(Sedutan terakhir Bab 1...)
.... "Hmph, emas putih bukannya laku pun kalau nak jual...!" Ngomelnya sendirian.
Mereka semua bergegas masuk ke dalam kereta sementelah jam waktu itu sudah pun menunjukkan pukul 10.15 malam. Sudah pasti mereka akan ditahan lagi oleh pak guard UiTM malam ini. Ini semua Reza punya pasal! Namun begitu, jauh di sudut hati Lara, dia berharap agar terbangnya Reza kembali ke Singapura hari ini adalah untuk selama-lamanya!
===============================================================
Bab 2
BUMI Singapura basah dengan limpahan air hujan yang turun dengan lebatnya. Sekali-sekala, gumpalan awan kelabu kelihatan terang bercahaya diikuti dengan bunyi dentuman petir di langit. Suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi Singapura pada hari itu tetap sibuk walaupun dalam keadaan ribut yang menggila. Orang ramai berpusu-pusu keluar masuk daripada Terminal Perlepasan dan Ketibaan, masing-masing dengan arah dan tujuan sendiri.
Seorang lelaki keluar dengan langkah yang longlai apabila lif berhenti di tingkat Basement 2 iaitu tempat letak kereta khas buat kakitangan lapangan terbang tersebut. Dia terus mengorak langkah menuju ke petak parkir kereta milik ayahnya. Keadaan di situ jauh lebih sunyi daripada keadaan di terminal tadi, hanya sesekali terdengar ngauman enjin kapal terbang turun dan naik, sayup-sayup dari kejauhan.
Tiba-tiba, kedengaran seperti bunyi SMS menerjah masuk. Lelaki itu terus menyeluk poket seluarnya seraya mengeluarkan telefon Nokia N-Gage QD yang berwarna kelabu asap. Sebaik sahaja dia turun dari pesawat tadi, dia terus sahaja menghidupkan telefon bimbitnya menyebabkan mesej masuk bertalu-talu. Dia menekan butang 'Open' lantas membaca mesej yang tertera...
'Memang mahal bro sebab surfing board ni limited edition... Ada signature Kelly Slater dekat hujung deck.' - Ako Surfer
Huh. Lelaki itu menelan liur. Kelly Slater adalah peluncur papan air terbaik dunia dari Amerika Syarikat yang juga merupakan idolanya. Hatinya terus cair!
'Kalau nak view before purchase boleh? Kalau boleh, tolong bagi address Sabah dekat mana.' Dia menulis, lantas jarinya menekan butang 'Send'.
Saat mesej itu dihantar, dia sudah pun tiba di kereta ayahnya. Air mukanya berkerut bukan kerana keletihan tetapi seperti sedang memikirkan sesuatu...
'Kalau nak tengok surfboard tu nanti kena pergi ke Sabahlah pulak...' Katanya sambil membuka pintu kereta. Dia menghenyakkan punggungnya ke tempat duduk pemandu lantas menghidupkan enjin kereta.
'Hmm... SIA (Singapore Airlines) takde route ke Sabah... Maknanya kena fly ke KL dulu, lepas tu transit dekat KLIA, tukar flight MAS... Ish, leceh jugak.' Fikirannya menerawang sambil tangannya mengenakan tali pinggang keledar. RM2500 untuk sebuah papan luncur air bukanlah menjadi masalah buatnya tetapi perjalanan untuk ke Sabah itu agak merumitkan. Namun, demi tandatangan Kelly Slater, dia nekad untuk pergi juga!
Sebelum memulakan pemanduannya, dia sekali lagi memeriksa mesej-mesej lain yang masuk ke dalam telefon bimbitnya sebentar tadi. Jari-jemarinya meluncur laju di papan kunci telefon tersebut...
'Ash, where are you? Coming over for dinner tonight?' - Mama
Lantas, dia menaip sesuatu...
'I'm coming now from airport.'
Matanya melirik ke arah jam di tangannya... 17:45. Waktu trafik sedang sesak! Sudahlah hujan pula. "Phew..." Keluhnya sendirian.

ANDA SEDANG MEMBACA
MWB - Mr Wing Badge
RomanceMWB - Mr Wing Badge *Wing badge: Pilot's badge. A pilot's pride. "Bukankah pilot perlu sentiasa tenang walaupun ketika keadaan pesawat seperti telur di hujung tanduk?" Sinopsis: Bukan cerita cinta pilot biasa ;) Sinopsis penuh di dalam. Kepada sem...