Gua Grotte Bardtan, Fuego, HyperServ
Buat sekian kalinya, Tajima dan Zaidi di kurung di dalam sebuah kurungan batu bersaiz sederhana besar bersesuaian dengan manusia.Satu pengawal bangsa Valkazar dapat menangkap mereka berdua ketika mereka berdua menyelinap masuk ke dalam bilik yang didakwa memiliki timbunan emas.
Mereka berdua dibawa ke sebuah bilik yang tidak diketahui lokasinya.Kurungan mereka dibungkus dengan sehelai kain hitam dan hanya dibuka apabila mereka tiba di sebuah bilik yang agak suram dan gelap.Di satu sudut bilik itu, terdapat satu susuk tubuh bangsa Valkazar yang duduk bersila dengan kaki bersilang memerhatikan gelagat mereka berdua di dalam kurungan ini.Wajahnya tidak kelihatan kerana ditutupi kegelapan.
"Kau siapa?" Zaidi kelihatan lebih berani menengking berbanding Tajima yang lebih banyak berdiam diri memikirkan cara untuk melepaskan diri.
"Kalian bangsa manusia yang tak pernah serik.Sering kali berbunuhan sesama sendiri demi kekayaan." Sindir sinis makhluk itu.
"Kami bukan memburu kekayaan." Zaidi cuba berselindung.Tajima memincingkan matanya cuba mengamati susuk tubuh bangsa Valkazar itu.
Lantas susuk tubuh itu bangkit berdiri dan menapak ke arah mereka.Suasana bilik itu agak menyeramkan.Ianya hanya diterangi dengan sebatang api jamung sahaja yang terlekat membelakangkan kurungan batu Tajima dan Zaidi.
Apabila sinaran api jamung menyimbahi wajah makhluk Valkazar itu maka terserlahlah wajahnya.Tajima membulat matanya.Wajah itu dikenali.
"Kau...kaulah pengawal yang suruh aku meminta kekuasaan daripada kekayaan,kan? Kau pengawal yang mengusung sangkar batu kami masa kami belum masuk ke istana?" Tajima menudingkan jari ke arah bangsa Valkazar itu lalu makhluk itu tergelak dengan suara yang parau dan berdengung-dengung.Tajima mengingati saat ketika mereka berada di luar istana.Ada satu pengawal yang mengingatkan dirinya supaya mengambil kekuasaan berbanding kekayaan.Dan pengawal itulah yang menangkap mereka di bilik emas itu.
"Ingatan kau memang baik.Memang aku yang sarankan untuk kau memilih kekuasaan berbanding kekayaan apabila kau berhadapan dengan Raja Raa esok." Makhluk itu berjalan mengelilingi kurungan batu mereka.Menderam-deram direngkongam umpama singa yang kelaparan.
"Siapa nama kau? Makhluk hodoh?" Zaidi menyoal.Namun, secara tiba-tiba kurungan batu mereka ditolak kasar dan jatuh ke lantai.Tajima dan Zaidi terpelanting ke serata arah.Batang tubuhnya terhambat ke palang-palang batu.Sakitnya bukan kepalang.
"Jangan kau permainkan nama aku,faham?! Itu bukan soalan yang tepat!" Makhluk itu menjerkah keras.
Kedua-dua mereka tidak terkata apa-apa.Hambatan keras membejatkan seluruh urat sendi mereka.Terasa tulang-belulang patah riuk.Lalu, kurungan batu mereka diangkat semula dan diletakkan di atas sebuah meja batu.Wajahnya yang hodoh dan mengerikan didekatkan ke palang-palang batu mereka berdua.Matanya terjengil keluar.Kedua-duanya terbeliak kemerahan.Tanduknya meruncing ke belakang.
Tajima dan Zaidi terkejut apabila tersergah sebegitu.Lalu makhluk itu tergelak sinis menderam-deram.Makhluk itu berpeluk tubuh dan berjalan berlegar-legar disekeliling kurungan batu mereka.Tajima mengerahkan akalnya.Bagai ada sesuatu yang diingini oleh makhluk Valkazar ini.Bangsa ini begitu licik.Mereka boleh mempergunakan kesempatan yang ada demi meraih apa yang dihajatkan meskipun terpaksa berkorban nyawa.
"Apa yang kau nak?" Tajima bangkit perlahan-lahan.Menahan kesakitan di bahagian pinggang.Terasa tubuhnya memberat seolah-olah anggota tubuhnya diikat dengan batu dan ditarik ke bawah.Sejurus sahaja Tajima bertanya, makhluk itu ketawa sinis lagi.Semakin lama semakin garau.
"Ya..Itu soalan yang patut kau tanya, wahai manusia." Makhluk Valkazar itu berjalan menapak berhadapan dengan Tajima.
"Aku mahukan kuasa.Sebab itu aku suruh kau, minta kekuasaan berbanding kekayaan." Makhluk itu menyerigai.
YOU ARE READING
HYPERSERV : BEGINNING
Misterio / SuspensoBayangkan, sebuah dunia yang tidak mampu kita bayangkan. Bayangkan, sebuah dunia yang tidak tergapai dek tangan. Bayangkan, dunia yang sepatutnya tidak wujud diwujudkan. Bayangkan, dunia itu terlahir di alam digital. Bayangkan, manusia yang kekurang...