Chapter 18 : Orang Baru

1.2K 105 0
                                        

Semua mata terarah pada orang yang sedang berjalan masuk ke dalam dewan kuliah. Bau wangian yang datang dari susuk tubuhnya memenuhi dewan yang berpenghawa dingin.

​Semua mata terpaku melihat betapa segaknya lelaki di sisi pensyarah mereka. Rupa paras lelaki itu mengalahkan mana-mana 'visual' di kolej mereka.

​Rahang para pelajar perempuan yang ada dalam dewan kuliah itu seolah-olah mahu terjatuh ketika ternganga melihat lelaki kacak tersebut.

​Pensyarah kelas itu berdiri di atas podium sewaktu seluruh kelas senyap secara spontan. Lelaki itu menghadap kelas tersebut dengan senyuman nipis di bibir.

​"Baik kelas, hari ini kita ada kawan baru. Dia dari Kolej Crimson High, pindah di sini atas urusan keluarga. Jadi saya harap kamu semua dapat berkawan baik dengan dia," maklum Sir Arnold kepada mereka. Dia memandang pelajar baru di sebelahnya. "Kenalkan diri kamu..."

​Mereka semua fokus pada pelajar baru tersebut sehingga ada yang tidak berkelip mata, malah ada juga yang mengambil gambar lelaki yang gayanya seakan model profesional.

​Rambut yang disisir kemas ke kanan, mendedahkan dahi luas dan sepasang mata yang berbulu mata lebat. Menarik perhatian dan mencuri hati setiap gadis di situ.
​Lelaki berwajah dingin itu memandang kosong ke depan kelas.

​"Selamat berkenalan, saya Xenon Lee," ucap Xenon sambil melirik ke arah mereka.
​"Ya... selamat datang Xenon. Kamu boleh duduk di kerusi yang kosong," arah Arnold. "Kelas, buka muka surat 70. Kita akan mulakan dengan bab baru mengenai pengurusan kotak data." Pensyarah itu tunduk membuka komputer riba dan menyediakan slaid untuk kelasnya.

​Sementara itu, Xenon mendaki tangga. Dia melihat kerusi kosong yang ada di situ lalu duduk di sebelah pelajar lelaki berkaca mata bulat.

​"Kacaknya dia!"

​"Yalah..."

​"Kau rasa dia ada teman wanita tak?"

​"Ish kau ni... awal-awal lagi dah tanya soalan tu..."

​Itu adalah perbualan pelajar perempuan yang berada berdekatan dengan tempat Xenon duduk. Sepanjang kelas itu berlangsung, semua perhatian mereka terarah pada pelajar baru tersebut.

​Kebetulan waktu itu, Rex yang duduk di kerusi tingkat atas betul-betul di belakang Xenon, telah menilik Xenon sejak tadi.

​"Asal kau pandang dia macam tu?" bisik Zack di sisi.

​"Entahlah... aku rasa macam ada sesuatu tentang dia..." balas Rex dengan renungan mendalam ke belakang kepala Xenon.

​Kening Zack terangkat. Dia memandang pelik ke arah belakang kepala Xenon.
​"Macam apa?" tanya Zack lagi sebelum kembali memandang Rex.

​Rex berpaling, memandang jengkel ke arah Zack lalu memukul belakang kepala rakannya. Entah macam mana dia boleh berkawan dengan orang bebal seperti ini.

​"Kau ni apa ke bebal sangat! Kalau aku tahu, tak adanya aku cakap macam tu! Ditanya lagi buat apa! Memang aku tak tahulah... Gunakanlah sikit otak tu untuk faham!" desis Rex kegeraman.

​Zack membuka mulut membuat bentuk "o" sambil mengangguk-angguk kepala.

​Rex menjulingkan mata dengan kejengkelan melihat reaksi Zack.

​"Baik... kita akan ketengahkan topik utama dalam pengendalian dalaman komputer yang terbahagi kepada beberapa komponen," ujar pensyarah di depan sambil memandang slaid.

​Xenon tekun mencatat setiap isi kandungan penerangan pensyarah tanpa menghiraukan sekelilingnya.

5. Mr. RightTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang