Tepat pukul tiga petang aku tersedar dari tidurku. Maklumlah semalaman tak dapat tidur atas katil sekali dapat baring atas katil terus terlelap. Cadangnya aku mahu berehat saja selepas Solat Zohor. Lama-kelamaan mata berat menjadi mengantuk.
Aku bangun dari pembaringan lalu duduk sebentar sambil melihat sekitar bilik. Harraz tidak ada dalam bilik. Ke mana dia pergi?
Setahu aku selepas kami berdua masuk ke dalam bilik aku berehat sekejap lalu menunaikan Solat Zohor kemudian kembali sambung rehat. Harraz pula selepas mandi dia pergi buka laptop. Aku ada tegur juga katanya ada buat kerja sikit dan aku selepas itu aku membiarkannya.
Lantak dialah, kalau hilang maknanya dia keluar biliklah tu. Bukannya budak kecil nak dirisaukan.
Mulutku yang menguap ku tutup dengan telapak tangan. Ikutkan nak mandi tapi memandang tidak ada baju jadi tangguhkan saja niatku. Lagipun sekejap lagi aku ingin pulang ke rumah berjumpa dengan Faiz dan kemas barang yang patut untuk tinggal dengan Harraz sementara waktu.
Aku turun daripada katil lalu menuju ke bilik mandi. Tanganku mencapai tombol pintu belum apa-apa lagi pintu ditarik sendiri dari dalam dan terlihat satu susuk tubuh di dalam bilik mandi itu. Apalagi refleks aku menjerit kerana terkejut sehingga aku hampir keseimbangan badan.
Tangan kiriku memegang dada kerana jantungku berdetak kencang manakala tangan kananku berpaut pada pintu. Aku mencuba mengatur nafasku semula.
"Kau dah kenapa macam nampak hantu?" soal Harraz siap bercekak pinggang lagi. Tiada rasa bersalah langsung.
"Yang awak...." Tersekat-sekat suara aku ingin menjawab.
"Apa? Bilik aku suka hatilah nak buat apa. Nak keluar masuk bilik mandi ni bila-bila."
"Kalau saya ni ada sakit jantung dah lama saya mati keras sebab tengok awak tiba-tiba keluar bilik mandi macam ni. Saya ingat awak tak ada dalam bilik." Hampir tercabut jantung melihat penampilan Harraz yang hanya menggunakan sehelai kain tuala untuk dililitkan dipinggangnya.
"Macamlah tak biasa tengok aku macam ni." Harraz mencebikkan bibirnya lalu dia terus keluar dari bilik mandi tanpa rasa serba salah. Sempat aku curi pandang tubuhnya yang penuh kesan biru lebam. Terbit rasa simpati padanya.
Harraz berpaling memandangku semula. Keningnya sebelah dijongketkan.
"Aku tahulah aku ni kacak tak payahlah curi-curi pandang macam tu sampai nak jatuh bijik mata tu. Kalau nak tengok puas-puas mehlah dekat."
"Eii, tak kuasalah kita." Aku menjelingnya sebagai tanda menyampah dengannya. Dituduhnya aku tengok dia sampai nak terjatuh biji mata. Wah, melampau betul mamat ni.
Aku terus masuk ke dalam bilik mandi untuk membasuh muka. Tiba-tiba aku tertarik dengan syampu lelaki milik Harraz yang diletakkan di tepi singki. Aku ambil botol itu lalu buka penutupnya.
"Wanginya! Boleh ke perempuan pakai? Ah, lelaki ke perempuan sama aje. Dua-dua kan manusia. Bukan rambut ni boleh kenal lelaki ke perempuan. Bedal ajelah. Aku pun baru ingat nak cuci rambut hari ni. Apa kata kita cuba. Alah, ambil sikit aje nanti kira halal ajelah." Aku menuang syampu milik Harraz ke telapak tangan.
"Macam sikit aje. Tambahlah lagi, orang kaya kan? Setakat sebotol syampu apalah sangat. Takkan itu pun nak berkira? Anggap ajelah ni sebagai tanda aku balas dendam sebab dia tak minta maaf pun sebab buat aku terkejut tadi. Apalah punya perangai? Kalau aku terkejut sampai mati keras dekat situ. Tak ke dia jadi janda nanti. Eh, apa pulak janda? Jadi dudalah! Senanglah nanti nak kahwin lain kan? Eh, geramnya aku!"
Sambil mengenangkan sifatnya aku telah memicit cecair syampu Harraz sehingga melimpah jatuh ke lantai. Cecair syampu sudah penuh di telapak tanganku.
"Mampuslah aku, bisinglah dia nanti!"
Kelam kabut aku letak semula syampu milik Harraz dan berlakon seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Aku basahkan rambut kemudian mula mencuci rambut. Memang wangi bau maskulin itu amat menarik perhatianku. Sejujurnya aku lebih menyukai wangian lelaki tetapi memandangkan aku seorang wanita. Aku terpaksa menggunakan minyak wangi seperi wanita biasa diluar sana.
