan mata Kapten Zayyan tertancap ke arah sebuah gunung terbesar di benua ini.

'Mountain of Guardian. Bala bencana terbesar bakal berlaku jika kau tidak dihapuskan'. Gumam hati Kapten Zayyan secara monolog. Yang dimaksudkan 'kau' oleh Kapten Zayyan bukanlah merujuk kepada gunung terbesar itu tetapi lebih merujuk kepada sebuah bangkai robot berbentuk labah-labah gergasi yang terdampar di atas puncak gunung itu. Puncaknya diselaputi awan putih kerana terlalu tinggi sehingga hampir tidak menampakkan tubuh bangkai robot gergasi itu. Yang terlihat hanya lapan juntaian kakinya yang memanjang sehingga mencecah kaki gunung dan berlingkar-lingkar di bawahnya.

Dalam ketika lamunan panjang Kapten Zayyan yang panjang, anak telinganya terdengar bunyi sesuatu yang aneh. Bunyi geseran besi dengan angin dalam kelajuan yang tinggi menuju ke arahnya.

Pantas Kapten Zayyan menundukkan kepalanya. Serentak itu juga anak panah itu menyasar angin melepasi belakang kepalanya. Kapten Zayyan menoleh sekilas ke arah si penyerang namun tidak kelihatan.

Sekali lagi anak telinganya terdengar bunyi geseran besi dan angin dalam kelajuan yang tinggi menuju ke arahnya. Kapten Zayyan menjadi hairan. Dia melompat tinggi ke udara. Sekilas dia memandang ke bawah. Kelihatan anak panah yang menyerangnya tadi berpatah balik.

'Anak panah yang sama berpatah balik? Mana mungkin?' Kapten Zayyan pantas menjunam ke bawah sehingga kakinya mencecah tanah lantas berselindung di sebalik semak samun yang merimbun. Sorotan matanya tercari-cari kelibat si penyerang. Sesekali terdengar bunyi geseran angin dengan besi yang menghasilkan bunyi berdesing kedengaran seperti sedang berpusar-pusar ke serata tempat. Kapten Zayyan hanya menunggu dalam persembunyian.

Tidak lama seketika itu, dia terlihat kelibat tiga orang yang sedang berjalan dalam keadaan yang bersiaga. Dua orang adalah lelaki dan seorang adalah perempuan. Membulat anak mata Kapten Zayyan apabila mengenali salah seorang dari mereka.

'Tyrel?' Kapten Zayyan bergumam di dalam hati. Dia mengenali lelaki itu dan anehnya mengapa Tyrel bersama dengan dua orang yang tidak dikenalinya. Perlahan-lahan Kapten Zayyan keluar dari persembunyian.

HYPERSERV : BEGINNINGWhere stories live. Discover now