"Bawalah berehat. Kaki awak tu boleh tahan teruk lukanya sampai besar luka tu terbelah. Lain kali hati-hati." Faiz menasihati aku.
Aku hanya mendiamkan diri lalu menganggukkan kepala. Aku terus berusaha untuk bangun masuk ke dalam bilik.
"Nak masuk bilik ke?" soal Faiz lagi.
Aku menganggukkan kepala lagi sebagai tanda iya.
"Biarlah, ayah yang tolong." Ayah sudah memegang tanganku lalu dibawa ke dalam bilik.
"Atok, ibu kenapa?" soal Inara yang diam-diam mengikuti dari belakang.
"Kaki ibu luka." Ayah menjawab.
"Kenapa, teruk ke atok?"
"Ibu terpijak kaca. Teruk jugalah." Ayah mendekatkanku pada katil lalu terus aku melabuhkan punggung. Ayah juga mengambil tempat disebelahku. Inara berdiri berselindung dibalik pintu bilikku yang separa tertutup. Dia seperti takut untuk masuk ke dalam bilik.
"Inara, nak tak papa Faiz ajak keluar?" soal Faiz pada Inara yang seolah faham yang aku inginkan ruang.
" Nak!" Laju saja Inara memberi jawapan.
Faiz menolak sedikit daun pintu lalu memberi isyarat ingin meminta izin membawa Inara keluar. Aku faham lalu menganggukkan lagi kepala sebagai tanda sudah memberi keizinan. Faiz terus menutup rapat pintu bilik.
Setelah Faiz menutup rapat pintu bilik. Air mataku kembali jatuh semula. Tersedu-sedu aku menahan tangis. Aku terus menyembamkan muka pada dada ayah.
"Kenapa semua benci adik! Kenapa! Kenapa keluarga Acik Safiah bencikan keluarga kita sampai macam tu sekali! Apa salah keluarga kita pada dia!"
Ayah memelukku.
"Kenapa adik masih nak berbaik dengan mereka semua. Adik dah tau kan yang sampai mati diorang takkan terima kita." Ayah menyoal.
"Adik tak pernah minta satu sen pun harta mereka! Tapi kenapa sampai macam tu sekali mereka hukum kita! Maruah kita mereka letakkan pada telapak kaki senang dipijak lumat!"
"Adik, kita kena sedar diri. Kita tak layak untuk dekat dengan mereka. Adik pun tahu yang keluarga Harraz memang orang yang senang. Berhentilah adik berharap pada sesuatu yang tak mampu miliki. Sampai mati sekalipun kita tak mampu tandingi keluarga Safiah dan Harraz." Ayah mengusap kepalaku perlahan.
"Assalamualaikum!" Sayup-sayup suara itu kedengaran.
Aku dan ayah berpandangan sesama sendiri.
"Ayah pergi tengok sekejap." Ayah keluar dari bilikku. Tak lama kemudian pintu bilikku dikuak semula.
Terlihat kelibat Puan Norida dan Encik Halim.
"Boleh umi dengan abah masuk?" Puan Norida meminta izin.
Aku mengelap air mataku dengan hujung lengan baju.
"Masuklah." Ringkas aku menjawab.
Puan Norida masuk lalu duduk bersebelahanku manakala Encik Halim hanya berdiri ketika itu juga ayah pun masuk.
Aku sebenarnya malu berhadapan dengan Puan Norida dan Encik Halim setelah mereka sudah mengetahui kebenarannya walaupun bukan dari mulutku sendiri. Aku tahu kedatangan mereka hanya mahu meminta penjelasan dariku.
"Kenapa Eryna tak berterus terang tentang status Inara? Kenapa sanggup rahsiakan dari kami semua?" soal Puan Norida tenang.
"Betullah, kita hanya mampu merancang selebihnya Tuhan yang menentukan. Pertama sekali Eryna minta ampun minta maaf sebab tujuh tahun Eryna simpan rahsia tak cukup dengan tu Eryna dah tipu umi satu keluarga. Mungkin ni balasan yang Eryna dapat sebab buat keluarga umi macam tu." Air mata makin lebat kembali.

ANDA SEDANG MEMBACA
Andaikan Cinta Itu Ada
RomanceSejarah silam yang membuatkan ERYNA SOFIA trauma berasa jijik dengan diri sendiri. Perkenalan antaranya dengan ADAM HARRAZ memberi sejuta kenangan pahit padanya walaupun pada awalnya Eryna mencintai jejaka itu. Mereka disatukan kerana fitnah orang k...