Perkampungan Cendrawaseh,Tahun Infiniti 30XX
Hati ibu mana yang tidak merasa gembira disaat dia melihat satu-satunya anak lelaki yang dikurniakan Ilahi kembali pulih seperti sediakala.Ketika Hairuddin membawa Ismail pulang ke teratak mereka, Asiah menumpahkan air mata gembira yang tidak terungkap dek kata-kata.Saban hari, saban minggu dia menunggu kepulangan anaknya dalam keadaan yang selamat.Doa dititipkan setiap hari ke hadrat Ilahi tanpa lelah dan tanpa jemu.Kini, permintaan itu dikabulkan olah Allah S.W.T.Benarkan kata-kata-Nya di dalam surah Al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud "Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran."
Pengalaman hitam yang telah dirasai oleh Hairuddin dan Asiah ternyata meragut separuh dari jiwa mereka ketika Ismail tidak sedarkan diri selama tempoh masa yang agak panjang.Seiring itu juga, terdapat kes-kes yang serupa dengan kes Ismail dan mereka berakhir dengan pengakhiran yang menyedihkan iaitu mereka yang tidak sedarkan diri akan kembali ke Rahmatullah. Kembali ke sisi Allah. Dari Dia kita datang, kepada Dia jualah kita akan kembali. Mati itu pasti.Hidup itu...In Syaa Allah.
Mereka bertiga duduk di beranda rumah mereka sambil menikmati juadah yang telah disediakan oleh Asiah. Aroma kopi yang memikat sentiasa menjadi pilihan Hairuddin sejak dari dulu lagi manakala Ismail lebih gemarkan hidangan cucur yang dimasak oleh ibunya disulami dengan air teh yang hangat dan menenangkan.
"Mail, ayah nak tanya sikit pada kamu." Hairuddin menghirup kopi panas sedikit demi sedikit. Ismail hanya memandang ke arah ayahnya sambil mengganggukkan kepalanya.
"Apa yang kamu lalui sepanjang kamu di sana?" Hati Hairuddin melonjak-lonjak untuk mengetahui pengalaman anak lelakinya itu sepanjang dia berada di 'dunia sana'.Dia tidak mempunyai kesempatan untuk bertanya tentang perkara itu sejak Ismail kembali sedar.Dia perlu memberi ruang untuk Ismail meraih semangat dan kekuatan tubuhnya terlebih dahulu.
Asiah hanya sekadar memandang mereka berdua bersilih ganti.Dia juga teringin untuk mendengar pengalaman anaknya ketika dia berada di sana.Asiah tahu akan latar belakang dan sejarah kehidupan Hairuddin dan akur dengan permintaan Hairuddin untuk tidak kembali mengungkit kisah lama memandangkan Hairuddin telah lama mengambil keputusan untuk bersara dan menghabiskan usianya disamping keluarga.Namun jika dilihat dari segi situasi, nampaknya Hairuddin perlu kembali ke kancah dunia digital itu untuk menyelesaikan perkara yang rumit bagi mereka yang tidak pernah mengendalikannya.
"Macam-macam jadi, ayah. Mula-mula Mail sampai dekat hutan tu, Mail memang takut sangat. Mail sorang-sorang dalam hutan. Lepas tu, Mail jumpa dengan seorang perempuan dekat hutan tu." Ismail banyak bercerita dan banyak bercakap selepas kebangkitannya dari 'tidur' yang sementara itu.Bagi Hairuddin dan Asiah, ianya perkara yang dianggap pelik namun menyenangkan hati mereka. Tidak seperti sebelumnya.Ismail bukannya seorang yang gemar bercakap apatah lagi untuk bercerita.Senang kata, sepatah yang ditanya sepatah juga yang dijawab.Namun selepas Ismail bangkit dari koma, sepatah yang ditanya berpatah-patah pula yang dijawab. Satu perubahan yang agak ketara pada diri Ismail.
"Perempuan?" Hairuddin terkedu. Asiah juga mengerutkan dahinya.
"Perempuan dalam hutan?" Asiah juga tidak ketinggalan untuk bertanyakan soalan. Ianya perkara yang agak janggal dan mencurigakan jika terjumpa seorang perempuan di dalam hutan berseorangan. Ismail mengunyah cucur yang menjadi kegemarannya sejak dari dulu sambil menganggukkan kepalanya tanda membenarkan pengisahannya sebentar tadi.
"Ya, ayah.Namanya Kirin." Membuntang mata Hairuddin apabila Ismail menyebut nama gadis itu.Ternyata dia amat mengenali tentang perihal gadis itu namun tidak pernah sekalipun mereka bersua. Perihal tentang gadis itu hanya diketahui melalui penceritaan Rayfall kepadanya suatu ketika dahulu.
YOU ARE READING
HYPERSERV : BEGINNING
Mystery / ThrillerBayangkan, sebuah dunia yang tidak mampu kita bayangkan. Bayangkan, sebuah dunia yang tidak tergapai dek tangan. Bayangkan, dunia yang sepatutnya tidak wujud diwujudkan. Bayangkan, dunia itu terlahir di alam digital. Bayangkan, manusia yang kekurang...