Kakiku menapak menuju ke kedai milik Faiz. Disebabkan sudah terlalu lama aku tak dapat menghubunginya. Aku tak tahu mengapa susah sangat untuk menghubungi Faiz. Ditelefon berkali-kali langsung tak diangkat. Pendek kata, menghilang tanpa khabar. Saat ini aku memerlukan teman untuk meluahkan segala masalah.
Masuk saja didalam kedai milik Faiz aku ternampak Ammar. Dia terkejut melihatku yang tiba-tiba muncul.
"Assalamualaikum, Ammar." Aku terus mendapatkan Ammar.
"Walaikumussalam." Kelihatan terpinga-pinga Ammar.
"Faiz ada disini ke?" soalku dengan ramah sambil terintai-intai belakang. Mana tahu ternampak Faiz.
"Faiz? Faiz dah lama tak datang sini. Cuba pergi cari dia dekat butik mama dia."
"Awak tahu tak kenapa Faiz sekarang susah sangat dihubungi? Saya telefon tak angkat. Dia marahkan saya ke?"
"Saya tak pastilah, nak jawab bagi pihak dia pun tak berani. Tapi, saya perasan yang dia sekarang tak banyak cakap. Kalau saya hubungi dia dapat aje macam biasa. Mungkin juga Faiz cuba nak mengelak dari awak." Mendengar saja Ammar berkata begitu. Aku jadi kehairanan.
Apa salah aku sampai nak mengelak sampai macam tu sekali? Kenapa dengan tiba-tiba sekali. Aku cuba mengingati kembali apakah kesalahan yang pernah ku lakukan padanya.
Tak ada pula aku buat dia kecil hati ke apa. Kali terakhir bertemu dengannya adalah ketika dia menyerahkan hadiah ulang tahun padaku. Selepas itu, aku langsung tak bertemu dengannya.
"Mungkin saya ada buat salah dengan dia." Dengan kecewa aku berkata pada Ammar. Aku menghela nafas panjang.
"Okeylah, Ammar saya pergi dulu. Kerja baik-baik okey, jangan lupa makan. Jangan selalu sangat makan mee segera tu. Tak baik untuk kesihatan." Sempat aku berpesan padanya sambil memberikannya senyuman. Maklumlah sudah kenal Ammar juga hampir lama. Anggap dah macam kawan rapat juga.
"Iyalah, terima kasih." Ammar hanya membalas senyuman.
Aku mula keluar semula daripada kedai itu. Sebenarnya, sebelum ini aku sudah mencarinya ke butik mamanya namun masih juga tak ditemui. Ada juga terniat nak pergi cari dirumahnya namun apa pula kata orang. Lagipula, dia adalah lelaki berstatus bujang dan aku pula masih isteri orang.
"Faiz? Faiz rasanya dah lama juga tak datang sini. Kalau dia tak ada kat kedai dia mungkin dia tengah outstation. Dia tak bagi tahu Eryna ke nak pergi mana?" soal Kak Dilla.
"Tak, puas Eryna telefon dia. Selalu juga lalu depan kedai dia tapi tak ada nampak pula kereta dia. Itu yang Eryna datang sini tanya Kak Dilla. Nak tanya mama takut nanti mama salah faham. Takkan nak cari dekat rumah dia pulak. Isy! Kerja gila namanya tu."
"Bergaduh ke?" soal Kak Dilla dengan dahinya berkerut-kerut.
"Sebenarnya, Eryna pun tak tahu puncanya apa. Tiba-tiba aje jadi macam ni. Sebelum ni elok aje bercakap dengan dia. Tak ada pula dia nak tersentap dengan Eryna ke apa."
"Mungkin dia ada sebab tersendiri. Rasanya dia perlukan ruang untuk bersendirian kut. Eryna janganlah risau, nanti dia carilah Eryna balik." ujar Kak Dilla.
Itulah kata-kata Kak Dilla ketika aku bertemu dengannya. Aku mengeluh. Besar sangatkah salah aku sehingga dia menjauhkan diri daripadaku. Aku pandang sekeliling memang langsung tak ada keretanya.
Aku terus menuju ke kereta milikku semula untuk membawa diriku kembali ke butik milikku. Sepanjang perjalanan aku cuba mengingati kembali apa salahku padanya.
