SERVER 90

6 0 0
                                        

Lokasi Master Orb, selatan Fin Del Mundo, HyperServ

Suasana gegak-gempita bergemuruh. Tiada satu pun kawasan di perhutanan sebelah sini yang sunyi dan bersih berwarna tanah. Hampir keseluruhannya penuh dengan tompokan darah yang merata. Jika tidak tompokan darah bangsa Valkazar, pastinya kesan tompokan darah itu tertumpah dari bangsa yang menentang mereka.

Bangsa Valkazar dikatakan bangsa yang sangat sukar untuk ditumbangkan kerana bangsa mereka sahaja terdiri daripada pelbagai jenis elemen yang wujud di dunia Hyperserv. Oleh atas sebab kelebihan itu, rempuhan benteng penyerang mereka jauh lebih ampuh dan berkuasa berbanding bangsa-bangsa lain yang kebiasaannya hanya mendominasi satu atau dua elemen sahaja. Itu tidak termasuk bangsa yang tidak mendominasi elemen seperti bangsa Yaneko dan Ensis. Bangsa ini hanya bergantung kepada kemahiran mereka dalam corak seni tempur masing-masing.

Di hadapan pintu gua Master Orb, barisan benteng pertahanan mempertahankan laluan masuk ke dalam gua itu. Meskipun pintu gua itu diselaputi satu dinding lutsinar berwarna kebiruan namun pertahanan peringkat awal itu lebih diutamakan. Bangsa Valkazar salah satu daripada bangsa yang bijak pandai. Itu lebih merbahaya jika tidak diawasi.

Nun dikejauhan di atas sebuah bukit, dentuman yang bersilih ganti sesekali bergema menggegar bumi. Kemudiannya muncul pula ledakan-ledakan gergasi yang menjanjikan maut bagi sesiapa yang berada di dalam laluannya. Satu susuk tubuh melayang tinggi ke udara dan teraung-apung di angkasa memerhatikan satu lagi susuk tubuh yang berdiri tegap di bawah sana.

"Kau lihat, Zayyan! Betapa indahnya pemandangan dari atas sini. Mari ke sini, Zayyan. Kita nikmati pemandangan indah ini bersama." Zaragas seolah-olah mencabar sambil tersenyum sinis. Kapten Zayyan pula tidak mudah melatah. Sepanjang pertembungan sengit di antara mereka berdua, Zaragas seolah-olah sedang bermain-main dengannya dan kelihatan tidak serius dalam medan tempur ini.

Kawasan tempat mereka bertempur beralih-alih lokasi. Seketika di bawah sana. Seketika kemudian di atas bukit ini. Dan kemudiannya teralih ke satu kawasan perhutanan yang melunjur ke laut membawa ke bahagian teluk dan kini kembali semula ke perbukitan ini. Ini kerana pertembungan kedua-dua makhluk Hyperserv itu terlalu sengit dan sama hebat tandingannya. Pergerakan mereka terlalu pantas. Setiap percaturan mereka tidak mampu dicarupi oleh mata kasar. Setiap kali mereka beralih tempat bertarung, kawasan itu pasti musnah keseluruhannya. Sama ada terbakar atau musnah sama sekali. Ledakan tenaga dari Kapten Zayyan tidak mampu ditampung oleh alam Hyperserv. Begitu juga dengan ledakan tenaga Zaragas yang sama tandingannya dengan Kapten Zayyan.

Dentuman kecil bergema dari bawah sana. Belum sempat kelopak mata Zaragas berkerdip, Kapten Zayyan sudah berada di hadapannya yang turut sama terawangan dengan bilah pedang yang disendeng ke kiri bersedia untuk mencantas batang leher Zaragas.

Libasan Kapten Zayyan yang sepantas kilat itu mampu dielak oleh Zaragas. Tubuh lelaki itu melonjak ke atas menjadikannya berkedudukan lebih tinggi dari Kapten Zayyan. Cantasan Kapten zayyan membelah angin. Hasil cantasan itu, gelombang angin tertolak deras dan membentuk gelung-gelung angin yang berpusar dalam skala yang teramat besar. Ia terarah ke bahagian laut membuatkan air lautan itu bergelora menganas akibat hanya dengan cantasan Kapten Zayyan sahaja.

"Ganasnya kau ni, Zayyan! Jangan sombong sangat!" Zaragas melunjurkan telapak tangannya tepat ke arah muka Kapten Zayyan. Tanpa sebarang tanda, telapak tangan Zaragas mengeluarkan ledakan tolakan angin yang cukup kuat. Dentuman bergema.

Tubuh Kapten Zayyan terbanting ke tanah. Darah berhamburan dari mulutnya. Dia tidak sempat mengelak ledakan Zaragas yang teramat kuat. Pergerakan Zaragas sukar untuk dibaca geraknya. Pergerakannya jauh lebih pantas darinya.

Zaragas mendarat kemas tidak jauh dari Kapten Zayyan sambil tersenyum-senyum. Kapten Zayyan bangkit berdiri. Pedangnya berkilau tanda amaran keras bagi musuhnya.

Anda telah sampai ke penghujung bahagian yang diterbitkan.

⏰ Kemaskini terakhir: Nov 26, 2024 ⏰

Tambah cerita ini di Pustaka anda bagi pemberitahuan tentang bahagian baharu!

HYPERSERV : BEGINNINGTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang