Kaki pergunungan Mountain of Guardian, HyperServ
Nun dikejauhan di puncak gunung Mountain of Guardian kelihatan dentuman demi dentuman meletus. Ia meleret dan membawa ke kaki pergunungan itu lalu terhempas. Impak hentaman itu membuatkan permukaan tanah berbekas lekuk yang agak dalam. Debu-debu tanah terawang di udara membuatkan persekitaran menjadi kabur berwarna coklat. Pokok besar mahupun yang kecil semuanya musnah. Sesekali kedengaran bunyi besi berlaga-laga dengan percikan api lalu menghilang. Muncul semula di tempat yang lain. Pertelingkahan di antara Hairuddin dan Kreious ternyata begitu sengit. Pergerakan mereka sukar diekori dengan mata kasar. Ia memerlukan pengamatan luar biasa untuk menyaksikan pertembungan di antara mereka berdua.
Hairuddin mendarat ke satu kawasan yang agak lapang. Nafasnya masih dapat dikawal dengan baik. Bilah pedangnya berkilau mengeluarkan cahaya kemerahan sepanjang bilah tajamnya. Regunya ternyata terlalu ampuh untuk ditumbangkan. Kelebihan yang dimiliki oleh Kreious adalah kekuatan fizikalnya yang luar biasa dan kepantasan sepantas cahaya. Setiap pergerakannya meninggalkan kepulan asap halus lalu hilang dari pandangan. Jika musuh yang bukan sama tarafnya, hanya menempah maut apabila bertembung dengannya.
"Hebat kau, Hairuddin. Kekuatan dan kelajuan kau sepantas lelaki keparat tu! Kau membuatkan aku teringatkan dia." Kreious muncul tidak jauh di hadapan Hairuddin. Lelaki itu tidak menggunakan sebarang senjata. Cukup sekadar bilah kukunya yang tajam meruncing sebagai senjata utamanya namun apa yang menggerunkan bukanlah bilah runcing kukunya tetapi serangan-serangan susulannya lebih menakutkan.
"Siapa yang kamu panggil keparat? Lelaki itu mempunyai nama. Rayfall yang mencipta dunia buas ni. Sekaligus bangsa kamu tercipta. Tercipta tanpa sengaja. Tercipta sebagai tanda kemalangan dan tidak dikehendaki kewujudannya." Halus sahaja teguran Hairuddin namun bisanya menusuk-nusuk sedalam kalbu. Kreious sekadar tersengih namun hatinya membengkak apabila teringatkan peristiwa diburu oleh Rayfall untuk dibunuh. Nasib menyebelahinya apabila dirinya terlontar ke dunia manusia tanpa disengajakan teknik percubaannya akan berhasil sekaligus membuatkan dia terlepas dari hambatan maut Rayfall.
"Tempat ini... inilah tempatnya aku terlepas dari rantai maut Rayfall si keparat tu! Kalau teknik tu tak berhasil, pasti telah lama aku mati di tangan manusia durjana tu!" Kreious menggenggam genggaman tangannya. Giginya terkatup rapat serapatnya.
"Usah kamu buang masa aku dengan dongeng kamu yang tidak berapa menarik tu. Kamu harus aku tamatkan riwayat secepat mungkin." Hairuddin membuka kuda-kuda sambil pedangnya dihunus ke hadapan. Kepalan genggaman kirinya tersemat di sisi pinggangnya. Secara tiba-tiba, satu cahaya berbentuk lingkaran bulatan muncul di tanah tempatnya berpijak. Lingkaran bulatan itu bercahaya terang lalu kembali malap namun tidak menghilang. Ia kekal berada di tanah tempat Hairuddin berpijak. Kreious mengembangkan kedua telapak tangannya dan membuat bentuk cakaran. Bersedia dan bersiaga.
Hanya dengan sekali lonjakan, Hairuddin sudah berada di hadapan Kreious. Libasan pedangnya terhayun menyasar ke dahi Kreious. Lelaki Valkazar itu juga bukan calang-calang. Dielak cantasan Hairuddin ke kiri dan tumbukan bertubi berkelajuan tinggi dilepaskan. Hairuddin ligat mengelak. Bilah pedangnya tertancak ke tanah lantas tendangannya hinggap ke dada Kreious. Batang tubuh Valkazar itu terlambung jauh menghentam batang-batang pokok. Semuanya berlaku dalam sekelip mata. Pergerakan Hairuddin dan Kreious terlampau pantas. Bagi Hairuddin dan Kreious, semuanya bergerak berkelajuan biasa sahaja namun bagi mereka yang menyaksikannya langsung tidak dapat mengekori pergerakan kedua-dua lagenda ini. Terlampau pantas geraknya!
Hairuddin melompat tinggi dan menjunam pantas ke arah Kreious yang baru kembali bangkit dari terseret jauh akibat impak tendangan Hairuddin seketika tadi. Kreious melangoi ke atas melihat serangan dari Hairuddin.
"Mati kau!" Kreious melunjurkan telapak tangannya tersasar ke arah Hairuddin yang masih di udara sedang menuju pantas ke arahnya. Hairuddin menyedari lantas menendang angin ke hadapan membuatkan tubuhnya mengilas di udara dan mengelak ke kiri. Tidak semena-mena, telapak tangan Kreious mengeluarkan pusaran angin bersaiz gergasi. Ledakan angin itu bukan biasa-biasa. Pusaran angin itu umpama bilah-bilah yang tajam. Ianya umpama pusaran bilah pedang yang mencantas lumat daging-daging musuhnya yang terkena pusaran angin tersebut. Mengisar halus apa sahaja yang berada di dala laluannya. Akibatnya, bekas lekukan besar terbentuk di permukaan tanah.
YOU ARE READING
HYPERSERV : BEGINNING
Mistério / SuspenseBayangkan, sebuah dunia yang tidak mampu kita bayangkan. Bayangkan, sebuah dunia yang tidak tergapai dek tangan. Bayangkan, dunia yang sepatutnya tidak wujud diwujudkan. Bayangkan, dunia itu terlahir di alam digital. Bayangkan, manusia yang kekurang...