Dari jauh, kelihatan orang itu berjalan keluar dari bangunan untuk mendekati bangku di depan pintu keluar tersebut.
Dua orang yang sedang duduk di bangku menghadap taman bunga kolej itu didekati sambil melompat girang. Kedua-dua yang duduk membelakangkannya itu kemudian didekati dengan senyap sebelum disergah kuat.
"BAH!" Irene melompat di depan mereka. Cubaan untuk mengejutkan dua orang itu gagal apabila kedua-duanya hanya duduk dengan muka tidak ada perasaan.
Daniel memandang kosong ke arah Irene, sementara Samuel pula hanya duduk dengan tangan disilang ke dada, renungan tajam terarah pada gadis itu.
"Cepatnya kau sampai..." perli Samuel. "...aku rasa aku call kau dekat setengah jam yang lepas dan baru sekarang kau munculkan diri?" sungut Samuel.
Irene memandang Samuel sambil membuat muka.
"Hello, mister... kan aku dah cakap aku sibuk. Yang kau nak marah-marah kenapa? Dengar ya, aku sibuk uruskan kes kau! Terima kasih sikit boleh tak..." Gadis itu mengambil tempat di tengah-tengah antara Daniel dan Samuel.
Samuel bersila dengan sebelah kaki atas bangku itu, duduk menghadap Irene.
"Kenapa kau buat semua tu? Kau tahu tak semua tu cuma akan burukkan lagi keadaan? Tak kesiankan mama aku ke?" marah Samuel. "Kalau nak buat masalah, biar masalah tu datang dekat kau, jangan libatkan orang lain."
Daniel yang mendengar berkerut kening. Dia turut duduk bersila dengan sebelah kaki atas bangku menghadap Irene yang duduk di tengah-tengah.
Irene bersandar, tangannya diseluk ke dalam poket sweaternya.
"Puan Linda yang bagi izin. Lagipun, aku dah uruskannya dengan baik. Jadi mereka takkan berani-berani ambil tindakan pada kolej ni..." balas Irene dengan tenang.
Daniel memberi renungan marah pada Irene.
"Kau suka ya susahkan orang?" tanya Daniel.
Gadis itu berpaling, memandang wajah Daniel lalu turun memandang lengan yang sudah bersimen dan tergantung itu sebelum naik memandang Daniel semula.
"Tangan kau tak apa-apa?" dalih Irene sambil menyentuh perlahan permukaan simen itu dengan jari telunjuk.
"Orang tanya, jawab. Jangan nak mengelak," arah Samuel.
Irene memandang kanan dan kirinya, melihat dua rakannya yang telah dikenali sejak awal semester hingga hari ini.
Walaupun mereka sering bergaduh dan bertekak, dua lelaki ini adalah rakan sewaktu dia susah dan senang. Mana mungkin dia hendak melihat orang lain menyusahkan rakan-rakannya. Mestilah dia akan membalas semula apa yang orang buat pada rakan-rakannya.
"Irene jawab!" tegas Daniel. "Macam mana kalau kau kena buang kolej... macam mana nama kau buruk sebab kes ni? Kau tak peduli ke tentang pelajaran kau? Peliklah kau ni. Dah pesan banyak kali, jangan timbulkan masalah. Tak dengar, kau buat juga..." keluh Daniel berwajah kecewa.
Samuel yang mendengar hanya mendiamkan diri. Wajah lelaki itu memaparkan reaksi risau.
Irene menarik senyuman nipis di bibir.
"Aku marah sebab mereka dah melampaui batas... Lagipun, takkan aku nak biarkan kau tak dapat guna piano sampai bila-bila kan?" luah Irene perlahan sambil melihat tangan Daniel. “Biar lah kalau nama aku buruk, sebab aku boleh bangun sendiri... macam mana dengan kau, Daniel? Cita-cita kau untuk menjadi pianis terkenal. Kalau sesuatu terjadi pada tangan kau, adakah kau akan bangun dengan mudah?"
Daniel tergamam, mata lelaki itu kelihatan berkaca sebaik sahaja mendengarnya.
"Sama juga dengan kau, Samuel. Kalau kau cedera, apa yang Madam Linda akan rasa? Tak ke itu akan buatkan Madam Linda lebih kecewa?" Irene berpaling memandang Samuel.
Samuel memandang terkejut ke arah Irene.
"Aku tahu kita ni selalu bergaduh, tapi baik buruk kau orang, kau orang tetap kawan aku... dan aku tak suka tengok orang yang aku sayang susah atau terluka..." jelas Irene.
"Kau fikirkan orang lain... tapi macam mana dengan kau, Irene? Kau tak fikir ke tentang nama baik dan masa depan kau sendiri?" tanya Samuel dengan perlahan.
Irene melepaskan helaian nafas panjang.
"Hmmmm..." Irene dongak memandang langit. "Apa susah, aku kahwin lah dengan lelaki kaya... biar semuanya tersedia dan aku tak perlu fikir apa-apa..." seloroh Irene.
Daniel menjuling mata sebelum menggeleng kepala.
"Cakap dengan kau ni memang tak ada faedahnya..."
Irene yang mendengar memandang Samuel dan Daniel dengan senyuman nipis di bibir.
ANDA SEDANG MEMBACA
5. Mr. Right
Teen FictionNak cari pasangan mesti la yang betul-betul kan? Kan? Ke main tangkap muat je Ke asal handsome berduit.....jalan Atau asal pandai berotak dan bergaya.....on See Hidup di alam remaja dewasa bukan senang okay...not easy like peanut So yang mana dia ke...
