Letrai Bay, La Brecha, HyperServ
Suasana tenang pada malam itu tidak melambangkan isi hati masing-masing terutama pada mereka yang terlibat di dalam medan pertempuran. Peperangan suatu ketika dahulu menggamit memori dan kenangan yang terlalu pahit untuk ditelan namun jika diluahkan pastinya sejarah itu sendiri tidak diambil ikhtibar dari kisah sebalik kejadian.
Kapten Zayyan berdiri di tengah-tengah gelanggang tempur yang menyaksikan dua pertempuran sengit baru-baru ini. Sebelum kehadiran Yazaid dan sahabat-sahabatnya yang lain, gelanggang ini digunakan oleh pasukan AST untuk melatih fizikal, mental dan teknik dalaman yang mereka pelajari.
Kapten Zayyan menyoroti pandangan matanya mengitari kawasan. Beberapa struktur bangunan yang runtuh dan rosak sedang dibaik pulih oleh pakar-pakar binaan dari kalangan mereka. Gelanggang pula mengalami kerosakan hampir separuh dari kawasan keseluruhan gelanggang akibat ledakan kuasa dari Yazaid tempoh hari. Jika Kapten Zayyan tidak menghentikan teknik Yazaid tempoh hari, pastinya keseluruhan kawasan itu akan musnah sama sekali. Teknik yang dilepaskan oleh Yazaid itu bukanlah calang-calang teknik melainkan ianya adalah teknik ledakan gergasi atau bigbang. Ia direka bertujuan untuk membunuh musuh yang mengerumuni dalam jumlah yang terlalu banyak dan sukar untuk dikawal. Namun teknik itu mempunyai kesan sampingan yang agak dahsyat.
'Dari mana dia pelajari teknik tu? Itu teknik rahsia. Mungkin Yazaid pelajari secara sembunyi dari arkib?' Kapten Zayyan membuat andaian berdasarkan situasi semasa. Dia telah mengarahkan pecahan kumpulan Yazaid berserta pasukan AST bersiap-sedia untuk melanjutkan misi mereka sebelum bangsa pengganas itu terlepas dari kurungannya.
Malam semakin dingin. Embun dan hawa sejuk terasa mencucuk sehingga ke tulang-belulang. Namun ianya adalah perkara biasa bagi Kapten Zayyan. Banyak perkara yang telah dia lalui sepanjang mengharungi liku dalam kehidupan. Meskipun Hyperserv hanya sebuah dunia di alam digital dan ianya binaan manusia itu sendiri namun penciptaan dunia itu sendiri berasaskan konsep dunia manusia. Makhluk yang wujud di dunia itu juga mempunyai kitaran kehidupan tersendiri. Bezanya cuma dari segi fizikal dan rupa bentuknya sahaja yang tidak boleh ditemui di dunia manusia.
Ketika Kapten Zayyan hanyut dalam lamunannya sendiri, dia terasa seolah-olah sedang diperhatikan namun tiada satu kelibat pun yang berada disitu.Seolah-olah mata-mata yang memerhatikannya itu bersembunyi dari balik kegelapan malam sebagai bayangan yang hitam.
"Keluar kamu. Usah kamu bersembunyi lagaknya anak kecil.Bukan aku tidak tahu akan kehadiran kamu disini." Gerak hati Kapten Zayyan lebih tajam jika mahu dibandingkan dengan mata kasar. Usai sahaja ungkapan itu dilafazkan, satu bayangan hitam muncul dari balik semak-samun tidak jauh dari tempat Kapten Zayyan berdiri lalu membentuk menjadi satu susuk tubuh.
"Zayyan! Seperti yang aku duga sebagai lagenda, kau mampu menghidu kehadiran aku walaupun aku bersembunyi dan mengawal aura aku dari terhidu. Kau masih hebat, Zayyan." Vanblood memunculkan dirinya berhadapan dengan seorang lagenda perang menentang Valkazar suatu ketika dahulu.
"Kau pun apa kurangnya. Sangat licik untuk bersembunyi sehingga langsung tidak ditemui selepas tamat peperangan Valkazar berdekad yang lalu. Baru hari ini kau muncul. Kenapa? Kuasa penyembunyian kau sudah hilang?" Kapten Zayyan langsung tidak gentar berhadapan dengan bangsa Vampire itu. Anak matanya galak memerhatikan susuk tubuh Vanblood yang seakan-akan kabur.Sesekali ianya menjadi kabur dan kemudian muncul dengan jelas semula. Tubuhnya seolah-olah berubah menjadi halimunan dalam sekelip mata. Dia tahu bahawa itu bukan tubuhnya yang sebenar melainkan ianya hanyalah ilusi semata-mata. Ternyata bangsa ini sememangnya pengecut untuk bersemuka secara terang-terangan.
"Hahaha..jangan begitu, Zayyan. Aku terlalu mengagumi kehandalan kau di masa lalu. Dan aku percaya, kau masih ampuh dan sukar untuk terkalahkan." Vanblood menapak perlahan mengelilingi Kapten Zayyan yang berada di tengah-tengah. Kapten Zayyan hanya mendiamkan diri.

ANDA SEDANG MEMBACA
HYPERSERV : BEGINNING
Misteri / ThrillerBayangkan, sebuah dunia yang tidak mampu kita bayangkan. Bayangkan, sebuah dunia yang tidak tergapai dek tangan. Bayangkan, dunia yang sepatutnya tidak wujud diwujudkan. Bayangkan, dunia itu terlahir di alam digital. Bayangkan, manusia yang kekurang...