Akhirnya aku pasrah saja kerana tak dapat menemui kesalahanku yang membuatkan Faiz tiba-tiba menjauhiku. Sampai sahaja dibutik aku duduk berehat seketika.
"Dah makan ke?" soal Fathia.
"Dah." balasku ringkas.
"Kenapa nampak muka pucat aje lagi. Sakit ke?" soal Fathia lagi mengamati wajahku.
"Sebab saya tak pakai apa-apa dekat bibir ni. Itu yang pucat lesi semacam. Saya tak sakitlah." Aku menjelaskan keadaan sebenar pada Fathia. Sempat aku merenung Fathia.
"Pucat tak pakai lipstik dengan pucat sakit lain." Fathia menjawab.
"Fathia, awak tahu tak Faiz dekat mana?" soalku dengan mendadak. Mungkin saja Fathia tahu. Faiz dan Fathia pun pernah rapat sebelum ini. Saja mahu mencuba nasib mana tahu Fathia memang tahu dimana keberadaan Faiz.
"Kenapa tiba-tiba tanya soalan macam tu?" Fathia mesti kehairanan dengan soalanku.
"Saja tanya, mana tahu kalau awak tahu. Saya dah lama tak dapat hubungi dia." Ringkas saja aku menjawab.
"Saya pun tak tahu kali terakhir saya berjumpa dengan dia dalam dua minggu yang lalu. Selepas itu, saya tak ada telefon dia ke apa. Iyalah, tak ada hal pentingkan. Buat apa nak cari dia."
"Saya ada cari dia dekat kedai dia. Ammar cakap dah lama dia tak datang sana. Tapi, Ammar ada cakap kalau Ammar nak hubungi dia dapat aje tapi kenapa kalau saya telefon dia langsung tak dapat. Saya ingat mungkin saya ada buat salah dengan dia sebab tu dia jauhkan diri dari saya."
"Mungkin juga dia nakkan ruang. Mana tahu dia tengah kecewa ke apa sebab tu dia nak bersendirian. Maknanya dia cuma terima panggilan yang penting saja." Fathia mula menyimpulkan keadaan sebenarnya.
Kecewa? Putus cinta ke mamat tu? Tapi takkanlah sampai nak mengelak daripada berjumpa dengan aku. Bukannya aku yang putuskan hubungan dia ke apa.
"Mungkin juga. Tak apalah, saya sambung kerjalah." Aku mula bangun dari duduk.
"Suami awak ada hubungi saya tadi. Dia kata tak dapat hubungi tadi. Dia kata kalau dah balik kedai nanti tolong telefon dia balik. Ada hal yang sangat penting katanya."
Setelah Fathia berkata begitu. Aku mengambil telefon di dalam beg tanganku. Bateri habis patutlah tak dapat panggilan. Aku mengeluh.
Apa lagi dia nak?
"Terima kasih Fathia, patutlah panggilan tak masuk. Bateri kong. " Aku terus meluru masuk ke bilikku mendapatkan plug pengecas lalu mengecas telefon.
Sambil itu aku memeriksa mesej mana tahu Harraz ada mesej namun tak ada pula. Melainkan tiga panggilan tak berjawab daripadanya. Baru, tiga kali telefon tak dapat dah kecoh sampai telefon kedai aku. Sebelum ni elok aje telefon sampai lima puluh kali cuba nasib mana tahu kalau aku angkat.
Akhirnya, aku membiarkan saja. Malas nak telefonnya semula. Kalau dia rasa penting sangat nanti dia telefonlah aku balik. Jawab panggilan dia pun dapat apa. Sakit aje dapat.
Banyak lagi masalah nak kena fikir. Cukup-cukuplah aku dah berperang semula dengannya. Tentang Faiz pula jadi satu hal. Tak angin tak ada ribut tiba melancarkan perang denganku tanpa pengetahuanku langsung. Menghilang terus tanpa khabar. Kalau iya pun nak lancar perang sekurang-kurang cakaplah dengan aku salahku apa. Tak adalah aku tertanya-tanya sebegini.

YOU ARE READING
Andaikan Cinta Itu Ada
Storie d'amoreSejarah silam yang membuatkan ERYNA SOFIA trauma berasa jijik dengan diri sendiri. Perkenalan antaranya dengan ADAM HARRAZ memberi sejuta kenangan pahit padanya walaupun pada awalnya Eryna mencintai jejaka itu. Mereka disatukan kerana fitnah orang k...