Chapter 70 : Hospital Mama

1.1K 85 0
                                        

Mata itu bergerak ke kanan dan kiri setiap kali orang yang memakai pakaian doktor serba putih yang kacak melalui depannya.

Ada juga doktor yang baru sahaja keluar dari bilik bedah melintasinya dengan jubah bedah di badan, menarik perhatian gadis yang berdiri di laluan utama tingkat di hospital besar itu.

Kaki yang mengenakan kasut tumit rata warna pastel dan dress labuh paras lutut tanpa lengan menyandar pada rel besi, mencuci mata sambil melihat doktor serta petugas di hospital yang melintasi pandangannya.

Kembang kempis hidungnya setiap kali melihat wajah mereka.

Pada masa yang sama, dari kejauhan, satu suara yang tidak asing di telinga kedengaran sayup dari satu arah.

"Periksa wad pesakit VIP dengan ICU, update laporan mereka setiap tiga jam..."

"Baik, Prof...."

"Perjumpaan untuk pembedahan transplant tu pukul berapa?" tanya Adriana sambil berjalan tunduk memandang skrin tablet di tangannya. "Macam mana dengan pesakit kanser tahap empat tu?"

"Perjumpaan pukul 3 nanti, pesakit kanser tu pula kena tahan wad untuk seminggu ni."

Tiga orang doktor dan seorang doktor residen mengekori langkah wanita itu sewaktu Adriana sibuk meneliti dan memeriksa laporan.

Irene yang melihat dari jauh terus bersuara, takut mamanya yang sibuk itu tidak menyedari kehadirannya.

"Mama!" panggil Irene setelah gadis itu perasan akan mamanya yang sibuk memandang ke bawah sehingga tidak sedar dia sudah berdiri di depan mata.

Langkah Adriana serta-merta terhenti sebaik suara itu kedengaran. Dia mengangkat kepala lalu melilau ke kanan sebelum ke kiri dan melihat Irene sedang tersenyum kepadanya.

"Oh, kamu dah sampai. Sorry, sayang..." ucap wanita itu sambil menyerahkan tablet kepada doktor di sebelah kanannya. "Kalau begitu, itu sahaja. Kamu semua boleh beredar..." ujar Adriana kepada mereka di sekelilingnya.

"Baik, Prof..." tunduk mereka sewaktu hendak beredar. Sempat juga mereka melirik ke arah Irene, mengamati gadis cantik yang merupakan anak perempuan profesor kesayangan mereka.

Irene melirik ke arah kumpulan doktor itu semasa berjalan mendekati mamanya. Dia menarik senyuman mesra pada empat doktor lelaki itu sebelum menghulur tangan untuk memeluk lengan mamanya.

Tersipu malu, doktor-doktor itu melangkah pergi dari situ.

"Kalau mama sibuk, kenapa ajak Irene makan tengah hari sama-sama?" Irene memeluk lengan Adriana dan berjalan seiring dengan wanita itu ke arah eskalator. "Banyak kes ke, mama?"

Adriana memegang tangan Irene yang sedang memeluk lengannya.

"Tak adalah sibuk mana, cuma feedback pesakit je, kes nak kata banyak pun tak banyak mana. Cuma sekarang mama perlu uruskan kes baru," jawab Adriana sambil bermain dengan jari jemari Irene yang sedang memeluk lengannya.

Mereka berdua bergerak ke kafeteria sebelah hospital di tingkat bawah. Setelah tiba, mereka terus membuat pesanan dan duduk di meja depan sebelah pintu masuk, menghadap gelas kaca yang memberi pemandangan luar.

Disebabkan sudah dua hari Adriana tidak pulang ke rumah, Irene, si anak manja itu, meminta izin pada Adriana untuk berjumpa. Adriana terus setuju walaupun jadualnya sangat padat dan sibuk, kerana anak itu lebih penting dari kerjanya.

5. Mr. RightTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang