Hari kian berganjak beralih waktu. Detik masa tidak menunggu walau sesiapa pun. Mentari kian merunduk ke ufuk dan dua rembulan mengambil tugasnya. Benua Grand Southgate menjadi kelam dan beransur gelap namun hampir keseluruhan perhutanan benua ini menjadi terang-benderang dek kerana sinaran cahaya dari api jamung dan kebakaran yang berlaku di perhutanan itu. Ianya meliputi hampir keseluruhan benua dan berskala yang sangat besar.
Nun di sebelah utara kaki pergunungan Mountain of Guardian, dentuman masih belum reda. Gegaran demi gegaran terasa menggegarkan.
Fared yang melonjak tinggi dan mendarat ke tanah dengan kedua kakinya. Wajahnya berkeringat membasahi bajunya. Tenaganya kian luput. Runaan pula dalam keadaan cedera parah namun itu sebenarnya satu kelebihan padanya. Darah yang meruak keluar dari tubuhnya akan dipejalkan dan dijadikan pelbagai jenis senjata sama ada untuk tempur jarak dekat mahupun jauh.
Fared mengerling ke arah Estrella yang terlantar baring menghadap dada langit malam. Disebelahnya kelihatan seorang wanita tua yang sedang menekapkan kedua-dua telapak tangannya ke tubuh Estrella. Cahaya kehijauan menyinari.
"Ma'am Rosalind, macam mana keadaan Estrella?" Fared bertanya tanpa berkalih pandangan ke arah wanita itu tetapi pandangannya tetap tepat ke arah musuhnya yang turut terduduk keletihan. Pertempuran ini terasa amat panjang. Masakan tidak, bermula dari siang sehingga lajak ke malam.
"Jangan risau. Fokus pada musuh kamu. Aku akan salurkan lagi tenaga tambahan untuk kamu. Pastikan dia mati." Ma'am Rosalind mengerling tajam ke arah Runaan yang bangkit berdiri.
"Akan aku pastikan dia mati di tangan aku!" Semangat Fared berkobar. Tubuhnya bercahaya kehijauan seketika. Entah bagaimana, tenaganya kembali pulih. Direnggangkan setiap urat sendi yang terasa membisa ke seluruh tubuh.
"Keparat kau, perempuan tua! Kau akan aku habisi dahulu!" Runaan mengeluarkan darahnya dan membentuk sebilah sabit besar berwarna kemerahan. Matanya merah galak memandang ke arah Ma'am Rosalind yang sedang melakukan proses penyembuhan Estrella.
Ketika matahari merunduk ke ufuk dan ketika jalur merah muncul di hujung dunia seketika tadi, Fared hampir terbunuh kerana kekuatan Valkazar semakin ampuh apabila malam menjelma. Ketika itulah Ma'am Rosalind datang menghulurkan bantuan. Kebetulan dia melalui kawasan itu untuk menuju ke lokasi Master Orb dan terserempak dengan pertempuran di antara Fared, Estrella dan Runaan. Ketika itu, dia dapat mengamati Estrella telah luka parah akibat tebakan bilah sabit Runaan menembusi tubuh Estrella.
Fared pula bersiaga apabila Runaan menghayunkan bilah sabitnya ke belakang dan bersedia untuk menyerang.
Lonjakan kaki Runaan sepantas cahaya. Sekelip mata, batang tubuhnya muncul di hadapan mata Fared. Tanpa lengah, Fared menggenggam penumbuknya dan melintangkan lengannya ke kiri. Tidak semena-mena, permukaan tanah bergegar dan muncul sebuah tembok besar yang memisahkan di antara Fared dan Runaan. Fared tidak berhenti. Dia mengepalkan kedua-dua penumbuknya. Muncul pula tiga lagi tembok batu yang mengepung Runaan. Satu di kirinya, satu di kanannya dan satu di belakangnya. Lantas dilekapkan kedua telapak tangannya. Keempat-empat tembok itu menghimpit Runaan yang berada di tengah-tengah.
Runaan tidak berlengah. Dia melonjak tinggi ke udara untuk melepasi tembok itu.
Sebaik sahaja tiba ke udara, Runaan terkejut bukan kepalang apabila Fared juga turut melonjak tinggi dengan pedang yang terhunus.
Bunyi dentingan besi berlaga bergema keras. Runaan menangkis serangan demi serangan pedang dari Fared yang bertali arus. Pergerakannya pantas namun mampu diekori oleh Runaan.
Lonjakan kaki kanan Runaan menendang udara membuatkan tubuhnya melayang lebih tinggi. Fared melangoi pandangan ke arah musuh. Runaan menetak lelaki manusia itu dari atas menggunakan bilah sabit besarnya. Semua berlaku terlalu pantas. Fared menahan bilah tajam sabit Runaan dengan pedangnya dan tubuhnya terlontar jatuh ke permukaan tanah. Fared mendarat sebelum tubuhnya terhempas ke batang pokok.

ANDA SEDANG MEMBACA
HYPERSERV : BEGINNING
Misterio / SuspensoBayangkan, sebuah dunia yang tidak mampu kita bayangkan. Bayangkan, sebuah dunia yang tidak tergapai dek tangan. Bayangkan, dunia yang sepatutnya tidak wujud diwujudkan. Bayangkan, dunia itu terlahir di alam digital. Bayangkan, manusia yang kekurang...