SERVER 76

4 3 0
                                        

Injakan kaki Kapten Zayyan menggegarkan permukaan tanah di persekitaran perhutanan ini. Lelaki berpangkat kapten di kalangan bangsa Letrazie itu mendarat di satu tebing yang agak tinggi melunjur ke sebuah teluk. Seberang daripada teluk itu merupakan lokasi yang terletaknya Master Orb yang diburu oleh Valkazar. Jika mereka dapat menguasai Master Orb itu nescaya tamatlah sudah salasilah penghuni-penghuni Hyperserv ini kerana sesiapa sahaja yang menguasai Master Orb akan menguasai seluruh Hyperserv ini baik luar mahupun dalam.

Kawasan persekitaran ini tidaklah sunyi bahkan gegak gempita. Sebahagian besar bilangan Valkazar berkerumun di seluruh persekitaran ini. Mereka bertempur dengan pasukan dari ketenteraan yang terdiri dari pelbagai bangsa seperti Letrazie, Yaneko, Ensis dan banyak lagi. Pasukan ketenteraan ini difokuskan untuk menjaga persekitaran Master Orb.

Kapten Zayyan melangoi pandangannya jauh ke hadapan. Mencari-cari kelibat musuh kononnya terampuh namun hampa. Tidak kelihatan mahupun bayangnya. Sesekali beberapa bangsa Valkazar datang menerpa ke arah Kapten Zayyan dari belakang namun cantasan pedang Kapten Zayyan sepantas cahaya memisahkan kepala dengan tubuhnya seolah-olah pedang itu tidak dikeluarkan pun dari sarungnya. Terlalu pantas pergerakannya. Pemerhatian Kapten Zayyan langsung tidak tergugah. Tidak teralih walau sedikit pun. Dia mengamati persekitaran yang riuh. Bangsa Valkazar dalam bentuk pelbagai elemen itu menyergah, menyanggah, menerpa, mencantas dan pelbagai teknik serangan dilakukan ke atas bangsa-bangsa lain yang mempertahankan Master Orb. Berita itu tersebar luas begitu pantas.

Darah bertompok-tompok di sana-sini. Permukaan tanah penuh dengan warna darah Valkazar yang pelbagai. Tidak ketinggalan juga darah dari tubuh tentera dari setiap bangsa yang mempertahankan Master Orb. Banyak juga yang maut namun kematiannya tidaklah sia-sia bahkan nama mereka yang terkorban akan dijulang sebagai wira yang mempertahankan dunia digital yang buas lagi menyesakkan itu.

Kapten Zayyan memincingkan matanya ke arah pintu gua tersebut. Kelihatan huru-hara di sana. Dia terfikirkan satu teknik untuk masuk ke dalam dan membuat pertahanan di dalam gua tersebut.

"Kau tengok apa disana, Zayyan?" Satu suara serak-serak basah menyapa Kapten Zayyan dari belakang. Seseorang menyentuh bahunya. Serentak itu juga, tubuh Kapten Zayyan umpama batu yang mengeras. Seinci pun otot tubuhnya tidak mampu digerakkan. Membuntang anak mata Kapten Zayyan apabila susuk tubuh itu menapak perlahan berhadapan dengannya ketika ini. Wajah lelaki itu kelihatan biasa sahaja dan tidak membengis. Sekadar menyoroti pandangan dengan pandangan mata yang kuyu dan tersenyum menyerigai. Di dahi lelaki itu tertanam sebiji batu kristal berwarna kebiruan. Membulat anak mata Kapten Zayyan. Ternyata dia amat mengenali batu itu.

"Kau datang seorang saja? Mana geng-geng kau yang lain?" Lelaki itu tertoleh-toleh. Keringat Kapten Zayyan mula terbit dari dahinya. Berusaha sehabis baik untuk mengerakkan tubuhnya yang mengeras namun gagal. Terketar-ketar tubuh kekarnya.

"Oh, jadi betul kau datang seorang? Kesiannya kau. Nak aku temankan?" Tubuh Kapten Zayyan mengeluarkan aura pembunuhnya. Gegaran terasa kuat. Daya tekanan aura kuat itu membuatkan Valkazar disekelilingnya ada yang mati dan ada juga yang tidak sedarkan diri tetapi tidak pada lelaki itu. Senyumnya lebih menyerigai dan lebih menyeramkan.

"Atau, kau nak ambil Master Orb? Hahahaha... Terima kasih kau memudahkan kerja aku. Kau dah tolong aku bunuh Raja Raa si penyibuk tu. Jadi... sekarang tiada apa-apa halangan depan aku." Lelaki itu berpaling memandang ke arah bawah memandangkan mereka berdua berada di satu tebing yang tinggi berhadapan dengan sebuah teluk. Pandangannya terarah ke seberang teluk tersebut. Kelihatan seperti sebuah gua yang agak besar.

Pintu gua berkenaan dijagai oleh ribuan pasukan pelbagai bangsa. Menghalang kemaraan tentera Valkazar dari memasukinya. Pertumpahan darah pastinya berlaku disitu. Lelaki itu tersenyum melebar dan menyerigai.

HYPERSERV : BEGINNINGTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang