SERVER 7

12 2 0
                                    

Perkampungan Cendrawaseh,Tahun Infiniti 30XX

Nun di kejauhan dari kesibukan kota terdapat beberapa buah perkampungan di pinggir Bandar Inderapuri. Perkampungan Cendrawaseh salah satu daripadanya. Perkampungan ini boleh dikatakan perkampungan asal yang wujud sejak berpuluh tahun lamanya malahan ada juga yang mengatakan perkampungan ini telah pun wujud sejak seribu tahun yang lalu. Ia didiami dari generasi ke generasi. Dari keturunan ke keturunan.

Budaya masyarakat kampung ini juga diwarisi sejak turun temurun. Kebudayaan timur menjadi pegangan dalam salasilah susur galur keluarga. Dalam kesopanan ada kesusilaan. Dalam tatacaranya ada tertibnya. Dalam sifat pemalunya ada sifat menghormati. Saling berganding antara satu sama lain sehingga menerbitkan rasa harmoni di dalam suasana perkampungan itu.

Kehidupan perkampungan sangat berbeza di bandar-bandar besar seperti Bandar Inderapuri dan bandar sekitarnya. Masyarakat majmuk disini lebih menitikberatkan aspek kejiranan dan saling membantu antara masyarakat. Masih mengamalkan konsep kejiranan dan rukun tetangga yang kian luput di bandar metropolis. Saling mengambil berat antara satu sama lain. Itulah yang mengukuhkan pertalian persaudaraan sesama mereka.

Bukan bermakna perkampungan ini tidak mengikuti arus peredaran zaman. Dalam kalangan masyarakat perkampungan ini juga boleh dikatakan setiap penduduk mempunyai Brainlink milik masing-masing kerana pada zaman era ketamadunan teknologi yang terlalu canggih, Brainlink merupakan alat pengganti yang lebih maju menggantikan penggunaan telefon pintar pada ketika ini.

Di kejauhan, kelihatan seorang remaja berusia lingkungan belasan tahun duduk bersila di atas pondok tidak berdinding berhadapan dengan jelapang padi yang menghijau. Dia sedang sibuk meneliti Brainlink yang baru dimilikinya. Ia merupakan hadiah pemberian ayahnya kepadanya kerana cemerlang di dalam keputusan peperiksaan yang diperolehi beberapa hari yang lalu. Dia terlalu menginginkan sebuah Brainlink. Sistem komunikasinya, paparan hologram yang hanya boleh dilihat oleh si pemakai sahaja, sistem suara berkualiti tinggi, paparan monitor hologram beresolusi tinggi, keupayaan sistemnya sendiri. Kesemua kecanggihan teknologi Brainlink itu memikat hati sesiapa jua untuk memilikinya.

Remaja lelaki itu sibuk mencuba-cuba peranti itu. Dikalungkan ke lehernya dan jarinya menyentuh butang kecil yang terletak di belakang alat itu. Brainlink miliknya mula berfungsi. Hanya pemiliknya sahaja boleh menghidupkan alat itu malahan Brainlink juga dilengkapi dengan sistem pengecaman DNA serta Biometrik bagi mengelakkan kecurian dan penyalahgunaan dari bukan pemiliknya dan untuk mengelakkan kecurian.

Remaja lelaki itu seronok bukan kepalang. Dicubanya setiap satu aplikasi yang ada di dalam Brainlink miliknya. Dari satu ke satu sehingga dia tidak menyedari bahawa hari semakin lewat petang.

"Ismail! Masuk, nak! Dah lewat petang dah ni!" Di kejauhan, sayup-sayup suara si ibu kedengaran memanggil remaja lelaki itu. Suara itu datang dari sebuah rumah kayu bersaiz sederhana besar terletak tidak jauh dari pondok tidak berdinding itu.

"Baik, mak! Mail balik sekarang!" Ismail menyahut panggilan ibunya tanpa berkalih memandang ibunya. Dia sedang asyik membelek alat berteknologi tinggi itu. Namun menyedari hari telah lewat petang, Ismail terkocoh-kocoh berlari anak meninggalkan pondok tidak berdinding itu lalu pulang ke rumah.

Malam melabuhkan tirai menggantikan siang. Rembulan tidak kelihatan pada malam ini memandang cuaca agak mendung namun perkampungan ini tetap dingin seperti malam-malam kebiasaannya.

Keluarga Ismail sedang menikmati makan malam di ruang tengah rumahnya. Hidangan yang disediakan oleh Asiah begitu memikat selera anak dan suaminya, Hairuddin. Mereka menikmati juadah dengan begitu berselera namun masih dijaga tatatertibnya.

HYPERSERV : BEGINNINGWhere stories live. Discover now