SERVER 82

2 1 0
                                    

Malam itu tidak seindah seperti sebelumnya. Suasana riuh dan bergempita di mana-mana. Pelbagai bangsa yang menghuni benua Grand Southgate ini bangkit mempertahankan dunia ini dari dijajah oleh satu bangsa yang terkenal buasnya iaitu Valkazar. Satu bangsa pemusnah dan menghancurkan apa sahaja yang berada di dalam laluannya. Sebahagian kecil dari permukiman Fin Del Mundo di sebelah utara hancur lebur kesemuanya. Pokok-pokok tumbang, habitat haiwan musnah sama sekali.

Pertempuran sengit yang menumpahkan darah tercetus berhampiran kaki pergunungan Mountain of Guardian.

Fared terlontar dan terseret beberapa kaki sebelum tubuhnya terhempas ke batang pokok besar. Darah tersembur dari mulutnya lantas Fared berlutut. Terasa senak di ulu hatinya. Pedangnya terpatah dua. Pandangan matanya memandang ke arah dua susuk tubuh yang bertelingkah hebat sehingga menerbitkan deruan angin yang sangat kencang.

"Estrella! Kawal diri!" Fared tidak mengalah. Estrella hilang pertimbangan dan hilang kewarasannya. Aura pembunuh yang terlalu kuat dilepaskan dari tubuhnya membuatkan pandangan mata Runaan dan Fared berpinar-pinar. Fared tidak terkecuali dari terkena hambatan itu seolah-olah Estrella tidak lagi mengenal mana kawan dan mana lawan.

Estrella kini tidak lagi menggunakan serangan anak panahnya bahkan lebih merbahaya. Setiap apa sahaja yang disentuh olehnya akan terurai menjadi piksel-piksel kecil dan berkumpul menjadi satu senjata yang lain. Akar kayu, dahan pokok, dedaunan bahkan serumpun anak panah miliknya juga tidak terkecuali. Kesemuanya disentuh oleh Estrella dan terurai menjadi piksel-piksel halus dan berkitaran di sekitar tubuh Estrella dalam jumlah yang agak banyak. Sekiranya Estrella menghajati apa sahaja jenis senjata, piksel-piksel halus yang bergentayangan itu akan bergerak dan berkumpul di hadapannya sehingga kelompok itu membentuk senjata yang diinginkan oleh Estrella.

"Estrella! Bangun, Estrella! Ni saya, Fared!" Fared cuba memujuk lagi. Dia menghampiri Estrella. Sekitar dua kaki jaraknya, Estrella menoleh sekilas ke arah Fared dengan wajah yang membengis. Tidak semena-mena beberapa lembing terbentuk dan menujah pantas menyasarkan tubuh Fared.

Fared tangkas mengelak. Belum sempat lembing itu terpacak ke tanah, lembing menyasar ke arah Fared seolah-olah dikawal oleh tangan 'ghaib'. Fared kaget. Dia melompat menjauhi serangan itu dan membuat kilasan tubuh. Lembing-lembing itu ditangkis dengan libasan angin.

Runaan pula banyak mengelak dari menyerang. Bukan kerana tidak mahu menyerang tetapi ketiadaan ruang walaupun sedikit untuk mencalarkan kulit tubuh Estrella. Runaan semakin terdesak.

"Estrella! Sedar semula, Estrella! Estrella! Bangun!" Jeritan Fared kedengaran semakin sayup dan menjauh sehingga jeritan itu tidak kedengaran lagi. Yang tinggal hanya sepi nan sunyi.

Estrella tersedar. Dia terbaring terlentang di satu alam yang tidak bermata dan tidak berdinding. Segala-galanya putih tidak berpenghujung. Ditoleh ke kanan dan ke kiri. Segalanya putih bak salju. Dilangoikan pandangannya ke hujung sana. Tidak ternampak penghujungnya seakan-akan alam ini tidak berkesudahan luasnya.

Aneh. Perkara terakhir yang diingatinya ialah dia bersama Fared menentang dan bertempur dengan seorang bangsa Valkazar yang tersangat ampuh untuk ditumbangkan oleh mereka berdua. Dan kini... dia berseorangan di sebuah alam yang tidak bermata dan tidak berdinding. Dia cuba bangkit. Sesekali dia terjelepuk jatuh. Bisanya menjalar ke setiap urat sendi. Terasa setiap pelipat sendinya patah riuk namun digagahkan jua.

Estrella menapak perlahan tidak bertujuan. Dia kelihatan mundar-mandir tidak tentu hala. Dia hilang arah tuju. Dia tidak tahu dimana keberadaannya kini bahkan alam yang serba putih ini pun tidak diketahui lokasinya.

"Fared? Awak dimana, Fared?" Kecut perutnya. Kepalanya tertoleh-toleh apabila telinganya menangkap alunan irama orang sedang menyanyi yang sayup-sayup dan kejauhan. Dia semakin ketakutan dan mula berlari anak kemudiannya memecut pantas ke arah yang tidak diketahuinya.

HYPERSERV : BEGINNINGWhere stories live. Discover now