Bab 15

378 62 4
                                    

Dia memeluk leher Jungkook sedikit erat apabila lelaki itu mula berdiri dan membuka langkah ke hadapan. Pada awalnya dia enggan untuk menerima tawaran itu, namun Jungkook mendesak dan berkeras dengan permintaannya. Jadi akhirnya Sung Kyung mengalah.

“Sudah makan pun tetap ringan macam kapas. Nampaknya, saya kena paksa awak makan lebih lagi selepas ini.” Seloroh Jungkook sekadar untuk menghilangkan rasa kekok.

Mendengarnya, Sung terus mencebik mulut. “Awak pernah ke dukung saya sebelum ni, ha?”

“Pernahlah, jadi awak rasa siapa yang angkat awak sewaktu awak jatuh pengsan di tengah jalan haritu?”

Sung menggigit bibir. Menyumpah diri sendiri atas kebodohannya. Soalan cepumas pula yang dia berikan. “O-oh, iya iya. Saya terlupa.”

Jungkook berdehem perlahan, mencari-cari sedikit keberanian untuk mengutarakan soalan yang agak sensitif untuk ditanya. Tetapi dia bukan berniat lebih, dia hanya ingin mengenali tentang Sung Kyung dengan lebih lagi.

Uhm Sung, boleh saya bertanya sesuatu?”

Sung Kyung diam seketika, sebelum mendaratkan dagunya di bahu Jungkook bila rasa kantuk mula menjengah. “Tanyalah, apa dia?”

“Saya bukan berniat mahu menyelongkar privasi awak, tapi boleh saya tahu asal-usul awak?”

“Mengapa awak begitu tertarik untuk tahu pasal hidup sempit saya, hm?” Soalan dibalas dengan soalan. Sung Kyung juga dilanda perasaan tertanya-tanya tentang lelaki ini. Apa dia orang yang jahat, ataupun dia hanya bersimpati semata-mata?

“Mungkin awak tak sedar, tapi saya sudah lama perhatikan awak. Dari pertama saya melihat awak bekerja di bar, dan juga bekerja di minimarket 7Eleven. Ingat tak, ramen dan cola?”

Sung Kyung menganggukkan laju tatkala ingatannya tentang seorang lelaki berhoodie yang menegurnya tempoh hari menerjah laman memorinya. “Ingat! Oh, itu awak rupanya. Kenapa baru sekarang saya perasan ya?”

Jungkook hanya tertawa halus dengan reaksi comel dari Sung Kyung. Sedikit bersifat kebudak-budakkan, itu yang membuat hati lelaki itu sedikit terjentik. “Jadi dari itu, saya mula tertanya-tanya. Sesukar mana hidup gadis muda seperti awak sehingga awak terpaksa memilih pekerjaan yang banyak sekaligus.”

Wajah Sung Kyung berubah keruh. Jika ditanyakan tentang hidupnya, memang dia sedikit sukar untuk menceritakannya pada sesiapa. Dia lebih memilih untuk memendam. Dia cuma tidak mahu dilabel sebagai seorang gadis yang hanya mahu menagih simpati. Sung Kyung bukannya seorang bersifat yang begitu.

“Hidup saya susah, Jeon Jungkook. Saya masih mempunyai ibu bapa, tetapi keluarga kami hancur hanya kerana wang ringgit. Ayah selalu berjudi, dan desak ibu untuk berikan dia duit setiap hari. Dari kecil, saya membesar dengan melihat pergaduhan mereka hari-hari. Kalau ibu enggan, ayah pukul ibu, pukul saya juga bagi melepaskan amarahnya. Saya tak pernah rasa menjadi seorang pelajar sekolah. Saya sering berangan-angan untuk sekolah, tapi itu semua tinggal angan-angan. Takkan pernah terjadi.”

Sung Kyung memejamkan matanya, membayangkan semula kejadian-kejadian yang pernah berlaku sepanjang kehidupannya. Kesakitan itu, tangisan itu, masih terngiang di telinga sentiasa.

“S-sampai satu hari, saya betul-betul tidak boleh terima perbuatan ayah. Ayah sanggup jual ibu ke rumah pelacuran semata-mata hanya mahu melunaskan hutang-hutangnya— s-saya tak. . .s-saya.” Suara Sung Kyung menjadi tenggelam timbul bila dia berusaha melawan rasa sebak yang melanda jiwanya. Mengingatkan semua itu semula, bagaikan satu tamparan yang memedihkan. Sakit bukan kepalang.

Pelukannya pada leher Jungkook menjadi erat, seperti dia mencuba mendapatkan kekuatan daripada lelaki itu. Mukanya ditekup pada bahu Jungkook, lantas dia menangis di situ. Melepaskan rasa sakit hati yang terpendam sekian lamanya. Setelah begitu lama dia tidak mahu mengingat semua itu, malam ini akhirnya terluah juga olehnya. Mungkin adalah lebih baik jika begitu, sekurang-kurangnya beban di bahu dapat terasa sedikit ringan.

Kadang kala, kita pasti akan memerlukan seseorang untuk mengadu.

Semakin lama berendam air mata, Sung Kyung akhirnya tertidur di belakang Jungkook. Pipinya masih basah dan lembab dengan sisa tangis itu, begitu juga dengan baju Jungkook di bahagian bahu.

Jungkook mengerling sekilas wajah lena Sung Kyung. Masih berusaha membawa gadis itu kembali ke dalam bilik wadnya. Sebaik sahaja sampai di dalam bilik tersebut, perlahan-lahan dialihkan Sung Kyung di atas tilam katil. Selimut ditarik menutup tubuh kecilnya apabila dia berjaya dibaringkan. Masih terlena Sung Kyung.

Jungkook mengusap lembut pipi Sung Kyung, menghapus sisa air mata itu. Kalau dibenarkan, dia tidak akan membiarkan gadis itu bersedih lagi. Selagi dia ada, dia akan berusaha untuk membuatnya gembira tertawa.

Iya, dia akan.

“Mulai sekarang saya akan jaga awak, Sung Kyung. Saya takkan lepaskan awak kerana awak adalah gadis pertama yang berjaya mencuri hati saya. Dasar pencuri comel.”

Jungkook berjanji pada dirinya.

*****

Eternal Love ✔Where stories live. Discover now