Dalam keadaan baring, jelas aku dapat melihat perutku yang sudah naik membukit. Kalau tidak silap perkiraan, rasanya kandungan aku sudah mencecah empat bulan lebih. Dan sudah hampir dua bulan juga aku sudah terlantar di hospital, menerima bermacam-macam rawatan.
Sepanjang masa itu, Jungkook tak pernah tinggalkan aku. Pada setiap kali aku membuka mata, pasti ada dia.
Saban hari aku rasakan badanku semakin lemah. Jika bukan kerana semangat dari Jungkook, dan orang-orang di sekelilingku, aku takkan mungkin dapat bertahan selama ini. Ia juga demi anak dalam kandungan aku.
Mata aku terarah pada picagari yang ditusuk masuk ke dalam kantung iv yang bersambung dengan tangan aku. Kandungan nutrien dilebihkan dari biasa, kerana semalam aku menjalani rawatan yang memerlukan aku untuk berpuasa.
Namun begitu, sejak dua hari yang lepas, Jungkook tak datang temankan aku macam hari-hari biasa. Aku cuba positif, mungkin dia banyak kerja. Tetapi aku sendiri tidak dapat mengelak dari berfikir yang bukan-bukan, bila dia langsung tak cuba curi masa untuk menjenguk aku. Aku terasa.
Melihatkan jururawat sudah berlalu keluar, Elena datang menghampiri aku. Sejak belakangan ini, dia sering ke mari membantu menjaga aku. Senyuman dia larikkan bila mata kami bertembung.
“Kalau kau nak apa-apa, bagitahu aku. Aku ada di sini.” Ujarnya sebelum duduk di hujung katil. Tetapi melihatkan aku berusaha untuk bangkit, langsung dia bingkas membimbing bahu aku bersandar selesa di dinding katil.
“Jungkook ada cakap tak yang dia mahu ke mari lepas shif kerja?” Soal aku pada El. Pandangan aku penuh pengharapan.
El menggaru batang hidungnya seketika sambil riak wajahnya berubah seakan-akan memikirkan sesuatu. “Errr, rasanyalah. Tapi kau jangan risaulah, dia pasti datang jenguk kau nanti. Mungkin banyak pesakit yang dia kena urus, sebab tulah terlewat sikit?”
“Terlewat sikit takpa, saya boleh terima. Tapi ini dah masuk tiga hari dia tak jenguk saya. Saya risau, kecewa juga ada. Awak ada rahsiakan apa-apa dari saya ke, El?” Aku menyuarakan keraguan yang semenjak tadi membelenggu lagi-lagi lepas melihat ekspresi wajahnya yang agak, janggal. Jawapannya juga tidak meyakinkan.
Mulutnya terbuka tutup beberapa kali, namun tiada suara yang terhasil. Menambahkan lagi tahap keraguan terhadapnya. Kata hati aku mengatakan ada sesuatu yang mereka cuba selindungkan berkaitan Jungkook.
“Di mana Jungkook?”
Elena tersengih kekok. “Jungkook ada. D-dia kerja, kan.”
Sekali lagi, jawapan yang dia berikan tidak meyakinkan aku!
“El, cuba awak cakap, apa ya—”
Belum sempat aku meneruskan kata-kata, pintu bilik ini dibuka oleh seseorang dari luar. Mata aku membulat sedikit besar, kaget akan kehadiran di sini. Terus sahaja dia berjalan menghampiri aku tanpa ragu-ragu.
“P-puan Jeon. .”
*****
YOU ARE READING
Eternal Love ✔
FanfictionETERNAL LOVE \ J.JUNGKOOK ❝I love you baby, more than what you think. I prefer to cry with you than laughing with the others, because even i cried, i'm happy. If you asked me, how many times did you appeared in my mind, i only answer 'one time'-beca...