SERVER 51

4 2 0
                                    

Makmal Hyperserv,Tahun Infiniti 30XX

Hairuddin bingkas berdiri. Matanya membulat apabila mendapat satu panggilan daripada pusat rawatan rapi yang sedang mengendalikan dan menjaga anaknya, Ismail. Irfan, Zie dan Hadif serta-merta memandang ke arah Hairuddin yang kelihatan cemas. Seolah-olah menerima satu panggilan yang mengkhabarkan pemergian anaknya buat selamanya. Takungan mata Hairuddin mula bergenang. Pantas dia mengajak Hadif untuk ke pusat rawatan rapi yang menjaga anaknya.

Tanpa banyak meningkah, Hadif menghantar Hairuddin ke lokasi yang dinyatakan dan dia mengetahui lokasi tersebut. Dialah yang mencadangkan kepada Hairuddin agar menghantar anaknya ke pusat rawatan itu memandangkan pusat itu mempunyai kelengkapan perubatan yang masih beroperasi menggunakan cara konvesional dan masih menggunakan generator untuk memberi kuasa kepada peralatan-peralatan perubatan disini. Kebanyakan pusat perubatan di bandar itu beroperasi menggunakan kuasa digital yang berpusat di pangkalan data induk utama yang terputus itu.

Motosikal Hadif memecut laju membelah laluan jalan raya.Banyak kenderaan berenjin digital tersadai di tengah jalan namun suasananya agak aneh. Tiada satu pun kelibat manusia yang kelihatan sama ada di jalanan mahu pun di bahu jalan.

Setibanya di sebuah bangunan gergasi pusat rawatan rapi itu, Hadif dan Hairuddin menjadi hairan. Keseluruhan kawasan itu berpagar siap berkawat duri serta kelihatan beberapa orang pengawal keselamatan muncul dari dalam bangunan tersebut bersenjata api yang agak canggih.

"Siapa?" Salah seorang pengawal keselamatan bertubuh kekar menghampiri mereka berdua.

"Saya Hadif. Dan ini Hairuddin. Anaknya ada dirawat di pusat ini. Boleh kami masuk?" Hadif menerangkan situasi dengan tenang.

"Boleh saya tahu nama anak encik?" Pengawal itu cuba menghubungi pihak atasan untuk kepastian. Hairuddin lantas memberitahu namanya dan nama anaknya yang dirawat di pusat rawatan rapi ini. Sesekali terdengar bunyi jeritan yang menyeramkan sayup-sayup kedengaran namun tidak kelihatan susuk kelibatnya. Hadif dan Hairuddin berpandangan.

Setelah dapat dipastikan, barulah pengawal tadi membuka pintu pagar besi yang memisahkan antara jalan utama dengan pintu utama bangunan itu. Motosikal di parkir di luar bangunan dan mereka berdua berjalan seiring masuk ke dalam bangunan tersebut.

Apabila mereka naik ke tingkat dua dimana tingkat anaknya dirawat, seorang doktor yang merawat anaknya lantas menuju ke arah Hairuddin setelah terlihat kelibat Hairuddin dan Hadif muncul dari pintu utama.

"Hairuddin! Awak selamat sampai." Seorang doktor perempuan lantas mendapatkan Hairuddin sambil tersenyum melihat kedua-duanya selamat tiba. Hairuddin dan Hadif kebingungan dengan kenyataan doktor perempuan itu namun tidak disuarakan. Niat mereka hanya mahu menjenguk keadaan Ismail semata-mata. 'Selamat? Dari siapa?' Gumam Hadif.

"Doktor Ilyia, macam mana keadaan anak saya? Kondisinya?" Hairuddin tidak sabar hendak menjenguk keadaan anaknya.

"Sabar encik Hairuddin. Mari saya bawakan encik ke sana." Doktor Ilyia lantas mendahului mereka berdua menuju ke satu bilik yang tidak jauh dari tempat mereka bertemu.

"Ayah!" Panggilan satu suara yang amat dirindui oleh Hairuddin. Hampir tumpah air mata lelaki Hairuddin apabila melihat susuk tubuh kecil yang melompat turun dari katil menerpa ke arahnya. Mereka berpelukan. Tanda ikatan kekeluargaan yang sangat erat.

Mereka yang menyaksikan kejadian itu turut menumpahkan air mata terharu terutama pada kakitangan wanita yang berada disitu. Doktor Ilyia menyeka air mata yang mengalir di pipi dan memaniskan rona wajahnya.

"Kamu selamat, nak. Alhamdulillah." Hairuddin memeluk erat tubuh kecil Ismail yang teramat dirinduinya. Lantas pelukan mereka terlerai, Hairuddin melakukan sujud syukur ke hadrat Ilahi. Walaupun zaman ketika ini berubah mengikut arus permodenan yang terlalu canggih, Hairuddin masih meneratkan nilai-nilai Islam di dalam sistem kekeluargaannya. Sering kali diperingatkan kepada Asiah dan Ismail bahawa walau sehebat mana pun kita di atas dunia ini, Allah jualah yang Maha Menguasai segala-gala yang ada di dalam dunia ini malahan di seluruh alam.

HYPERSERV : BEGINNINGWhere stories live. Discover now