Tanah bergetaran keras. Perhutanan yang terbakar itu menjadi debu dan bara semata. Di tengah-tengahnya kelihatan perisai berbentuk sfera separuh bulatan yang mengurung dua susuk tubuh di dalamnya yang sedang bertempur mati-matian. Dentuman demi dentuman silih berganti. Keduanya melepaskan tenaga sehabis mungkin untuk menjaga nyawa masing-masing. Tersadung kaki, bercerai kepala dari tubuh.
Draxol mengitari di dalam kawasan perisai sfera yang lutsinar itu. Dia mengerling pandang keluar dari perisai itu. Kelihatan perhutanan di sekeliling mereka terbakar dengan marak akibat tujahan-tujahan dari serangan apinya ketika bertempur. Dia tersenyum menyerigai. Puas hatinya melihat bumi Hyperserv itu hancur manjadi debu.
Yazaid pula melangoi pandangan ke arah Draxol yang melayang mengitari medan tempur itu. Yazaid mengerahkan akalnya untuk bertempur dengan seorang musuh yang berkelebihan di dalam corak serangan elemental dan fizikal. Sedangkan dia pula bukanlah seorang pejuang yang menggunakan fizikal sebaliknya dia lebih menguasai serangan jarak jauh dengan menggunakan teknik System Call. Dia tahu bertempur dengan menggunakan pedang tetapi kelebihannya lebih terarah kepada teknik-teknik System Call.
"Ayuh, Yazaid! Kita teruskan!" Draxol menjunam ke bawah.
Sebaik sahaja Draxol mencecahkan kakinya ke tanah, dia mendepangkan kedua tangannya. Gulungan api bergulung-gulung keluar menderu dari kedua telapak tangannya dan marak di udara. Gulungan api itu bersatu menjadi satu gulungan bola api yang jauh lebih besar. Kawasan dalaman perisai sfera itu yang berkeluasan agak luas memberi kelebihan kepada Draxol untuk melancarkan serangan api dalam skala yang besar.
"Mati kau, manusia!" Draxol menghayunkan kedua telapak tangannya ke arah bawah. Serentak itu juga, gulungan api yang bersatu menjadi bola api gergasi itu pantas menjunam ke arah Yazaid.
"System Call! Giga Fluctus Tormento!" Yazaid melunjurkan telapak tangannya ke arah bola api gergasi itu. Usai bait bicara itu disudahi, telapak tangan Yazaid mengeluarkan gelombang angin yang tersangat kuat dalam skala yang besar. Debu-debu tanah bertebaran dan tanah bergetaran akibat impak dari letusan itu. Tubuh Yazaid terlambung ke belakang akibat momentum tenaga yang meledak itu terlalu kuat namun serangan itu berhasil. Bola api gergasi itu bergulung-gulung ke dalam dan meletus pecah. Draxol menyerigai.
"Hebat, Yazaid. Kau boleh memusnahkan bola api aku yang besar tu. Tapi aku nak tengok pula macam mana kau nak hadapi serangan ini!" Draxol mendarat dengan kedua kakinya. Hentakan kakinya mengeluarkan puing-puing api kecil lantas tangan kirinya memegang lengan kanan yang terhala ke arah atas.
"Bangkit, si raja api! Bangkit!" Tanah bergegaran keras. Dengan secara tiba-tiba, telapak tangan Draxol menyemburkan api yang berwarna jingga gelap dan kemerahan dan bergulung-gulung di atasnya membentuk pusaran api.
Pusaran itu berpusar dengan pantas. Angin deras menderu mengikut arus pusaran api tersebut. Yazaid menahan diri. Rintik keringatnya membasahi wajah dan tubuhnya. Bahangnya tidak terkata. Tanah tempat Draxol berpijak mula kemerahan membara.
Daripada pusaran api itu perlahan-lahan membentuk rupa seekor naga. Kedua matanya galak terbakar mengeluarkan api memandang ke arah Yazaid yang sedang dalam keadaan bersiaga. Wajahnya berkerut seribu. Tenaganya mula terhakis sedikit demi sedikit.
"Kau bertuah hari ni, Yazaid. Kau dapat saksikan dengan mata kau sendiri kekuatan raja api ini. Inilah haiwan peliharaan milik Xeados yang bersatu dengan aku!" Ego Draxol menongkat langit. Terasa seolah dirinya lebih kuat dan perkasa.
Naga pusaran api itu bersaiz agak besar dan hampir memenuhi separuh daripada perisai sfera itu. Yazaid tergamam buat seketika. Lawannya berkali ganda lebih besar darinya. Bahkan lebih besar dari Draxol sendiri. 'Ini kalau dia 'ngap' aku sekali ni, habis nyawa.' getus hati kecil Yazaid yang masih sempat berseloroh secara bermonolog sendirian.
YOU ARE READING
HYPERSERV : BEGINNING
Mystery / ThrillerBayangkan, sebuah dunia yang tidak mampu kita bayangkan. Bayangkan, sebuah dunia yang tidak tergapai dek tangan. Bayangkan, dunia yang sepatutnya tidak wujud diwujudkan. Bayangkan, dunia itu terlahir di alam digital. Bayangkan, manusia yang kekurang...