SERVER 63

10 2 3
                                        

Letrai Bay, La Brecha, HyperServ

Di kawasan perairan teluk Letrai itu ternyata nyaman dan tenang sebelum ini. Bayu laut yang menghembus ternyata mendinginkan suasana persekitaran. Hamparan lautan luas tidak bersempadan menambahkan lagi ketenangan di dalam sanubari masing-masing yang menghayatinya namun tidak pada hari ini.

Langit kelihatan kelabu dengan awan hitam gemitam mengelilingi satu pancaran cahaya yang berada berhampiran pinggir pantai Letrai Bay itu. Kelihatan gerombolan bangsa Valkazar berkumpul mengelilingi pancaran cahaya yang menggegarkan tanah. Jumlah mereka ternyata terlalu ramai bahkan mungkin mencecah ratusan tentara berada di situ. Raja Raa adalah salah satu daripada mereka yang tegap berdiri menghadap ke arah pancaran cahaya yang menebak ke langit sambil memerhatikan satu per satu tenteranya masuk ke dalam pancaran cahaya itu.

Pancaran cahaya itu adalah Realm Bridge yang diaktifkan oleh Raja Raa sendiri. Ianya adalah umpama sebuah jambatan yang menghubungkan dunia Hyperserv dengan dunia manusia. Bantuan dari luar memudahkan urusan mereka yang berada disini. Raja Raa amat berterima kasih dengan satu-satunya bangsa Valkazar yang terselamat dari penghapusan bangsa Valkazar oleh Rayfall dahulu dan kini dia berada di dunia manusia sejak sekian lama menantikan saat-saat ini. Raja Raa tersenyum puas. Hari ini tercatat didalam sejarah.

"Raa!" Satu suara bergema lantang menerjah ke anak telinga Raja Raa lalu bingkas dia menoleh ke arah suara itu mencari empunya suara. Kelihatan Kapten Zayyan yang melayang di udara lalu mendarat tidak jauh darinya. Hentakan kaki Kapten Zayyan sahaja sudah cukup menggegarkan tanah dan debu-debu halus bergentayangan di udara. Tambahan pula, aura dari Kapten Zayyan sendiri sudah cukup menggetarkan jantung musuhnya terutama bagi tentera bangsa Valkazar ini namun tidak pada Raja Raa yang tersenyum sinis sambil mengerling tajam ke arah musuh lamanya.

"Kau harus hentikan perbuatan ini, Raa. Apa sahaja yang kau buat, akan aku tentang habis-habisan! Kau sendiri yang hentikan atau aku yang hentikan!" Ancaman dari Kapten Zayyan membuatkan tentera bangsa Valkazar kecut perut lalu sebahagian tenteranya berlari bertempiaran menyembunyikan diri dan sebahagian lagi berada di belakang Raja Raa sambil tubuh mereka menggigil dan dipaksa untuk bertempur meskipun mereka tahu bahawa Kapten Zayyan bukanlah tandingan mereka sama sekali.

"Zayyan! Sahabat lamaku. Kau apa khabar, Zayyan?" Di mana anak gadis kau si cantik manis tu?" Raja Raa menapak perlahan menuju ke arah Kapten Zayyan tanpa mengendahkan ancaman darinya. Setiap hayunan langkah Raja Raa akan meninggalkan kesan renjatan tenaga elektrik yang kecil dan menyambar-nyambar. Sesekali ianya memanah ke arah rerumput yang berada di situ lalu terbakar.

"Kau jangan nak bergurau dengan aku, Raa. Kau tahu apa yang aku boleh buat?" Kapten Zayyan langsung tidak berganjak dari tempatnya berdiri. Dia hanya berseorangan disitu tetapi Raja Raa mempunyai ratusan tentera di belakangnya pada masa yang sama namun itu bukanlah ancaman yang besar baginya.

"Ya aku tahu, Zayyan. Dan kau pun tahu apa yang aku mampu lakukan juga, Zayyan. Aku mampu musnahkan dunia in hanya dengan satu tombak. Dan, aku juga akan mengambil alih dunia di sebelah sana. Dunia asal Rayfall. Akan aku jadikan bangsa-bangsa Rayfall itu semua menjadi hamba aku. Hamba aku!" Raja Raa menjulang tombaknya lalu tiga bilah tombaknya mengeluarkan panahan petir yang memanah ke langit. Dentuman yang membelah bumi bergetar. Tanah bergetaran dan debu-debu tanah terawangan.

"Kau hanya berkhayal sahaja, Raa. Kau pun tahu ramai yang akan menumbangkan kau walaupun Rayfall sudah tiada. Aku masih ada, Raa. Di dunia sana, lagenda masih ada." Kapten Zayyan merujuk kepada seseorang berpangkat bekas panglima perang.

"Hahahaha...kau ada nampak aku gentar? Tidak. Tidak sama sekali. Kali ni, aku lebih bersedia, Zayyan. Kau yang akan menyembah tanah hari ini. Kau akan aku kebumikan dan anak gadis kau akan menjadi permainan aku." Raja Raa mengilaskan tubuhnya memaling ke arah Realm Bridge lalu menapak perlahan menuju ke arah pancahan cahaya itu tanpa mengendahkan Kapten Zayyan. Hati Kapten Zayyan terbakar. Hangat membuak-buak sehingga ke kepala. Ruang rusuk kirinya bergendang hebat. Dia mengetapkan gigi menahan amarah. Aura pembunuhnya mula menyelubungi tubuhnya. Beberapa tentera Valkazar yang tidak mampu menahan impak aura Kapten Zayyan akan termuntah darah lalu mati bergelimpangan. Raja Raa hanya sekadar menjeling sinis sambil tersenyum. Itulah apa yang dimahukannya. Hati yang membara dikuasai amarah dengan niat membunuh.

HYPERSERV : BEGINNINGTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang