SERVER 36

5 3 0
                                        

Gua Grotte Bardtan, Fuego, HyperServ

"Bangun!! Bangun, wahai manusia! Bangun!" Suara itu bergema-gema dan melantun-lantun.Lontaran suara itu memekakkan telinga.Terlalu bingit dan bergema.Tajima dan Zaidi bangun hampir serentak dengan kaki yang terlunjur.Mereka terkejut yang amat.Jantung berdegup pantas.Mereka terlelap agak lama.Peredaran masa disini tidak diketahui memandangkan lokasi dunia ini jauh ke dalam pusat bumi Hyperserv.Suasananya sama sahaja saban masa.Tiada kitaran siang mahupun malam.Ianya diterangi oleh cahaya dari aliran lava.

Tajima dan Zaidi bingkas berdiri namun langkah mereka terbejat.Mereka berdua berada di dalam sebuah sangkar kurungan yang diperbuat daripada batu.Palang-palang yang mengurung mereka, atas sangkar bahkan lantai sangkar.Kesemuanya daripada batu.Dihadapan mereka berdiri gah seekor makhluk bersaiz gergasi.

Tubuh badannya seolah-olah berasal daripada batu keseluruhannya.Merekah dan dicelah rekahan itu kelihatan seperti aliran lava.Matanya berwarna merah menyala dan sesekali terbit api keluar dari mulutnya.Mempunyai tanduk yang runcing ke atas dan terbakar pada bahagian hujungnya.Tangan kanan memegang pedang bermata dua.Tajima dan Zaidi menjadi kaget.Selain daripada Xeados, mereka tidak pernah bertemu makhluk lain disini.

"Nama aku Runaan.Panglima Raja Raa.Aku ditugaskan untuk mencari kalian bangsa manusia yang mampu menembusi ke dunia kami." Suaranya bergema-gema.Apabila ia berkata-kata, terdapat puing-puing api kecil keluar dari mulutnya.

"Kenapa kau kurung kami?" Tajima melangkah setapak ke hadapan.Matanya memerhati tentera Runaan yang terdiri daripada pelbagai elemen dan wajah yang menakutkan.

"Aku menjumpai kalian pengsan dipertengahan hutan sana.Sebagai langkah berjaga, aku mengurung kalian di dalam Jaulas ini sementara perjalanan kita ke istana Raja Raa." Runaan memperlihatkan tubuhnya yang sasa dan gagah.Wajahnya membengis dan menyinga.

"Jaulas?Kau panggil sangkar kurungan ini Jaulas?" Tajima menduga-duga.Runaan lantas berpaling ke hadapan dan memberi arahan kepada tentera-tenteranya yang ditugaskan untuk menarik sangkar batu itu.Tidak mengendahkan soalan dari Tajima.Maka, sangkar itu bergerak apabila dua tentera Runaan menarik pada bahagian hadapan dan dua lagi tenteranya menolak sangkar itu dari pada belakang.Tajima dan Zaidi terdorong ke belakang lalu terduduk.Langkah mereka jauh lebih jauh jaraknya kerana kaki mereka agak panjang berbanding manusia biasa.Oleh kerana itu, pergerakan sangkar batu dirasakan seperti bergerak laju ke hadapan bagi manusia biasa.

"Kami boleh berjalan sendiri.Lepaskan kami!" Tajima melontarkan suara.Runaan langsung tidak menoleh.

"Kalian mempunyai kaki yang pendek.Pergerakan kalian agak lambat.Raja Raa mahu bertemu kalian secepat yang mungkin." Runaan membalas tanpa berkalih memandang mereka.Ternyata ianya satu perbuatan yang agak kurang sopan.

"Kenapa tidak dibunuh saja kami?" Zaidi mempersoalkan tindakan Runaan.Tajima menjengilkan biji mata tanda menegah.Setiap kata-kata perlu dijaga agar tidak menyinggung perasaan makhluk-makhluk aneh disini.Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata maut padahnya.Mereka hanya pendatang disini.

Runaan berhenti mendadak.Tentera-tenteranya yang menolak kurungan batu itu juga turut berhenti mendadak apabila ketua mereka berhenti melangkah.Tajima dan Zaidi terdorong ke hadapan dan terjatuh terlentang berhampiran palang-palang batu.Lantas Runaan berkalih ke arah mereka.Wajahnya didekatkan kepada Tajima dan Zaidi.

"Kalian mempunyai tangkal azimat yang membolehkan kalian masuk ke sini.Aku tak boleh menghapuskan kalian.Raja Raa berkenan untuk bertemu dengan tetamu yang tidak diundangnya ini.Jika bukan kerana Raja Raa, kalian berdua sudah menjadi debu mayat! Penjajah bangsa manusia!" Runaan membengis.Wajahnya terasa hangat sehingga menerbitkan api pada seluruh wajahnya.Tajima dan Zaidi terkedu.Zaidi mengeluarkan tangkal azimat yang diperkatakan.Ianya sebiji batu kristal berwarna kebiruan.Tajima mengenali batu itu.Zaidi membawanya setiap masa dan dia mengutipnya ketika mula-mula menjejakkan kaki ke Hyperserv lagi.Dia sendiri tidak tahu mengenai batu ini.

HYPERSERV : BEGINNINGTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang