Tompokan darah berselerakan di persekitaran ini. Fared dan Estrella terasa mengah. Senak di bahagian abdomen masing-masing sedangkan Runaan pula galak menyerang tanpa henti. Makhluk bangsa Valkazar ini terlalu ampuh untuk ditumbangkan. Dia mempunyai kelebihan untuk mengawal elemen cecair termasuk darahnya sendiri. Ini bermakna semakin banyak luka yang terdapat pada tubuhnya, semakin banyak darah yang boleh digunakannya untuk dijadikan senjata. Persoalannya, adakah darahnya tiada had? Itu yang menjadi kemusykilan Fared yang sejak awal pertempuran lagi dianalisis sebaik mungkin.
"Sia-sia perjuangan kau, Runaan. Raja Raa dah lama mati. Maut ditangan salah seorang panglima kami, Kapten Zayyan." Fared cuba memprovok Runaan.
"Aku tahu akan berita tu. Cuba kau beritahu aku tentang berita yang aku tidak tahu, wahai manusia lemah." Keangkuhan Runaan menunjang tinggi melangit.
"Kalau kau dah tahu, kenapa kau tetap teruska perjuangan kau yang mengarut ni? Usaha kalian semua sia-sia! Tanpa Raja Raa, kalian tak akan mampu menguasai dunia realiti bahkan dunia Hyperserv pun tak akan mampu kalian rampas!" Fared meningkah keras. Pedangnya yang terpacak di tanah diambil semula dan di genggam kemas di tangan kanannya. Tangan kirinya sesekali terasa kebas.
"Hahaha... banyak perkara yang kau tidak tahu tentang kami. Kau tahu kenapa Raja Raa mencipta Zaragas?" Runaan menjengilkan biji matanya. Fared merengus kasar.
"Kerana dia tahu, di dalam peperangan kali ini tidak akan sama seperti kami bertempur dengan Rayfall dahulu. Dahulu, pasukan tentera Rayfall tidak ramai yang ampuh selain Rayfall, Zayyan dan Hairuddin. Lainnya, semua lemah! Tetapi peperangan kali ini jauh berbeza. Lihat saja kau! Aku kagum dengan kau kerana kau masih betah bertahan sehingga ke tahap ini. Biasanya... sesiapa yang bertempur dengan aku akan maut tidak lebih dari satu minit. Ini menandakan kekuatan musuh kami jauh lebih ampuh di dalam peperangan ini." Panjang lebar hujah runaan.
"Jadi?" Fared mahu mengetahui lebih lanjut.
"Jadi... Raja Raa sengaja mencipta Zaragas dengan gabungan dua manusia bersama Batu Valkarie. Hasilnya, seorang bangsa Valkazar hibrid tercipta yang jauh lebih ampuh dari Raja Raa sendiri bahkan lebih ampuh dari Zayyan dan Hairuddin! Hahahaha" Runaan tergelak besar melihat wajah Fared yang berkerut seribu.
"Apa faedahnya dia mencipta Zaragas yang lebih kuat darinya? Sedangkan dia adalah seorang raja?" Fared keliru.
"Kerana Raja Raa tahu bahawa di dalam peperangan kali ini, dia akan... mati! Kerana kekuatan musuh kami lebih ampuh dari sebelumnya. Seperti aku katakan, lihat saja kekuatan kau sudah memadai. Jadi... Raja Raa sengaja mencipta Zaragas untuk menyambung legasi Valkazar di dalam menempa nama di puncak dunia." Runaan mendabik dada.
"Aku tak rasa begitu. Kalian Valkazar akan menyembah bumi Hyperserv buat sekian kalinya. Dan kali ini... kalian akan pupus buat selamanya. Kalian tercipta di atas kesilapan dan ralat di dalam kod asas penciptaan dunia Hyperserv suatu ketika dahulu. Ini bermakna...kalian hanya cache. Dalam erti kata lain, kalian adalah...sampah!" Wajah Runaan membengis apabila terasa seakan bait kata Fared seperti menghinanya.
"Keparat kau! Jangan kau menghina bangsa aku!" Runaan melepaskan ledakan darahnya dan menjadi bilah-bilah tajam. Dia menujah pantas ke arah Fared. Lonjakan kaki kanan Fared membuatkan tubuhnya melayang ke udara lantas dilibaskan pedangnya ke bawah. Satu cantasan angin meledak namun Runaan pantas mengelak. Permukaan tanah tergarit memanjang seakan dilibas oleh sesuatu yang tajam dan panjang.
Runaan tidak berlengah sementara musuhnya masih terawang diudara. Dia mengeluarkan darahnya dengan jumlah yang lebih banyak dan membentuk sebilah sabit besar berwarna merah gelap. Runaan menghayun dan melibas ke arah Fared.
Tanpa disangka, Fared menendang angin membuatkan tubuhnya terlontar menyebabkan cantasan sabit Runaan tersasar dan membelah angin. Sebaik sahaja kaki Fared mendarat ke tanah, dia melibaskan pedangnya ke arah Runaan. Serentak itu juga, ketulan-ketulan batu kecil dalam jumlah yang banyak terapung tinggi dan meluru pantas umpama peluru menebak tubuh Runaan. Tubuh lelaki Valkazar itu berlubang-lubang dan darahnya meruak. Fared merengus kasar. Dia terlupa tentang sesuatu berkaitan musuhnya ini. Semakin banyak lukanya, semakin banyak darah yang mengalir keluar. Ini membuatkan musuhnya mampu menghasilkan senjata yang lebih kuat dari darahnya sendiri yang dipejalkan.
YOU ARE READING
HYPERSERV : BEGINNING
Mistério / SuspenseBayangkan, sebuah dunia yang tidak mampu kita bayangkan. Bayangkan, sebuah dunia yang tidak tergapai dek tangan. Bayangkan, dunia yang sepatutnya tidak wujud diwujudkan. Bayangkan, dunia itu terlahir di alam digital. Bayangkan, manusia yang kekurang...