Selatan Fin Del Mundo, gua Master Orb
Dentuman silih berganti. Pelbagai bangsa berkumpul dan bersatu mempertahankan satu-satunya elemen yang sangat penting bagi Hyperserv iaitu Master Orb. Hanya kerana sebiji bola kristal itu, pertembungan diantara bangsa berlaku dan pertumpahan darah tidak mampu dielakkan pada ketika ini. Seluruh bangsa bersatu dan menentang hanya satu bangsa. Bangsa Valkazar yang terdiri dari pelbagai elemen.
Bangsa Ensis mengepalai bahagian pertempuran jarak dekat. Bangsa ini sangat mahir bermain senjata jarak dekat seperti pedang, tombak dan sebagainya. Manakala bangsa Yaneko pula menguasai pertempuran jarak jauh. Bangsa ini terkenal handalnya dengan bermain panah.
Situasi di pintu gua Master Orb ternyata amat kacau-bilau dan porak-peranda. Darah menyimbah membasahi bumi Hyperserv persekitaran itu. Bangsa Valkazar melakukan serangan penuh ke atas pertahanan bangsa yang mempertahankan Master Orb.
Pelbagai elemen serangan dilancarkan oleh Valkazar yang juga terdiri dari pelbagai elemen. Ada yang menyerang menggunakan api. Ada juga yang berelemen angin, tanah, petir, gelombang, bayang dan bermacam jenis lagi.
Dentuman yang menggegarkan tanah berlaku lagi buat sekian kalinya. Puncanya berlokasi dari perhutanan arah utara dari pintu gua Master Orb. Dari kejauhan, kelihatan kepulan-kepulan asap yang hitam gemitam meruak ke udara diselangi dengan dentuman-dentuman yang bersilih ganti.
"Yazaid! Bertahan!" Elsa bergerak pantas umpama kilat menuju ke arah Yazaid yang terperangkap di dalam gelungan api yang marak berpusar-pusar.
Draxol pula bertinggir di atas dahan sebatang pokok yang besar. Wajahnya menyerigai memandang ke arah Elsa yang pantas menuju ke arah Yazaid. Tanpa lengah, dia melonjak tinggi ke udara.
"Elsa! Jaga-jaga!" Pandangan mata Yazaid dalam menangkap imej susuk tubuh Draxol yang melayang tinggi ke udara.
"Kau nak pergi mana, perempuan?" Draxol melunjurkan telapak tangannya ke arah bawah dan terarah kepada Elsa. Gadis itu melangoi pandangan.
Bunyi ngauman api kedengaran. Telapak tangan Draxol meludahkan tujahan api yang besar dan berpusar-pusar. Litupan kawasannya agak luas. Elsa mengerutkan wajah. Dia mengamati keluasan tujahan api itu dalam tempoh masa yang singkat.
"System Call! Duplex Energy Scutum!" Serentak itu juga, Elsa mengepalkan penumbuknya dan terhala ke arah atas. Secara tiba-tiba, dua lapisan pelindung dari tenaga terhasil melindungi Elsa. Yazaid juga meniru tindakan Elsa bagi mengelakkan diri dari terkena tujahan api Draxol itu.
Tujahan api itu mengena pada sasaran. Ruakan api itu membakar seluruh perhutanan di kawasan itu. Ngauman api itu tidak segerun ngauman api neraka yang jauh beribu kali ganda lebih dashsyat dari api dunia namun maraknya api dari Draxol mampu membakar seluruh perhutanan menjadi debu dalam sekelip mata. Lapisan pertama pelindung Elsa pecah.
Elsa dan Yazaid kemengahan. Draxol mendarat dengan kedua kakinya tidak jauh dari mereka berdua sambil memandang ke arah mereka dengan wajah yang menyerigai. Bahang panas terasa seakan membakar kulit. Yazaid pantas mendapatkan Elsa dan berdiri disebelahnya.
"Kamu berdua ternyata hebat juga, ya?" Draxol menyindir sinis.
"Peperangan dahulu, tidak ramai tentera Rayfall sehandal ini. Kalau ada pun... Hairuddin dan Zayyan sahaja. Tapi tidak aku sangka, legasi Rayfall lebih ampuh dari mereka sendiri." Draxol mengakui kehandalan Elsa dan Yazaid namun egonya tetap menongkah langit. Dia tetap merasakan bahawa dirinya mendahului di dalam pertempuran ini.
"Kau hanya membuang masa sahaja, Draxol. Kalian bangsa Valkazar tidak akan mampu mendapatkan Master Orb!" Elsa menjerkah. Draxol ketawa terbahak.
"Hahaha... benar? Kita tunggu dan lihat saja. Bangsa kami Valkazar bukan seperti di dalam peperangan ratusan tahun dahulu. Kini, bangsa kami lebih kuat dan ampuh dengan adanya Zaragas!" Yazaid terpinga-pinga. Dia menoleh sekilas ke arah Elsa.
YOU ARE READING
HYPERSERV : BEGINNING
Mystery / ThrillerBayangkan, sebuah dunia yang tidak mampu kita bayangkan. Bayangkan, sebuah dunia yang tidak tergapai dek tangan. Bayangkan, dunia yang sepatutnya tidak wujud diwujudkan. Bayangkan, dunia itu terlahir di alam digital. Bayangkan, manusia yang kekurang...