Bab 2

526 72 1
                                    

Dengan langkah yang lemah, aku berjalan ke sana. Walaupun mata aku terasa berat seperti hendak tertutup sahaja, tapi aku paksakan diri untuk sentiasa sedar. Penat, memang bukan kepalang lagi. Namun aku yakin, dihujungnya nanti aku sendiri yang akan berpuas hati.

Dengan semua penat lelah aku ini, pasti akan membuah hasilnya.

Bibir aku tersungging senyuman nipis bila melihat Aunty Yook, sedang berdiri di depan pintu itu sambil merokok. Melihatkan kehadiran aku, secepatnya dia menghabiskan sisa rokoknya dan membuangnya. Dia turut tersenyum pada aku.

“Eh, Sung Kyung.”

“Aunty, nah,” Aku hulurkan pada dia setapau kuih beras. “Tadi, saya beli kuih beras lebih. Aunty ambil satu iya?”

“Terima kasih. Ini, kamu mahu jumpa dengan dia?”

Aku angguk laju. “Iya.”

“Dia ada di dalam. Aunty bagi masa lima belas minit sahaja. Sebab tak lama lagi, bos besar akan turun ke sini. Jadi kamu kena cepat, faham?”

Sekali lagi aku menganggukkan kepala tanda faham. Selepas mendapat izin, aku segera masuk ke dalam rumah pelacuran ini. Melangkah sahaja aku ke dalamnya, ada satu bauan yang terus menerobos masuk ke rongga hidung aku.

Bauan seks.

Aku menutup separuh wajah aku dengan telapak tangan, sementara mata aku mencari-cari biliknya. Jumpa, langsung sahaja aku masuk ke dalamnya. Penglihatan aku terarah pada sekujur tubuh sedang membelakangkan aku. Tapau kuih beras aku letakkan ke atas meja, lalu aku melabuhkan punggung ke atas tilam katil.

“I-ibu. .Sung datang ni. Saya ada bawakan ibu kuih beras, nanti ibu makan iya?” Usai berkata, aku beralih ke meja tadi untuk menyediakan makan dan minum untuknya. Ibu aku. “Bangunlah ibu, saya tak boleh lama ni.”

“Aku tak suruh pun kau datang sini jadi jangan nak sibuk arah aku itu ini.”

Kerja tangan aku jadi terhenti mendengar kedinginan nada suaranya itu. Aku mengeluh perlahan.

“Sung rindukan ibu, sebab itulah saya datang ke sini. Tak kiralah berapa kali ibu halau saya keluar, saya tetap akan datang lagi dan lagi.”

“Dasar keras kepala,” Aku menoleh memandang ibu yang sudah duduk menghadap aku. “Ini, aku dengar kau kerja malam di kelab, betul?”

“I-iya. .”

“Kau nak jadi apa? Nak jadi pelacur macam aku begitu?”

“Ibu. . .bukan begitu. Saya kerja sebagai pelayan bar bukan pelayan nafsu lelaki. Saya buat semua itu untuk dapatkan duit lebih. Saya nak keluarkan ibu dari neraka ni.”

“Apa yang susah sangat kau nak dengar cakap aku, hah? Aku dah cakap, jangan fikir tentang aku. Keluar dari tempat ni, cari hidup kau sendiri. Kenapa kau degil ha?”

Aku menggigit bibir, menahan sendu. “Sebab Sung cuma ada ibu sahaja di dunia ini. Tak mungkin saya tinggalkan ibu begitu sahaja. Apapun yang berlaku, saya akan usahakan sehingga ibu keluar dari sini.”

“Berambus, aku tak nak tengok kau di sini.”

“Ibu. . .”

“Keluar!!”

Aku telan segala kesakitan diperlakukan sebegini, sebab aku tahu ibu buat semua ini hanya untuk membuat aku jauh darinya. Sebab hanya bila aku jauh darinya sahaja, aku dapat selamatkan diri.

*****

Eternal Love ✔Where stories live. Discover now