Bab 70

209 31 33
                                    

Lara telan liur.

Malam itu dia bersendirian di Sri Mahligai Condominium. Kotak-kotak yang berisi barangannya sudah pun tersusun, menunggu masa untuk berpindah masuk ke Kolej Mawar bagi semester yang akan dibuka.

Jari-jemari Lara tergesa-gesa memeriksa satu demi satu lembaran SMS di dalam telefon bimbit Nokia N73 berwarna hitam miliknya. Nafas diatur perlahan tetapi dia sudah berasa tidak sedap hati...

Usai solat Isyak sebentar tadi, Lara terus mengaktifkan kad sim yang baru dia beli bersama Khyra dan Zieta di KLCC siang tadi. Dia mula menghantar SMS untuk memberitahu tentang nombor barunya kepada semua penghantar SMS dalam inbox tersebut (kecuali kepada Huzaimi) tetapi Lara dapati bahawa SMS Ashraf tidak ada dalam senarai SMS di situ! Inilah punca dia tidak sedap hati.

Kening berkerut. Fikirannya menangkap sesuatu yang kurang enak tetapi dia abaikan dahulu segala tanggapan.

"Okay, takpe... Relax... Kita cuba check nombor dia dalam call register pulak. Hopefully ada... Come on, Blackie! Please...!" Lara bercakap sendirian dengan telefon bimbitnya.

Jarinya laju menekan butang masuk ke dalam aplikasi 'Call Register', tempat di mana senarai panggilan masuk dan keluar tersimpan. Matanya liar meneliti baris demi baris nombor telefon yang tertera tetapi nombor Ashraf tiada juga di situ!

Nombor telefon yang berada di baris paling akhir dalam senarai tersebut adalah nombor telefon ibu. Tarikhnya adalah semalam dan waktu yang tertera adalah pukul 6.50 petang. Ashraf menelefonnya pada pukul 4.30 petang sebelum penerbangan, dan ini bermakna... Nombor telefon Ashraf sudah terkeluar daripada senarai ini!

"Oh, shit..." Bisiknya.

Waktu ini juga Lara tersedar bahawa kesemua SMS Ashraf selama ini tersimpan di dalam kad sim TimeCel yang dia patahkan dan buang di taman KLCC petang tadi. Sebab itulah ia tidak ada di dalam telefon bimbit ini!

Gulp. Air liur ditelan keras.

Namun begitu Lara masih tidak berpuas hati. Dia terus mengimbas satu demi satu senarai nombor telefon di situ...

Memang Lara tidak ingat nombor telefon si Ashraf sepenuhnya tetapi dia tahu nombor tersebut dengan sekali pandang. Ia ada angka 2,0,4 dan 7 tetapi susunannya saja yang Lara tidak ingat!

Bibir diketap. Perasaan Lara bertukar cemas tetapi dia masih tidak mahu berputus asa!

"Ya Allah, please... Tolonglah. Bagilah nombor Ashraf ada terselit dekat mana-mana dalam telefon ni..." Bisiknya lagi.

Entah apa-apa aplikasi dan folder lagi yang Lara buka untuk mencari nombor telefon Ashraf. Dia kenal nombor tersebut! Nombor telefon yang hanya terkandung angka 2, 0, 4 dan 7!

Lara terus mencari tanpa berputus asa tetapi dia masih tidak menemui yang seakan-akan dengan nombor telefon Ashraf! Adakah ini bermakna mereka sudah terputus hubungan? Tidak mungkin, bukan?

'No, no, no...! Tak kan lah jadi macam tu pulak!' Hati Lara menafikan sekeras-kerasnya. Dia berasa panik tetapi cuba untuk berfikiran positif.

Pasti ada... Nombor Ashraf pasti ada di mana-mana dalam telefon bimbit ini... Lara terus mencari.



"Hhah...!"

Lara menekup muka dan satu nafas panjang dilepaskan. Setakat ini, semuanya seperti menemui jalan buntu! Dia termenung seketika tetapi fikirannya rancak memikirkan sesuatu.

'Okay, ingat balik betul-betul, berapa nombor telefon Ash...'

Bibir diketap dan matanya mengecil. Fikirannya jauh menyelam ke dasar kotak ingatan, cuba mencongak turutan nombor telefon si 'My MWB'.

MWB - Mr Wing BadgeWhere stories live. Discover now