Gua Grotte Bardtan, Fuego, HyperServ
Seorang kelibat lelaki bersaiz manusia berdiri tegak di atas sebuah bukit memerhatikan pemandangan luas di dalam gua Grotte Bardtan ini. Walaupun pada namanya hanya sebuah gua namun keluasan di dalamnya ibarat sebuah dunia yang lain. Luasnya seluas benua. Pemandangan di dalamnya tidak seindah yang dijangkakan. Di sini tinggalnya satu bangsa yang dikatakan telah pupus dan lenyap sedangkan mereka hanya terpenjara di sini buat selamanya. Namun sangkaan itu meleset sama sekali. Bangsa ini bakal terlepas suatu ketika nanti dan guliran waktu itu semakin hampir.
Lelaki itu berdiri sambil mengepalkan buku limanya. Sesekali kelihatan aura kemerah-merahan terbit dari tubuhnya ibarat kepulan asap yang berwarna merah. Dengusan nafasnya menghembuskan kepulan asap. Matanya galak berwarna kemerahan. Gigi taring yang tidak meruncing namun kelihatan tajam mulai tumbuh. Lelaki itu menyerigai. Akal fikirannya menerjah ke belakang ruang waktu. Dia memutarkan kembali memorinya mengingati saat dirinya bertemu Raja Raa.
"Apa benar kalian ini bangsa manusia?" Suara Raja Raa memetir membelah bumi. Tajima mengimbau kembali saat itu. Zaidi berada bersebelahan dengannya ketika itu. Kedua-dua mereka tertunduk-tunduk sebagai tanda jawapan kepada pertanyaan Raja Raa.
"Apakah kalian sudah bisu? Hanya mampu memberi jawapan dengan anggukan? Aku mahu dengar suara kalian!" Raja Raa membentak keras. Dengan hanya bentakan sahaja, segala yang ada disekeliling Raja Raa melambung seolah-olah ada tangan-tangan ghaib yang menolak kasar. Tajima dan Zaidi tidak terkecuali. Tubuh mereka terlontar ke belakang. Terasa pedih di ulu hati. Perlahan-lahan Tajima dan Zaidi bangkit menunjang tubuh mereka sendiri. Gelagat mereka hanya sekadar dipandang hina oleh bangsa bangsawan Valkazar yang lain. Mereka mencebikkan muka. Pada pendapat mereka, bangsa manusia yang datang ke sini tidak akan bertahan lama. Nyawa mereka bakal dicabut dari jasad apabila berhadapan dengan Raja Raa. Mereka hanya menempah maut.
"Aku..Tajima..Dan ini..Zaidi.Kami dari bangsa manusia." Suara Tajima tersekat-sekat dikerongkong ketika menjawab pertanyaan Raja Raa. Kesakitan yang menghambat masih berbisa namun digagahkan jua tubuhnya.
"Kalian bangsa manusia yang sangat dibenci oleh bangsa kami. Apa yang kalian bawa untuk aku sehingga kalian berani datang ke sini?" Raja Raa menyandarkan tubuhnya ke kerusi yang berkilau-kilau keemasan. Hampir keseluruhan singgahsana Raja Raa diperbuat daripada emas.
"Eerrr..." Tajima terkedu. Dia sendiri tidak tahu apa yang patut dipersembahkan. Zaidi menelan liurnya. Wajah Raja Raa tidak kelihatan kerana Raja Raa mengenakan topeng besi malahan seluruh tubuhnya ditutup dengan pakaian tempur yang diperbuat daripada besi daripada dalam tanah Hyperserv ini.Tajima memandang sekilas ke arah penjuru ruang singgahsana Raja Raa. Kelihatan Draxol mengepalkan buku limanya tanda mengisyaratkan sesuatu.
"Tiada apa-apa yang kalian mahu persembahkan?" Tangan Raja Raa mencapai tombak miliknya. Tombak itu memiliki tiga mata yang tajam meruncing dan satu mata pada bahagian bawah. Apabila tombak itu dipegang, renjatan elektrik memancar keluar lalu mengalir ke tubuh Raja Raa. Pemerintah Valkazar itu menuruni anak tangga menghampiri Tajima dan Zaidi.
Tajima mengerutkan dahinya. Seluruh tubuh Zaidi mengeletar ketakutan. Ternyata Tajima tidak memahami isyarat yang diberikan oleh Draxol. Sebelum bersemuka dengan Raja Raa, Draxol tidak bertemu dengan mereka berdua untuk perbincangan lanjut tentang rundingan ini. Seolah-olah Draxol sengaja mempermainkan kedua-dua manusia ini.
"Jika begitu, kalian manusia harus pulang tanpa berjasad. Kedatangan tiada maksud bermakna kedatangan yang tidak diundang." Tombak Raja Raa mula mengeluarkan cahaya kekuningan dengan aliran elektrik yang terasa membahang. Tajima dan Zaidi pasrah. Mereka berdua terkedu tidak terkata. Akal fikiran mereka seolah-olah terbejat apabila berhadapan dengan Raja Raa sedangkan mereka sudah merangka segala-galanya termasuk permintaan yang bakal diusulkan. Namun kini mereka membisu diam seribu bahasa menanti ajal.
YOU ARE READING
HYPERSERV : BEGINNING
Misteri / ThrillerBayangkan, sebuah dunia yang tidak mampu kita bayangkan. Bayangkan, sebuah dunia yang tidak tergapai dek tangan. Bayangkan, dunia yang sepatutnya tidak wujud diwujudkan. Bayangkan, dunia itu terlahir di alam digital. Bayangkan, manusia yang kekurang...