Letrai Bay, La Brecha, Hyperserv
Terasa tenang buat seketika di persekitaran teluk itu. Sesekali angin bayu dari arah laut meniup dan menyapu lembut wajah Kapten Zayyan yang sedang berdiri menghadap ke arah lautan yang terhampar luas. Lamunannya panjang. Akalnya ligat memikirkan kejadian alam digital ciptaan manusia yang penuh dengan kekurangan ini. Nafasnya dihembus halus lantas memalingkan wajahnya menghadap ke arah satu jasad yang tidak bernyawa terlantar tertiarap. Wajah Kapten Zayyan tampak tenang namun tidak pada raganya.
"Vanblood, kau silap langkah sejak dari mula. Kau menyebelahi Raja Raa yang berkehendakkan kau. Mempergunakan kau untuk hari yang dinantikan. Hari pelepasan mereka." Ternyata jasad Master Vanblood dipandang dengan penuh rasa kesal. Vanblood adalah satu-satunya bangsa Vampire yang masih wujud sebelum kematiannya. Kini, bangsa Vampire itu pupus buat selamanya tanpa pewaris. Terkubur bersama Master Vanblood.
Imbas kembali...
Master Vanblood memandang ke arah Kapten Zayyan dengan penuh kebencian. Wajahnya berkeringat bercampur darah. Tenaga di dalam tubuhnya semakin terhakis dan seolah-olah diacut keluar dari tubuhnya. Kapten Zayyan hanya berdiri tegap sambil memegang sebilah pedang berkilau miliknya. Kilauannya sahaja sudah cukup untuk menggerunkan musuh apatah lagi apabila dicantas. Sekali cantasan sahaja sudah cukup untuk membelah gunung yang meninggi.
"Vanblood, kau berkebolehan tinggi di dalam pertempuran. Sayang sekali, kau tidak memanfaatkannya di tempat yang betul. Kenapa kau menyebelahi Raja Raa?" Pertanyaan Kapten Zayyan sekadar mahu mengetahui rancangan asal Master Vanblood yang ternyata menyebelahi bangsa Valkazar dan bangsa buas itu terlepas dari kurungannya pun adalah perancangannya.
"Haha..ha..haha..." Master Vanblood ketawa garau dalam keadaan menahan kesakitan.
"Raja Raa menjanjikan wilayah jajahannya kelak untuk aku. Aku...satu-satunya bangsa Vampire yang masih wujud di Hyperserv. Aku... mahu mengembangkan warisan aku. Aku... mahu keturunan aku terus kekal di dunia ni." Ringkas Master Vanblood. Kapten Zayyan melepaskan keluhan kasar.
"Tapi bukan ini caranya, Vanblood. Kau menyebelahi mereka yang salah." Kapten Zayyan tidak beralah.
"Jadi, kau nak aku menyebelahi kau? Apa yang aku dapat? Apa aku boleh mendapat kuasa yang ampuh apabila aku menyebelahi kau?! Tidak... kau takkan bagi apa-apa kebaikan pada aku!" Jerkah Master Vanblood sambil menongkat tubuhnya. Dikerahkan segala tenaga berusaha untuk berdiri dalam keadaan yang terketar-ketar.
"Dua manusia tu... sekarang mereka bergelar Zaragas. Kau punya angkara, benar?" Ternyata Kapten Zayyan bukan calang-calang lagenda. Maklumat itu tidak mampu diperolehi olehnya secara langsung melainkan perisik-perisik dari bangsa Letrazie itu sendiri yang menyiasat perkara itu dan memberitahu kepada Kapten Zayyan. Semuanya atas arahan Kapten Zayyan apabila mendengar berita tentang kehadiran susuk tubuh yang setanding kuatnya dengan dirinya atau mungkin melebihinya. Master Vanblood tergelak besar.
"Ya! Segalanya dalam perancangan aku! Batu Valkarie yang dijumpai oleh salah seorang dari mereka juga, aku yang meletakkannya di luar sana. Di luar gua! Salah seorang dari mereka sangat berminat dengan pelbagai barang-barang aneh. Aku yang menetapkan laluan mereka sehingga mereka terjebak masuk ke dalam Grotte Bardtan. Semua perancangan aku! Puas hati kau?!" Master Vanblood memaksudkan Tajima dan Zaidi. Segala apa yang dilalui oleh mereka di luar sana adalah perancangannya untuk mempergunakan kedua-dua manusia tamak itu. Memang sejak dari mula lagi beberapa individu sudah berkomplot dan memulakan rancangan untuk menumbangkan Hyperserv yang kelihatan berpotensi di mata mereka baik dari penghuni di sini ataupun manusia itu sendiri.
"Satu perkara yang aku tak faham. Bagaimana kedua-dua manusia tu boleh terjebak di dalam Hyperserv? Mereka adalah manusia. Bagaimana kau boleh buatkan mereka terfikir untuk sampai ke sini dan memusnahkan segalanya dari dalam?" Satu perkara yang menghairankan Kapten Zayyan.

ANDA SEDANG MEMBACA
HYPERSERV : BEGINNING
Mistério / SuspenseBayangkan, sebuah dunia yang tidak mampu kita bayangkan. Bayangkan, sebuah dunia yang tidak tergapai dek tangan. Bayangkan, dunia yang sepatutnya tidak wujud diwujudkan. Bayangkan, dunia itu terlahir di alam digital. Bayangkan, manusia yang kekurang...