SERVER 3

28 4 4
                                        

Kenderaan yang dipacu oleh Fared meluncur laju merentasi lebuhraya lebar itu. Yazaid sekadar menjadi penumpang di sebelah Fared. Dia hanya banyak berdiam memerhatikan suasana diluar tingkap kereta tidak bertayar itu. Memerhatikan setiap pemandangan yang dilalui. Kereta yang menggunakan medan kuasa magnet sebagai 'tayar' itu jauh lebih laju dan efisien berbanding kenderaan tradisional. Ia seakan terapung diatas jalan yang diperbuat daripada fibre steel. Campuran besi dan bahan-bahan yang lain. Bahan apinya pula sekadar menggunakan kuasa bateri untuk menggerakkan kereta tersebut dan bukannya petrol namun untuk mengoperasikannya, sistem kereta itu perlu terhubung dengan pangkalan data induk utama bandar Inderapuri ini.

Terlalu banyak belantara konkrit yang megah berdiri. Bagi Yazaid, ia hanya menyesakkan pandangan matanya.Rimas!

Kenderaan mereka membelok ke kanan di satu selekoh. Mereka melepasi sebuah lagi bangunan yang baru sahaja siap dibina yang berada di sebelah kiri mereka. Jauh lebih gah dan besar serta tinggi menjulang langit. Yazaid sempat juga menjenguk melangoi ke atas. Pandangan matanya cuba mencapai puncak bangunan itu namun hampa dek kerana puncaknya terlalu tinggi. Gagal berbuat demikian, Yazaid sekadar melontarkan pandangan anak matanya ke arah pintu gerbang bangunan itu. Gerbangnya sahaja sudah gah. Pasti bangunannya kukuh dan utuh. Terdapat tulisan yang berbentuk abstrak di atas gerbang bangunan itu.

'I.R Federation? Company baru ke? Company apa ni?' Getus hati Yazaid sekadar menduga dan bertanya-tanya secara monolog.

"Bangunan yang kita baru lalu tadi tu. Kau pernah dengar nama company tu?" Tanya Fared kepada Yazaid. Dia perasan bahawa sahabatnya itu mengamati bangunan yang baru sahaja dilewati oleh mereka.

"I.R Federation? Aku tak pernah dengar pun. Syarikat baru ke tu? Dah macam nama hospital sakit jantung je." Terpacul juga soalan itu dari mulut Yazaid. Cuba berseloroh.

"Uuuiihh..apa pulak hospital sakit jantung. Hahaha...Kalau aku tak salah, company tu mengusahakan dan mencipta satu software antivirus yang cukup kuat dan berkualiti. Tapi masih ditahap pengujian." Terang Fared serba ringkas. Namun, gerak langkah tangannya mengendalikan kenderaan yang dipacunya sedikitpun tidak tergugah. Tumpuannya masih utuh. Ia sudah menjadi satu kebiasaan baginya memandu kenderaan digital seperti ini.

"Masih ditahap pengujian? Tapi dah buka syarikat yang besar? Waaaa..hebat. Mungkin pengguna yang pakai produk dia tu akan jadi beta tester laa tu. Sebagai subjek ujikaji." Duga Yazaid.

"Hahaha..agaknya tu. Tapi tak kisahlah. Tak penting pun. Sekarang ni ada yang jauh lagi penting kita kena fikirkan. Mereka cipta antivirus. Kita mencipta masalah pula." Fared mengubah rentak suara dan nadanya.Ternyata ada yang beban yang jauh lebih besar dan penting baginya untuk dia fikirkan kala ini.

Yazaid mengesan perubahan nada sahabatnya itu. Segera dia melontarkan pandangan matanya ke luar tingkap semula. Kembali mengamati pemandangan belantara konkrit yang gah sekeliling tempat mereka lalui ketika ini.

Sepi seketika. Yazaid tetap setia memerhatikan pemandangan luar. Fared masih memberi tumpuan yang kukuh dalam pemanduan mereka untuk balik ke makmal.

Masing-masing sedang mengelamun tanpa diketahui apa isi hati masing-masing. Mereka sekadar menggumamkan di dalam hati. Mungkin membentak-bentak. Atau, mungkin saling salah-menyalahkan. Tiada siapa yang tahu. Semuanya diluahkan secara monolog. Melayani perasaan masing-masing tanpa dizahirkan.


"Kau rasa Samsul boleh diselamatkan?" Fared melontar pertanyaan yang dia sendiri sudah dapat menduga jawapannya. Jasad yang terbaring lesu dan kaku di dalam makmal mereka ketika ini adalah sahabat mereka sendiri. Mindanya masih terawang-awang dan hilang berselerakan di dalam Hyperserv akibat tersilap percaturan semasa proses logout dilakukan dan jasadnya kaku seakan koma yang panjang. Tanpa minda di dalam jasad, jasad itu hidup tetapi tidak bernyawa. Inilah apa yang diusahakan oleh mereka berdua. Untuk mendapatkan dan mencantumkan kembali keseluruhan data minda Samsul yang berselerakan. Masalahnya, dimana? Kemana hilangnya data Samsul? Masih adakah peluang untuk sembuh?

HYPERSERV : BEGINNINGTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang