SERVER 2

40 8 2
                                    

Bandar Inderapuri sentiasa hingar dengan hiruk-pikuk manusia di zaman serba moden itu. Marga disekitar seakan hilang kewibawaan mereka sebagai manusia sedangkan apa yang perlu diperjuangkan ialah menegakkan ketamadunan manusia itu sendiri dan berpegang pada prinsip Islam selaras dengan ajaran nabi yang terdahulu.

Jalan raya yang berselirat dan bertingkat-tingkat itu menambahkan lagi sesak pada pandangan mata namun pada kaca mata manusia di Inderapuri ini adalah merupakan fenomena biasa yang terdapat di bandar.

Di dalam kesesakan dan kesibukan hingar bandar itu, tidaklah diketahui oleh marganya tentang kewujudan sebuah rumah dua tingkat yang dibina dengan mengekalkan tradisi berasaskan kayu sebagai bahan binaan sedangkan binaan bangunan lain bahannya diperbuat dari bahan-bahan sintetik dan campuran batu-bata.

Rumah kayu yang sederhana besar itu dibina dipinggir taman perumahan yang terletak betul-betul di tengah bandaraya Inderapuri. Rumahnya tidaklah begitu usang malahan masih cantik dan utuh. Jika dipandang sekali imbas, tiada apa-apa keistimewaan yang ada pada rumah itu selain ukiran silat pada jenang pintu dan siling. Seakan rumah itu terjaga dengan baik dan rapi namun tampak kehairanan kerana penghuninya jarang kelihatan malahan tidak diketahui siapakah pemilik kediaman klasik itu. Agak misteri kewujudannya.

Sesekali terlihat seorang gadis keluar masuk dari rumah kayu itu namun amat jarang baginya untuk menegur jiran tetangga yang berdekatan. Umpama kera sumbang. Hidup berjiran namun tidak menghiraukan kejiranan mereka.

Namun terdapat rahsia mengenai rumah itu yang tidak diketahui oleh penduduk taman tersebut. Diluarnya hanyalah sebuah rumah bersaiz sederhana besar yang indah ukiran silat pada kayu jenangnya. Namun terdapat sebuah pintu rahsia didalam rumah itu. Pintu itu menghubungkan antara tingkat bawah iaitu ruang tamu rumah bersambung ke bawah tanah dan tapak bawah tanah itu dijadikan makmal rahsia yang mempunyai teknologi yang hampir serupa dengan Hyperserv.

Makmal ini terhasil daripada inspirasi dari Hyperserv. Rekaan dalamannya, kemajuan teknologinya, aliran pangkalan datanya, semuanya hampir serupa. Namun dalam persamaan yang hampir ketara itu ada perbezaannya. Yang membezakannya adalah niat mereka dan nama makmal itu sendiri. Ini adalah makmal Blackserv.

Blackserv dianggotai oleh Tajima yang mengetuai projek makmal Blackserv ini. Dia dibantu oleh seorang sahabat baiknya juga seorang yang bekerja dibawah seliaannya, Zaidi. Mereka berdua sahaja mampu membuatkan pangkalan data yang besar dan kompleks menjadi huru-hara dan kacau bilau. Mereka adalah ahli hacker yang sangat berpengalaman dalam menguruskan hal ehwal pangkalan data ataupun database.

Tujuan mereka hanya satu. Mereka mempunyai niat hitam didalam hati masing-masing. Makmal ini dibina untuk memusnahkan Hyperserv yang dianggap tunggak dan pengasas kepada penciptaan Bioserver dan pemindahan minda manusia ke dalam alam maya yang pertama di dunia. Pada ketika ini, Hyperserv merupakan bioserver yang pertama yang mempunyai keupayaan memindahkan keseluruhan minda manusia ke dalam alam maya ataupun webworld dengan berjaya dan hampir sempurna keseluruhan operasinya.

Niat hitam mereka bukan mati disitu sahaja. Mereka juga berhasrat untuk membolot gelaran itu dan membolehkan mereka menunggak nama sebagai pengasas kepada sistem itu. Dengan ini mereka mampu menjana pendapatan dan keuntungan yang berlipat kali ganda dari usaha mereka. Lebih kepada kepentingan diri. Tambahan pula, dengan bantuan Brainlink yang pada masa kini menggantikan penggunaan telefon pintar memudahkan lagi proses pemindahan minda manusia melalui gelombang data.

Dua orang sahabat itu sedang menghadap kaca monitor yang pandang telus. Segala maklumat terpapar diatas kaca itu secara hologram. Sebuah monitor besar yang tergantung diparas kepala dijadikan monitor induk utama.

HYPERSERV : BEGINNINGWhere stories live. Discover now