SERVER 49

2 2 0
                                        

Jaluran masa tidak menunggu sesiapa pun.Tiada siapa pun dikalangan makhluk ciptaan-Nya dapat terlepas dari jaluran putaran masa. Tanpa sedar, tiga hari sudah berlalu beralih kebelakang waktu. Guliran waktu seakan-akan tidak terasa peralihannya.

Ismail dan Kirin menetap disebuah rumah kayu yang bertunjang di dahan pokok Tamashi. Bagi bangsa Yaneko, pokok ini mempunyai jiwanya tersendiri dan jiwa itulah yang meresap ke dalam setiap jiwa bangsa ini.Seolah-olah ianya menerbitkan satu panduan pada hati dan jiwa masing-masing. Ianya sekadar wujud di dalam dunia digital ini.

Malam ini seperti kebiasaan. Api-api jamung berada di mana-mana menerangi setiap pelusuk perkampungan ini namun nun jauh di bawah perhutanan sana kelihatan gelap-gelita dan haiwan-haiwan pemangsa berkeliaran memburu mangsa-mangsanya demi kelangsungan hidup mengikut kitaran.

Ismail kelihatan bermenung sambil menongkatkan siku pada palang-palang kayu yang menjadi pemisah antara pelantar dan jurang ke bawah. Lelaki itu bermenung sambil menghirup secawan air panas untuk memanaskan tubuhnya.

Dari kejauhan, kelihatan seorang gadis menghampirinya berjalan dengan penuh lembut dan teratur. Kirin muncul dari kanan Ismail. Ismail sekadar menoleh sekilas sambil tersenyum. Senyumannya dibalas oleh Kirin. Gadis itu menempatkan tubuhnya bersebelahan Ismail. Kelihatan seolah-olah dua merpati sejoli sedang dilamun cinta yang tidak terungkap.

"Dah tiga hari Fared tinggalkan kita disini. Apa agaknya perkhabaran mereka?" Kirin sekadar berbasi-basa untuk memulakan perbualan. Ismail melepaskan keluhan halus. Keluhan itu bukanlah satu keluhan yang memberati pundak bahunya tetapi keluhan itu sekadar melepaskan lelah yang terbuku.

"Saya pun tak tahu apa yang akan jadi. Sama ada Fared benar-benar dapat melatih Estrella atau pun tidak. Ikut cerita-cerita yang diceritakan disini, Estrella seolah-olah terkena sumpahan. Langsung tidak diberikan kelebihan untuk memanah sebagai asas bangsa Yaneko. Malahan, Estrella juga langsung tidak boleh dilatih walau sekuat mana pun usahanya. Ianya seolah-olah satu sumpahan yang tidak membunuh namun menyeksakan jiwa Estrella sendiri." Ismail berhujah panjang.

"Saya risaulah. Awak tau kan, Athelia bukan calang-calang.Dia pemimpin pada bangsa Yaneko. Pasti keampuhan tempur dia sangat hebat dan tak terkalahkan." Raut wajah Kirin berubah kerisauan. Dia menjadi risau kerana sejak mereka bertiga bertandang di perkampungan ini, Estrella menjadi sahabat baik pada Kirin.

"Jangan risau, Kirin. Fared tahu apa yang dia sedang lakukan.Kita hanya berharap yang terbaik buat mereka." Ismail lebih berfikiran positif walaupun jiwanya sendiri sedang diamuk resah dan badai. Hakikatnya, dia sendiri tidak mengetahui bagaimana Fared mahu melatih Estrella sedangkan Fared sendiri tidak mengetahui asas-asas memanah yang tepat bahkan langsung tidak menggunakan senjata panah sebagai senjata pertahanan utamanya.

Mereka berdua berdiam diri. Hanya laungan irama unggas-unggas hutan sahaja yang mengitari persekitaran. Hawa dingin mula menerjah menusuk-nusuk ke tulang-belulang. Aliran angin di paras tinggi ini lebih deras berbanding di bawah sana. Sesekali terdengar bunyi haiwan-haiwan pemangsa berteriak memburu rantaian makanan mereka di bawah sana.

Seolah-olah suara lolongan anjing kedengaran memecah kesunyian di antara mereka namun lolongan itu kedengaran agak aneh. Lolongannya panjang berdayu-dayu dan sayup kedengaran. Bunyi lolongan anjing yang panjang itu seolah-olah bercampur antara bunyi seekor serigala dan bunyi garau bergaung-gaung. Ismail dan Kirin berpandangan. Roma Ismail merinding serta-merta. Bunyi lolongan itu seakan-akan sama dengan cerita-cerita seram yang ditontonnya ketika di dunia realiti. Mereka berdua mengitari pandangan. Suasana perkampungan itu menjadi riuh sedikit berbanding sebelumnya. Dari kejauhan, kelihatan Athelia berlari ke arah mereka berdua.

"Ismail! Kirin!. Mari ikut saya.Sekarang!" Athelia bernada tegas. Ismail dan Kirin tidak banyak meningkah melainkan sekadar menuruti perintah. Mereka bertiga berlari menuju ke pelantar tingkat lebih atas dan lebih tinggi. Sesekali mengah juga dibuatnya. Pernafasan Ismail menjadi lebih deras berbanding Kirin dan Athelia yang kelihatan sudah biasa berlari pantas seperti ini. Maklumlah, Ismail sekadar manusia biasa di dunia digital ini sedangkan mereka memang berasal dari dunia ini.Mungkin atas sebab faktor itu mereka lebih bertenaga.

HYPERSERV : BEGINNINGTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang