Letrai Bay, La Brecha, HyperServ
Matahari kian merunduk ke ufuk.Perlahan-lahan meninggalkan hari ini berlalu dengan pelbagai peristiwa.Dua rembulan mula mengambil tempatnya perlahan-lahan bangkit dari beradu.Tiada siapa yang tahu perihal sistem solar di dunia ini dan bagaimana ia berfungsi.Segala-galanya sudah diprogramkan mengikut aturan yang ditetapkan oleh sistem.Meskipun ianya kelihatan seperti realiti namun hakikatnya ianya sebuah pergerakan sistem komputer yang menjadikannya seolah-olah realiti.Jasad manusia terbaring di dunia manusia.Hanya mindanya sahaja yang menerawang masuk ke dunia ini.Menjalani sebuah kehidupan lain di dunia ini.Hakikatnya, hidup di dunia merupakan satu kehidupan dan dihidupkan kembali selepas mati juga merupakan satu kehidupan lain.Guliran kehidupan tidak terhenti disitu sehingga diputuskan anak-anak Adam itu akan menghuni di Syurga-Nya atau Neraka-Nya.Syurga adalah sebaik-baik kehidupan.Manusia tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki.Cuba mencipta sesuatu yang mengatasi batas kemanusiaan sekali gus meminggirkan pegangan agama Islam yang seharusnya menjadi tunjang dalam menjalani kehidupan sehari-hari.
Yazaid terasa mamai dan berpinar.Matanya sesekali menjadi cerah dan kelabu semula.Renjatan bius rantai bercahaya kebiruan terlalu kuat baginya.
Dia cuba bangkit untuk duduk dengan kaki melunjur.Susah payah mengerah tenaga untuk bangkit.Mengamati persekitaran dengan penuh curiga.Akalnya cuba mengingati perkara terakhir yang diingati.Sebelum dia tidak sedarkan diri, perkara terakhir yang diingati ialah terlihat kelibat seseorang yang bertopeng masuk ke dalam bilik itu dan diikuti oleh seseorang yang amat dikenali susuk tubuhnya.
Yazaid membengiskan wajah.Dahinya berkerut.Dia amat mengenali susuk tubuh lelaki itu.Itu adalah Leo! Dia sangat meyakininya itu adalah Leo.Darahnya membuak-buak.Leo mengkhianatinya.Leo merancang segala-galanya dengan teliti sehingga mendapat kepercayaan dikalangan mereka.Buktinya apabila Leo tiada disitu apabila mereka diserang hendap oleh sekumpulan makhluk yang bertopeng.Mereka diikat dengan libasan rantai bercahaya kebiruan.Ternyata rantai bercahaya kebiruan itu mempunyai bius yang terlalu ampuh untuk ditegah oleh tubuh.
Yazaid bingkas bangkit dari pembaringan.Keadaannya masih sama seperti sebelum dia tidak sedarkan diri.Malahan suasana bilik ini juga sama.Dia menapak perlahan ke arah pintu.Melekapkan telinga ke permukaan pintu untuk mendengar sebarang bunyi yang berada diluar.Berkemungkinan ada pengawal yang menjaganya supaya tidak terlepas.Dia menggenggam tombol pintu dan dipulas perlahan-lahan sehingga tidak mendatangkan sebarang bunyi.Pergerakannya seperti ninja.Bergerak dalam bayang.
Daun pintu dikuak perlahan.Yazaid menjengah keluar.Tiada siapa disitu.Pandangannya merayap ke serata arah.Bilik ini adalah salah satu daripada bilik-bilik yang ada di rumah ini.Bilik ini juga berada di tingkat atas sebuah rumah kayu.Lantai langgarnya juga diperbuat daripada susunan kayu yang berkualiti tinggi dan berkilat.Palang-palang kayu yang memisahkan lantai langgar dan ruangan bawah juga diukir dengan ukiran yang cantik dan unik.Ternyata ianya hasil ukiran tangan yang sangat mengagumkan.Pencahayaan rumah ini datangnya dari pelita kaca yang berjumlah agak banyak namun dicantumkan menjadi satu lampu gantung besar atau Chandelier yang sangat indah dan cantik.Ianya tergantung dibahagian tulang kayu tengah atap terjuntai ke bawah.Suasananya sangat menenangkan.Pencahayaan yang tidak terlalu malap dan tidak terlalu terang.Biasan cahaya ke dinding mewujudkan suasana harmoni.
'Mana ada penjara macam ni?' Gumam Yazaid sendirian.Pada peringkat awal, dia menduga bilik tempatnya dikurung itu adalah penjara.Namun telahannya ternyata meleset sama sekali apabila dia melangkah keluar dan melihat suasana persekitaran rumah agam ini.
Yazaid memandang ke aras bawah.Ruang tamu yang agak luas dengan dekorasi unik serta pencahayaan tambahan yang sangat memukau pandangan.Cahaya kuning mendominasi ruang.Penataan cahayanya juga menimbulkan mood berehat dan santai.Terdapat beberapa bingkai gambar dengan hasil lukisan tangan yang sangat cantik tergantung di dinding-dinding sebagai hiasan ternyata membuatkan ruangan bawah itu semakin menenangkan.Yazaid semakin keliru.Tiada sesiapa di ruang bawah.

ANDA SEDANG MEMBACA
HYPERSERV : BEGINNING
Misteri / ThrillerBayangkan, sebuah dunia yang tidak mampu kita bayangkan. Bayangkan, sebuah dunia yang tidak tergapai dek tangan. Bayangkan, dunia yang sepatutnya tidak wujud diwujudkan. Bayangkan, dunia itu terlahir di alam digital. Bayangkan, manusia yang kekurang...