SERVER 75

4 2 0
                                    

Kaki pergunungan Mountain of Guardian, Hyperserv

Suasana perhutanan disini tidak setenang dahulunya. Sejak terlepasnya bangsa pemusnah dunia, seluruh belantara huru-hara. Kacau-bilau di merata tempat. Haru-biru jadinya. Semuanya angkara Valkazar yang memusnahkan segala apa yang ada dilaluan mereka. Pasukan tentera dari pelbagai bangsa dikerahkan ke seluruh pelusuk benua Grand Southgate untuk memburu dan membunuh bangsa Valkazar namun jumlah bangsa itu terlalu ramai. Seolah-olah mati satu Valkazar, lahirnya dua Valkazar. Nisbah mereka tidak diketahui kerana jumlahnya yang ramai melata.

"AAAARRHHHHHHHHHH!!" Satu teriakan keras menggegarkan permukaan belantara daerah Fin Del Mundo ini. Kapten Zayyan, Tyrel, Fared dan Estrella yang berada di kaki pergunungan itu serentak memandang ke arah menghala ke utara. Suara teriakan keras itu bukanlah satu petanda yang baik.

Tanpa berlengah, mereka berempat bergegas menuju ke arah datangnya suara berkenaan. Kapten Zayyan melangoi ke atas memandang ke arah awan. Baru seketika tadi, satu jaluran cahaya menghentam belantara ini di arah utara pergunungan ini. Awan yang hitam-gemitam mengitari jaluran cahaya itu sejak ia muncul sehinggalah ianya menghilang. Meskipun jaluran cahaya itu telah lenyap namun awan hitam-gemitam itu masih mengitari berbentuk bulatan dimana lokasi penghujung jaluran cahaya itu mencecah tanah. Pacuan larian mereka berempat pantas meredah belantara.

Setibanya di satu kawasan tanah lapang, langkah mereka terhenti. Kawasan itu menjadi lapang bukan secara semula jadi strukturnya begitu sebaliknya ianya adalah kesan hentaman jaluran cahaya itu tadi membuatkan segala pokok dan tumbuhan hancur dan lumat. Ada juga pokok-pokok yang besar tumbang terhala keluar dari bulatan kawasan lapang itu.

Kelihatan susuk tubuh seorang lelaki berada di tengah-tengah kawasan lapang itu. Lelaki itu kelihatan berlutut sambil kepalanya tertunduk. Kedua-dua kepalan tangannya digenggam. Tubuhnya menggeletar.

"Kapten, siapa tu?" Tyrel bertanya. Mereka berempat menghampiri susuk tubuh tersebut dengan penuh siap siagaan.

"Keparat! Tak guna! Keparat! Tak guna!" Lelaki itu menyumpah seranah. Sekitar jarak kira-kira dua puluh kaki, Kapten Zayyan terhenti melangkah. Pandangan matanya berbinar. Dia seakan ingat-ingat lupa tentang lelaki itu.

"Kapten, kenapa?" Fared pula bertanya. Estrella melepaskan panahnya lalu terapung-apung di atas kepalanya tanda bersiaga.

Kapten Zayyan tidak pantas menjawab namun tidak pula kakinya melangkah lebih dekat untuk bertanya. Dia merasakan sesuatu yang tidak kena di dalam hatinya. Ada sesuatu yang mencurigakan. Serentak itu juga, lelaki tersebut menoleh ke arah mereka berempat. Tyrel, Fared dan Estrella terundur beberapa langkah ke belakang sebaik sahaja melihat anak mata lelaki itu. Matanya merah saga. Anak matanya pula meruncing menegak tajam seperti kucing. Sesekali warna merah matanya bertukar-tukar silih berganti dengan warna merah kehitaman.

"Kalian... siapa?" Lelaki itu tegak berdiri. Pergerakannya pun aneh. Seketika tadi dia duduk melutut. Ketika dia mahu berdiri, tubuhnya seolah-olah melayang umpama bulu ditiup angin lantas kakinya ditegakkan dan susuk tubuh lelaki itu pun berdiri seperti kebiasaan manusia. Tubuhnya seolah-olah tersangat ringan.

"Kamu pula... siapa?" Kapten Zayyan memulangkan semula soalan kepada lelaki misteri tersebut namun tiada jawapan. Lelaki itu hanya membisu sambil menyumpah seranah.

"Keparat! Tak guna! Keparat! Tak guna!" Fared kehairanan melihat lelaki itu. Apa yang diungkapkan pun aneh dan mengulangi perkataan yang sama. Menyumpah seranah.

"Kau siapa?!" Tyrel pula bersuara lebih lantang. Sabarnya mula memudar. Lelaki itu secara tiba-tiba memandang ke arah Tyrel dengan senyuman yang menyerigai.

Hanya satu kerdipan mata, susuk tubuh lelaki itu tidak berada di hadapan mereka berempat. Bayu angin berdesir halus serentak dengan pergerakan halus. Lelaki misteri itu berada di belakang Tyrel sambil menyerigai. Wajahnya menghampiri tengkuk Tyrel.

HYPERSERV : BEGINNINGWhere stories live. Discover now