Tiba sahaja dirumah aku nampak wajah umi begitu ceria melihat anaknya yang sudah pulang.
"Harraz macam mana? Dah okey ke?" soal umi sambil membelek anaknya dari atas hingga bawah.
"Okey je umi, biasa aje. Umi tak payahlah risau. Umi dah pergi ke dialisis hari ni?"
"Dah."
"Pergi sendiri ke atau...." Ayat Harraz terhenti seketika kerana melihat kelibat abahnya tiba-tiba. Masih kekal berwajah tegang.
"Hidup lagi rupanya. Ingatkan dah mampos!" Encik Halim menempelak.
Harraz hanya membisu. Umi pun langsung tak berpaling memandang suaminya.
"Korang pun dua beranak ni kenapa sibuk nak ambik tahu lagi pasal budak tak guna ni?" Encik Halim memandang aku dan ayah. Aku dan ayah hanya berpandangan sesama sendiri. Ayah sendiri pesan padaku kalau Encik Halim sudah mengamuk jangan ikut campur nanti akan mendatangkan padah.
"Memang dah bisu ke semua orang hah!" Encik Halim menjadi marah lagi.
"Kau pun Eryna, apa lagi yang kau tunggu suami kau yang tak guna ni? Kau pergilah bina kehidupan baru dengan lelaki yang bagus. Dia teruk, tak guna dan memang tak layak pun untuk kahwin. Kecik-kecik tak nak mati bila dah besar menyusahkan orang! Memalukan aku!" Kata-kata itu terlalu berbisa dan menusuk hati. Aku tak dapat bayangkan bagaimana keadaan aku jika berada di tempat Harraz.
Aku nampak yang umi menundukkan wajahnya. Mesti dia kesal kerana orang telah menghina anaknya dan yang menghina itu bukan orang lain tetapi ayah kandung sendiri. Anak yang dia kandung selama 9 bulan 10 hari bersusah payah dia jaga makan dan minum tapi dicaci hingga begitu. Aku pun turut tersentap dengan kata-kata abah. Aku takut sangat kalau suatu hari nanti kata-kata itu akan keluar dari mulut ayah yang mungkin sudah lelah denganku. Ya Allah, minta dijauhkanlah.
"Abah." panggil aku dengan nada suara yang selembut habis.
Aku sedar saat ini mata mereka semua sudah tertumpu padaku. Harraz menjeling padaku tanda amaran supaya tidak menjawab.
"Apa?" Abah menyoal sambil bercekak pinggang.
"Eryna minta maaf kalau kata-kata Eryna ni akan menyinggung hati abah. Eryna mengaku. Eryna memanglah bukan orang yang baik tapi.... Eryna masih berusaha baiki diri. Iyalah, lagipun Eryna sekarang dah ada anak. Eryna kena ubah untuk tunjukkan contoh yang baik untuk anak. Eryna bukanlah sejenis yang kejam. Kalau kita terlampau ikutkan hati memang boleh mati. Eryna memang marah dan benci pada Harraz tapi Eryna masih punya hati.
Eryna tak mahu sebab hal kami berdua Inara membesar tak dapat kenal siapa ayahnya. Eryna masih ada rasa simpati pada anak. Mungkin semua orang boleh sakiti Eryna tapi bukan anak Eryna. Bagi Eryna dialah segala-galanya. Dialah nyawa. Apa yang Eryna buat sebelum ini semua ni segalanya untuk Inara. Sebagai seorang anak Eryna terus kuat selama ini kerana kasih sayang dari seorang ayah. Ayah yang tak pernah kenal erti penat memberi bantuan, sokongan dan semangat pada anaknya sebab tu Eryna tak nak ego. Selagi ayah Inara masih hidup kami masih boleh cuba membina hubungan baik sesama sendiri dan beri didikan yang sempurna pada dia walaupun masa tu kami telah berpisah. Cukuplah kami berdua dah gagal untuk jadi anak yang terbaik untuk orang tuanya." Apa yang ku luah itu adalah segalanya dari hati.
Makin menebal rasa simpatiku melihat Harraz yang memang dibesarkan dengan kekurangan kasih sayang. Aku tak mahu perkara yang berlaku pada Harraz berulang pada Inara. Mungkin bukan datang dari Harraz tapi dari aku sendiri. Seorang anak hanya perlukan kasih sayang dan perhatian dari orang tuanya.
Aku lihat wajah Encik Halim yang tegang tadi mula berubah. Dia nampak serba salah atau mungkin dia tersentuh dengan kata-kataku tadi.
Aku pandang wajah ayah. Tubir mata ayah juga mulai berkaca.

ANDA SEDANG MEMBACA
Andaikan Cinta Itu Ada
RomanceSejarah silam yang membuatkan ERYNA SOFIA trauma berasa jijik dengan diri sendiri. Perkenalan antaranya dengan ADAM HARRAZ memberi sejuta kenangan pahit padanya walaupun pada awalnya Eryna mencintai jejaka itu. Mereka disatukan kerana fitnah orang k...