Perkampungan Cendrawaseh,Tahun Infiniti 30XX
Kasihnya seorang ibu tidak terbalas walau sejuta tahun mendatang.Kasihnya tumpah tidak berbelah bahagi kepada anak yang dilahirkan dengan menggadai nyawa untuk memberi tunjang nyawa buat pewarisnya yang amat dikasihi.Sejak Ismail terlantar koma, Asiah banyak memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak tunggal kesayangannya itu sehingga sedikit sebanyak terabai kesihatan dirinya.Tubuhnya mulai susut akibat banyak kehilangan tenaga dan banyak meratapi nasib yang menimpa anak tunggal kesayangannya.Saban hari, Asiah banyak menemani anaknya yang terlantar di katil bilik.Membasahi umbun-umbun kepala Ismail dengan kain lembap.Mengusap-ngusap rambut Ismail dengan penuh belaian kasih sayang.Saban hari juga Asiah membisikkan kata-kata semangat di telinga Ismail dengan harapan anaknya tabah menghadapi cabaran dan ujian Allah ketika ini.
Hairuddin sekadar menjengah dari balik daun pintu bilik.Rintihan isterinya kedengaran hiba dan sayu menerbitkan rasa sebak yang bertakung dihatinya namun digagahkan jua agar titisan jernih tidak terbit dari kolam matanya.Dia perlu lebih kuat.Menunjukkan contoh terbaik utk keluarganya.Dia menapak perlahan menuruni anak tangga keluar rumah dan menempatkan dirinya di beranda rumah.Merenung jauh melangkau pemandangan.Anak matanya memandang bukit-bukau nan indah ciptaan Allah yang Maha Esa satu-satunya.
Perasaannya bergejolak.Jiwanya merintih menahan sebak.Getar suaranya tertahan-tahan di halkum tidak terluah.Akhirnya dia tewas.Terbit titisan jernih dari kolam mata mengalirkan air mata yang hangat membasahi pipi.Hairuddin gagal membendung perasaan.Suara Asiah mendayu-dayu dan sayu memujuk anaknya supaya bangun dan riang seperti sediakala.Namun, buat ketika ini hanya Hairuddin yang mengerti situasi genting ini.Beberapa hari lalu, ada nyawa yang menjadi taruhan lagi di hujung kampung.Kejadiannya serupa dengan mangsa sebelumnya.Apa yang lebih meresahkan,perkara yang sama bakal berlaku ke atas Ismail.Cepat-cepat Hairuddin beristighfar.Melempar jauh firasat buruk itu dari terus mengasak mindanya yang sudah sedia bercelaru.
Hairuddin mengeluarkan seutas rantai dari poket kanannya.Dia menyentuh dan melihat-lihat sebiji loket berwarna biru gelap yang tergantung pada rantai itu.Pengamatannya teramat dalam.Jauh mengimbau masa silam yang mungkin manis untuk dikenang atau mungkin pahit untuk ditelan.Segala-galanya kabur.Biar dia sahaja yang mengetahui perkara itu.Hanya dia sahaja.Hanya dia dan Allah yang Maha Mengetahui.
Sentuhan Asiah melambung Hairuddin kembali ke alam nyata.Hairuddin tersentak tatkala bahunya disentuh.Sekilas dia menoleh kepada isterinya dan merauti wajahnya dengan senyuman.Asiah sekadar senyum seadanya.Lapisan bawah matanya kelihatan membengkak.Tiada kata-kata terluah diantara mereka.Sekadar menggumam di dasar hati tanpa dizahirkan.Berkongsi rasa yang sama walau tidak terluah.
Lamunan suami isteri itu terhenti apabila sebuah kenderaan berteknologi tinggi memakirkan kenderaannya di halaman rumah.Hairuddin dan Asiah tertinjau-tinjau siapakah gerangan tetamu yang hadir.
"Assalamualaikum." Salam suci disahut hampir serentak oleh Hairuddin dan Asiah apabila pemandu kenderaan itu keluar dari perut keretanya.Seorang gadis keluar dari pintu sebelah kiri.
Hairuddin menghiasi wajahnya dengan senyuman yang ikhlas walaupun hatinya bergalau.Menapak perlahan mendapatkan tetamunya yang amat dikenali.
"Tuan Hadif.Apa khabar?" Mereka berpelukan tanda persahabatan.
"Alhamdulillah.Begini saja lah." Hadif membalas mesra.Asiah pula turun ke halaman dan menempatkan dirinya bersebelahan Hairuddin.
"Silakan naik, tuan." Hairuddin mempelawa tetamunya naik ke rumah.Menjadi kemestian baginya untuk memuliakan tetamu seperti saranan Islam dan menjadi sunnah Rasulullah untuk memuliakan tetamu yang hadir tanpa mengira batas usia atau darjat.
Hadif tidak banyak bertingkah.Tetamu yang seorang lagi juga menuruti Hadif dari belakang.Hairuddin dan Asiah kebingungan.Dia tidak mengenalinya namun tidak pula bertanya.Biarlah Hadif sendiri yang memperkenalkannya.Itu lebih molek,fikirnya.

ANDA SEDANG MEMBACA
HYPERSERV : BEGINNING
Mystery / ThrillerBayangkan, sebuah dunia yang tidak mampu kita bayangkan. Bayangkan, sebuah dunia yang tidak tergapai dek tangan. Bayangkan, dunia yang sepatutnya tidak wujud diwujudkan. Bayangkan, dunia itu terlahir di alam digital. Bayangkan, manusia yang kekurang...