Aku mengeluh perlahan sambil menguiskan batu-batu kecil di atas permukaan tar mengelakkan kebosanan. Sementara menunggu Jungkook habis kerja, semenjak tadi aku duduk bersendirian di bahu jalan ini. Macam Jungkook sengaja mahu berlambat-lambat pula selepas melihat banyak pekerja stor yang lain sudah berura-ura pulang.
Kepala aku topangkan dengan malas. Mata aku tak lepas dari memerhatikan pintu stor, berharap yang Jungkook akan keluar segera. Tapi kelibat dia langsung belum kelihatan. Biasanya dia akan berusaha untuk siapkan kerjanya awal dan cepat-cepat keluar sebab tidak mahu aku menunggu lama. Tapi sekarang, dia lambat. Sengaja atau memang banyak kerja?
Atau, dia sengaja buat begini sebab hal tadi? Dia marahkan aku ke?
Aku sembamkan muka pada lengan lalu mengeluh lagi. Sejujurnya aku belum boleh membiasakan diri menjadi seseorang yang bergelar isteri, aku masih kekok dan janggal. Mungkin kerana usia aku yang masih terlalu muda. Masih banyak yang perlu aku pelajari dan fahami, termasuk soal hati dan perasaan suami. Sumpah, aku masih mencuba untuk mempraktikkan semua itu.
Semuanya terlalu baru untuk aku, terlalu asing bagi aku. Dan, aku tertekan dengan semua itu.
Apabila indera pendengaran aku menangkap tawa halus Jungkook, kepala terus aku dongakkan untuk melihatnya. Terkaku beberapa saat, aku hanya merenung dia yang sedang berbual mesra dengan Saeran. Langsung tidak menghiraukan aku yang sudah panas punggung duduk di sini semata-mata untuk menunggu dia.
Dalam lebih kurang dua ke tiga minit begitu, akhirnya mereka berlambaian tangan antara satu sama lain. Aku diamkan sahaja. Senyuman aku koyakkan semasa dia berjalan ke mari.
Tapi Jungkook abaikan aku mentah-mentah.
Dia jalan dahulu di depan dan tinggalkan aku di belakang. Apa dia fikir aku tunggul atau apa? Teruk sangatkah kesalahan aku sampai dia abaikan aku begini?
“Jungkook!” Aku jerit nama dia, bibir aku gigit selepas itu. Tapi dia tetap berjalan pergi sehingga aku terpaksa mengejar langkahnya. “Jungkook! Tunggulah!”
Lengannya berjaya aku tahan. Dan secepatnya aku berdiri di hadapannya. Kepala aku dongakkan untuk memandang tepat ke dalam matanya. “Kenapa ni hm? Awak marahkan saya ke?”
“Entah, awak rasa?”
“Sekurang-kurangnya bercakaplah dengan saya. Saya minta maaf atas apa sahaja yang saya buat. Tolonglah jangan abaikan saya begini. Apa salah saya sebenarnya?”
Dia mengeluh perlahan sebelum mengundur beberapa langkah ke belakang. Menjauhkan diri dari aku. “Jangan bercakap dengan saya, selagi awak belum sedari apa kesilapan awak. Itu hukuman awak.”
Aku terlongo dan dia terus membuka langkah pergi.
Apa semua ini?
*****
YOU ARE READING
Eternal Love ✔
FanfictionETERNAL LOVE \ J.JUNGKOOK ❝I love you baby, more than what you think. I prefer to cry with you than laughing with the others, because even i cried, i'm happy. If you asked me, how many times did you appeared in my mind, i only answer 'one time'-beca...