Selesai mencuci rambut mataku meliar mencari tuala untuk mengelap rambut. Terdapat tuala berwarna ungu terus aku tarik dan keringkan rambut lalu mengelap muka. Selesai sahaja aku membuat tuala dibelit seperti tudung lalu di bawah dagu aku kepit dengan jari sahaja. Waktu aku perlahan keluar dari bilik mandi sempat ku perhatikan keadaan sekeliling.
Harraz sudah lengkap berpakaian dia hanya duduk diatas katil dan ralit dengan telefon bimbitnya. Kemudian mataku sekilas menjeling cermin almari yang berada sebelah katil betul-betul bersebelahan dengan Harraz.
Aku berjalan menuju ke cermin lalu berpura-pura mengeringkan rambut.
"Kau dah kenapa pandang aku macam tu? Nak keringkan rambut pun pandang orang macam nak makan." Harraz memandangku.
Aku hanya tersenyum padanya lalu meneruskan berpura-pura mengeringkan rambut.
"Pukul berapa kau nak balik rumah sana?" soal Harraz matanya masih tertumpu pada skrin telefon.
"Tengoklah sekejap lagi saya nak baliklah. Lagipun Faiz pun ada cakap nak jumpa saya sebab ada hal sikit nak cakap." Aku perasan yang Harraz mula menjeling bila menyebut nama Faiz.
"Boleh ke kau drive balik ni? Kaki kau masih lagi berbalutkan?" Harraz memuncungkan bibirnya ke arah kakiku.
Bohonglah kalau aku cakap tak sakit. Semalam kaki aku luka. Luka pun masih baru walaupun berjalan terhinjut-hinjut tapi aku tak suka bila selalu sangat dipegang untuk bantu aku berjalan kerana itu aku gagahkan diri untuk berjalan meskipun masih sakit.
"Boleh aje alah sikit aje ni."
"Sikit? Berjalan pun terhinjut-hinjut."
"Kalau tak boleh saya mintalah Faiz datang sini ambil saya sekejap. Apa susah?" Mudah saja aku menjawab.
Harraz merenung tajam padaku.
"Kenapa mesti Faiz? Aku boleh aje hantar kut kalau kau nak." Nampaknya Harraz seperti menawar tapi itulah nampak macam tak ikhlas pulak.
"Awakkan sakit. Mana boleh nanti marah pulak ayah sebab minta awak hantarkan saya."
"Aku ni kena pukul sikit aje. Elok aje kan aku berjalan? Kau tu hah berjalan terhinjut-hinjut dah macam kuda tua semput." Ejek Harraz.
Kuda tua semput? Kurang asam punya laki!
"Iyalah, saya minta ayah ambil sayalah. Susah sangatlah." Aku mencebikkan bibir.
"Suka hati kaulah." Harraz pun malas nak melayanku.
Aku menuju ke katil lalu duduk sebentar sambil mengeluh.
"Apa benda yang kau keluhkan tu? Tak sabar nak balik ke?" soal Harraz tiba-tiba.
"Eh, awak ni nak menghalau saya ke? Dari tadi cakap pasal bila saya nak balik."
"Tanya aje tak boleh ke?"
"Tanya ke perli?"
Harraz terus mendiamkan diri dan sambung menilik telefonnya. Kemudian, matanya memandangku semula.
"Kau basuh rambut tu guna apa? Kat sini mana ada syampu perempuan? Takkan kau saja-saja nak basahkan rambut?"
Aku terus melarikan pandangan ke arah lain. Apa lagi Harraz terus meluru ke bilik mandinya dan tak lama itu dia muncul di muka pintu sambil memegang sebotol syampu yang aku guna tadi.
"Ni apa ni sampai nak habis syampu aku?"
"Pinjam." balasku.
"Ya Allah, ni syampu lelakilah! Kau tu kan perempuan."
"Apa bezanya lelaki dengan perempuan? Dua-dua manusia. Dua-dua ada kepala." Syampu tu tak tanya pun kau lelaki ke perempuan masa pakai."
"Kau ni memang dah tak lama tak kena! Tunggu kau sekejap lagi." Harraz masuk semula ke dalam bilik mandi untuk meletakkan semula syampunya lalu dia muncul semula dan menuju ke arahku.
Aku sudah kecut perut.

ANDA SEDANG MEMBACA
Andaikan Cinta Itu Ada
RomansaSejarah silam yang membuatkan ERYNA SOFIA trauma berasa jijik dengan diri sendiri. Perkenalan antaranya dengan ADAM HARRAZ memberi sejuta kenangan pahit padanya walaupun pada awalnya Eryna mencintai jejaka itu. Mereka disatukan kerana fitnah orang k...