Di dalam daerah Fin Del Mundo terletaknya sebuah gunung yang tertinggi di benua ini iaitu Mountain of Guardian. Tingginya gunung ini sehingga puncaknya tidak kelihatan walau dari mana pun ia dipandang kerana puncaknya dilitupi awan yang memutih bahkan di puncak itu mempunyai suhu yang sangat rendah sehingga membeku. Sebuah robot berbentuk labah-labah gergasi terdampar di atas puncak gunung itu dan mempunyai lapan kali yang terjuntai sehingga ke kaki pergunungan. Tiada siapa yang tahu rahsia disebalik kisah terdamparnya robot itu disitu. Menurut kisah dari Kapten Zayyan, ianya merupakan sebuah prototaip pertama oleh Rayfall dan dijadikan Penjaga Mukim namun oleh kerana beberapa ralat yang sangat merbahaya, ianya 'ditidurkan' namun tidak dimusnahkan oleh Rayfall. Sebabnya juga masih kabur dan tidak mempunyai jawapan.
Menurut Kapten Zayyan juga, setiap mukim ada penjaganya atau rajanya. Ini bermakna ada empat raja mukim kesemuanya namun kini hanya tinggal tiga sahaja. Itu pun tidak diketahui kemanakah raja mukim itu pergi dan dimana kediamannya. Bahkan Kapten Zayyan sendiri pun tidak mengetahui bagaimana rupa wajah raja mukim berkenaan.
Terlalu banyak kisah-kisah dan penceritaan yang tersembunyi dan terselit di dalam dunia Hyperserv yang buas ini. Terlalu banyak misterinya yang masih belum terungkai.
Dentuman demi dentuman kedengaran menggegarkan permukaan bumi Hyperserv. Di kaki pergunungan itu melunjur ke bahagian utara, tidak kurangnya riuh bergempita. Dentuman dan tangkisan saling bertingkah bunyinya. Sesekali senyap seketika dan bergema semula.
Fared yang melonjak tinggi ke udara lantas mendarat kemas di atas sebatang pokok yang tumbang. Nafasnya mengah. Otaknya kurang oksigen menjadikannya semakin kurang fokus dan hilang tumpuan. Estrella terlempar jauh terseret beberapa meter sehingga tubuhnya terhempas ke dahan pokok yang tumbang tidak jauh dari tempat Fared bertinggir.
"Kuat... Musuh terlalu kuat" Fared mengepalkan kedua penumbuknya. Amarah yang tertahan-tahan cuba dikawal sebaik mungkin. Jika diri diselubungi amarah nescaya pertimbangan jiwa akan hilang. Lantas ketajaman serangan akan mula menumpul.
"Aku tak nak mengakui tapi terpaksa juga aku akui. Kamu berdua ternyata hebat sama sekali. Kedua-duanya hebat." Runaan berjalan menapak dalam keadaan terhuyung-hayang dengan tubuhnya yang penuh dengan darah yang menitis-nitis membasahi permukaan tanah. Tubuhnya luka parah. Luka-luka besar merata di tubuhnya.
Fared tidak lekas menjawab. Tubuhnya juga luka parah. Darah menitis dari kepalanya. Estrella bangkit berdiri dalam keadaan menahan kesakitan. Tubuh gadis itu juga penuh dengan luka-luka dan darah bertompok-tompok memenuhi baju Estrella.
"Kau dengar tu?" Runaan mengangkat jari telunjuknya dan ditudingkan ke arah selatan.
"Bunyi dentuman yang membingitkan telinga. Hairuddin pasti habis maut. Kreious... bukan calang-calang Valkazar. Dia adalah bangsa Valkazar purba yang pernah hidup ketika di zaman Rayfall dulu. Banyak ilmu yang diketahuinya." Runaan menapak lagi menghampiri Estrella.
"Apa yang kau nak buat jika kau dapat Master Orb?" Estrella melancarkan serangan tujahan anak panah namun pantas ditangkis oleh Runaan. Anak panah itu terbang melayang semula ke arah Estrella dan terapung-apung menunggu perintah seterusnya.
"Apa yang kau berdua sibuk sangat nak tahu?" Runaan berdiri tegak tidak jauh dari Fared dan Estrella. Dentuman demi dentuman silih berganti. Penghuni-penghuni Hyperserv yang terdiri daripada pelbagai bangsa sedang bertarung menempur Valkazar yang mengganas di persekitaran ini. Sasaran mereka hanya Master Orb.
"Hyperserv dibawah seliaan aku. Hasil rekaan Rayfall, juga merangkap kepada guru aku. Aku berhak untuk tahu." Fared menghunuskan pedangnya ke arah Runaan.
"Hahaha... kalian bangsa manusia sangat naif. Bangsa-bangsa lainnya juga naif. Kami, Valkazar jugalah yang terampuh di Hyperserv. Kami yang sepatutnya memerintah. Bukannya kalian bangsa manusia keparat!" Runaan mengherdik.

ANDA SEDANG MEMBACA
HYPERSERV : BEGINNING
Mystère / ThrillerBayangkan, sebuah dunia yang tidak mampu kita bayangkan. Bayangkan, sebuah dunia yang tidak tergapai dek tangan. Bayangkan, dunia yang sepatutnya tidak wujud diwujudkan. Bayangkan, dunia itu terlahir di alam digital. Bayangkan, manusia yang kekurang...